أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
بسم الله الرحمن الرحيم
Bila ada adik yang tanya, bagaimana mahu jadi dan berfikir secara matang seperti saya. Bila ada yang hairan, mengapa saya kelihatannya tiada masalah dengan cinta manusia sama ada frust terbalik atau menangis 3 bulan berbantalkan Spongebob kerana menyesali nasib diri ditinggalkan kekasih.
Saya tidak tahu bagaimana soalan itu boleh muncul. Sedangkan saya masih terasa diri seperti seorang kanak-kanak yang seronok bermain pasir pantai dan belajar membuat sandcastle. Yang akhirnya runtuh kerana datangnya ombak air. Dan belajar buat sandcastle lagi. Dan runtuh. Dan belajar lagi. Dan runtuh. Dan belajar lagi.
Bila ada yang mengatakan cemburu. Kerana sepertinya saya punya segalanya. Kebijakan. Rupa. Solehah. Itu mereka yang kata. Dan saya.
Saya cuma boleh mendiamkan diri dan berfikir lagi.
Namun. Mungkin saya cuma boleh bercerita. Kerana hakikatnya saya tidak tahu apa yang perlu dikongsi sebagai pelajaran. Sedangkan diri sendiri meminta untuk belajar dan perlu diajar pada tiap detik kehidupan.
Saya membesar bersama seorang ibu. Seorang ibu yang sangat penyayang. Walaupun mungkin bukan ustazah dan hebat ilmu agamanya seperti ibu-ibu yang lain. Namun saya berani menjerit biar kedengaran di seluruh dunia bahawa ibu sayalah ibu yang terbaik. Ibulah satu-satunya insan yang paling saya sayang. Kerana dialah ibu dan dialah abah. Kerana saya tidak begitu membesar bersama seorang abah. Hanya sedikit kenangan yang ada sebelum abah tinggalkan kami sekeluarga.
Waktu kecil, saya selalu suka pegang dan tatap gambar abah. Peluk sekeping foto. Dan menangis. Sambil merintih bila abah mahu kembali. Atau kalau bukan abah kembali, biarlah saya juga ikut abah sekali. Waktu kecil, saya melihat bagaimana kawan-kawan yang punya seorang ayah dan memiliki seorang ayah untuk tahu apa dan bagaimana pengorbanan seorang bapa. Sedang saya, hidup bersama kenangan seorang abah yang telah pergi. Dan bawa apa yang dipesan abah hingga ke besar. Namun saya tidak kisah. Ada sekeping foto cuma juga cukup untuk dilepas rindu.
Saya tidak tahu apa untungnya saya. Dan hakikatnya tiada apa yang perlu dicemburukan. Kerana ternyata mereka lebih untung. Beribu dan berbapa. Yang melihat tiap detik seorang anak membesar. Maka, jagalah mereka dengan sebaik yang mungkin. Lebih sebagaimana mereka begitu menjaga kita sedari kecil.
Dalam hidup. Saya cuma ajar diri untuk pegang kepada usaha, doa dan tawakkal. Apa-apa yang mahu dilakukan, saya kembali kepada formula itu. Formula yang ringkas cuma. Namun perlu diteliti dan dihayati pada satu-satu perhentian. Untuk berfikir.
Ya. Kehidupan saya penuh warna gemilang. Tiadalah berjaya seperti kayanya seorang jutawan namun mampu tersenyum bangga atas kejayaan. Apa-apa yang diusahakan dalam pelajaran secara khususnya, berjaya dicapai. Dan itu yang mereka lihat. Mereka juga mahukan kejayaan sedemikian.
Dan saya pula berfikir. Bagaimana diri saya sebenarnya andai Allah menarik kembali segala nikmat ini. Mungkinkah diri masih lagi seorang yang mampu untuk bersyukur seperti tanggapan diri selama ini. Sampai satu masa, pernah jua untuk saya merasa bagaimana erti gagal. Sedetik yang terfikir yang mungkin belum begitu cukup sepenuh perasaan. Cuma terfikir.
Yang lelah apabila manusia suka melihat kejayaan yang lain. Namun hakikatnya apa yang perlu kita ambil dan kagumi, adalah bagaimana kita bangkit dari kegagalan dan terus bergerak ke hadapan. Sedang saya, saya memikirkan saya belum merasa yang itu. Dan untungnya mereka yang berhati kuat untuk terpilih diuji dan belajar untuk jatuh serta bangun beberapa kali. Kerana terlihat diri banyaknya diuji dengan kesenangan. Dan itu sesuatu yang menakutkan. Andai apa yang dibicara hakikatnya lain dengan apa yang dirasa hati.
Kita bicara kita bersyukur. Sedang hati penuh rasa riak, ujub, takabbur dan segala sifat mazmumah yang lain. Dan juga sering saya pesan pada diri, berjaya atau tidak berjaya itu, duduklah di tengah-tengah sahaja. Titik tengah itu usaha. Fokus pada titik tengah, fokus pada usaha. Andai Allah mahu hasil itu naik tinggi, maka Alhamdulillah. Dan beringatlah wahai diri, usah leka, kau sedang diuji dengan kesenangan. Andai apa yang terbaik dalam perancangan Allah itu adalah makin merendah, maka Alhamdulillah. Dan beringatlah wahai diri, kembalilah selalu kepada-Nya, kerana kau sedang diuji dengan kesedihan dan kekecewaan.
Cuma itu mungkin apa yang saya bawa.
Dan ada satu pelajaran penting yang saya dapati dalam kehidupan.
Saya tak ajar diri saya untuk kaut pandangan manusia. Saya tak ajar diri saya lakukan sesuatu kerana ingin menarik kepuasan hati manusia. Saya lakukan apa yang saya mahu dan pastikan ia selari dengan apa yang menjadi reda Allah. Itu sahaja.
Ramai orang mahu dipandang hebat. Namun terkadang pandangan manusia itu tipu dan ada yang penuh dusta.
Kita mungkin dipandang waktu kita punya nama. Dan kita tidak tahu, andai kita tiada nama, seorang jua mungkin tidak sudi memandang kita.
Kita mungkin dipandang kerana harta. Dan kita tidak tahu, andai kita tiada berharta, seorang jua mungkin tidak sudi memandang kita.
Kita mungkin dipandang atas dasar kecerdikan. Dan kita tidak tahu, andai kita tidak punya minda yang cerdik, seorang jua mungkin tidak sudi memandang kita.
Kita mungkin dipandang saat kita sudah makin popular. Dan kita tidak tahu, andai kita menjadi orang yang sungguh tiada dikenali, seorang jua mungkin tidak sudi memandang kita.
Justeru, fikirlah. Apa sebenarnya yang kita mahukan dalam hidup.
Ya. Hanya reda Allah. Buat apa yang Allah suka. Syukur atas apa yang Allah kurnia. Dan reda atas segala perancangan dan ketetapan Allah walau diri tidak suka.
Itu sahaja.
Sesetengah pemikiran saya terlalu complicated. Dan sebenarnya ada yang terlalu ringkas. Dan itu yang cuba saya nukilkan. Agar mudah.
Bila orang tanya, apa hobi saya. Pasti saya akan jawab bahawa membaca. Kalau dulu, waktu zaman sekolah rendah dan menengah mungkin begitu. Dunia saya adalah buku, buku dan buku. Seronok dalam dunia sendiri. Tiada masuk bab cinta, tiada masuk bab lelaki. Couple tidak menjadi mainan dan kesukaan. Nerd habis. Innocent.
Bila dah makin besar, buku juga yang menjadi kegemaran. Atau mungkin sudah berkurang. Hakikatnya saya sering merasa bahawa hobi saya sekarang adalah berfikir.
Saya mengambil kos Bahasa Arab. Namun terasa diri lebih mengenali mereka yang berlainan kos. Saya sering merasa jiwa saya penuh seni. Dan kebiasaannya insan berjiwa seni, punya perwatakan yang misteri. Terkadang apa yang terlihat, itu cuma sebahagian. Dan hanya beberapa orang cuma yang akan dibenarkan untuk melihat keseluruhan jiwanya. Andai mereka menjadi orang yang terpercaya.
Saya tidak suka berada dalam kelompok sendiri. Saya akan bergaul dengan mereka dalam jurusan Bahasa Arab dengan seadanya. Dan selebihnya saya keluar dan menemui kelompok yang lain dengan cara saya sendiri.
Kelompok yang pelbagai. Dan baik kelompok sendiri atau yang lain, semuanya punya keistimewaan tersendiri.
Keluar dan belajar berdikari. Seorang diri.
Buka mata hati dan melihat.
Berfikir dan berfikir.
Berdiri atas kaki sendiri.
Dan begitu saya belajar tentang kehidupan.
Ada seseorang pesan. Supaya manfaatkan masa dengan sebaiknya. Buat apa yang dimahukan bermula sekarang. Kerana masa tidak pernah mahu menunggu kita. Maka bergeraklah seiring dengan masa. Atau andai boleh, lajukanlah lagi langkahan kaki.
Lama saya renung. Saya renung kehidupan saya. Saya renung ke mana masa dihabiskan. Saya renung ke mana saya mahu pergi. Saya bertanya apa sebenarnya yang saya mahukan dalam hidup. Dan saya fikir, bagaimanakah keadaan diri yang sekarang.
Hakikatnya, saya terasa saya sudah membuang begitu banyak masa. Yang sebenarnya andai dihitung hari-hari. Begitu banyak masa yang terkumpul dan boleh dimanfaatkan. Namun terbiar begitu sahaja. Kerana tidak begitu menghargai masa lapang. Dan juga tiada matlamat dan tujuan hidup.
Saya merasakan bahawa masa-masa yang ada itu seharusnya sudah boleh diguna untuk tingkatkan pembacaan pada kadar optimum. Seharusnya masa-masa itu boleh diguna untuk lebih waktu buat menghafaz Al-Quran dengan bersungguh-sungguh selain tilawah cuma. Seharusnya masa-masa itu boleh diisi dengan pelbagai ibadah dengan sebaiknya tiap detik waktu bersama zikir dan selawat. Pendek kata, isi dengan segala yang mengingatkan diri kepada Allah. Dan andai satu saat jua terlepas dari ingatan terhadap Allah, maka alangkah ruginya.
Saya merasakan bahawa masa-masa ini juga adalah waktu untuk membina masa hadapan. Capai dan rancang apa yang mahu dicapai. Usah disibukkan fikiran dengan perkara yang tidak penting. Terasa sepertinya bahawa seolah diri sudah tiada masa. Dan saat saya biarkan ia berlalu begitu sahaja, maka alangkah ruginya diri.
Berbicara soal cinta. Dan sememangnya ramai orang suka cerita akan cinta. Kerana manusia mana yang tidak mahu menyayangi dan disayangi.
Mengimbas cerita cinta zaman kecil dan masih bertatih menilai erti kehidupan. Beberapa kali juga disapa cinta. Merasa jua menerima kiriman surat. Merasa jua menerima bungkusan hadiah. Merasa jua bagaimana perasaan apabila punya secret admirer. Merasa jua apabila seseorang meluahkan rasa secara berhadapan.
Kisah cinta. Semua orang ada kisah cinta. Namun yang lainnya, bagaimana kita menelusuri rasa cinta.
Dan apa yang saya boleh kongsi dan rasa pada waktu itu, adalah tiada apa-apa. Cinta manusia yang bukan pada waktunya itu tolaklah dengan cara yang baik. Kerana diri punya fokus yang lebih penting untuk disegerakan.
Waktu itu ilmu belum penuh. Namun apa yang bisa saya kongsikan adalah, bagaimana rasa malu bisa menjaga diri. Ya, rasa malu.
Kerana rasa malu, saya merasakan bahawa itulah penyelamat diri daripada terjerumus ke dalam cinta yang tidak halal. Hatta hingga sekarang. Ilmu yang ada cuma adalah sedikit namun kerana rasa malu itu yang menebal, maka ia tiada mampu diruntuhkan walau apa jua dugaan yang mendatang. Kerana rasa malu itu, saya terasa mampu untuk terus gagah berdiri bersama prinsip.
Cinta adalah alat. Dan bukannya menjadi satu matlamat hidup. Membawa cinta yang halal dalam kehidupan untuk menuju reda Ilahi itu yang didamba. Maka persiapkanlah diri seadanya. Masih terlalu banyak perkara yang harus dilakukan untuk mencapai waktu itu.
Dan kini. Saat membesar. Cinta datang lagi. Maka saya mula membuka ruang sedikit demi sedikit, biar tiada terlalu rapat hingga tiada langsung cinta yang dibenarkan menyapa. Kerana waktu dulu dan kini, keperluannya sudah sedikit berubah. Namun tapislah mana yang tidak perlu. Hingga yang ada cuma, apa yang menjadi reda Ilahi. Selagi belum ada yang ditetapkan halal buat diri, sekali lagi letaklah diri pada titik tengah. Berharap dan bergantunglah kepada Allah. Moga nanti apabila bahagia dikecapi, banyaknya rasa syukur. Dan andai ada sesuatu yang tiada diingini berlaku, maka hati itu tiada terlalu berduka. Masih tahu untuk berlari dan mencari dakapan Ilahi kembali.
Hidup itu begitu sahaja.
Dan kini, antara soal cinta dan mati. Mungkin sahaja mahu difokuskan pada ajal yang entah bila waktunya. Berfikir apa yang mahu dilakukan, andai sahaja jemputan kembali kepada Dia itu tempohnya sudah esok sahaja.
Saya bukan naqibah usrah atau ahli pimpinan jemaah atau apa-apa. Hanya pemerhati luaran biasa yang kagum melihat sahabat-sahabat bersemangat dalam dakwah dan tarbiyah. Dan diri seolah pengemis jalanan cuma yang mengutip cebisan hikmah yang punya tempias dan memberi diri cukup makan dengan itu.
Masih dan terus mencari dan belajar apa itu erti dakwah dan tarbiyah.
Selalu pesan pada diri. Usah merasa diri tinggi dan hebat. Kerana walau seberapa ramai manusia yang memandang yang baik pada diri kita, hakikatnya pandangan Allah pada kita itu tidak tahu bagaimana. Maka, menangislah selalu wahai hati.
Lihat yang aibnya banyak pada diri. Dan selalulah lihat dan doakan yang baik-baik sahaja pada yang lain.
Mencari dan belajar. Selagi belum ditemui, terus dicari. Jumpa dan fikir lagi. Itu juga satu pelajaran yang penting buat diri saya dalam meniti kehidupan. Dan ia selalu berterusan begitu.
Saya cuba hidupkan tiap detik kehidupan saya dengan berfikir. Dan kembalikan semuanya kepada Allah.
Dan begitulah diri belajar. Belajar untuk mengemis hakikat kehidupan.
Moga kembali kepada-Nya dalam keadaan diredai Dia.
300814
Catatan pada tarikh kelahiran.
Mungkin catatan ini perlu untuk ditatap suatu masa nanti.
Ini titik minda saat pemikiran mula untuk menjelajah lebih jauh.
Dan bawalah hati ini sekali.
No comments:
Post a Comment