Saturday, July 14, 2012

Elak Keliru Cinta Bercelaru



أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
 بسم الله الرحمن الرحيم
 
Sewaktu suatu ketika saling berbalas message dengan sahabat nun di UIA Gombak sana, secara tidak sengaja persoalan hati dikeluarkan. 

"rindu b2 juga.. :( bese la. Chat Alhamdulillah. Tp dlman xbpe chat. Cane nk jg hati ne ye bitu?"

 
Soal hati. Dan perasaan.

"Dr maksiat. Dr zina hati. Dr sgla dosa. Dr lelaki. Xsuka la. Org sknk dok kapel2. Kte tanak. Tp kwn y rpt2 sume da ad. Keingnn 2 ad tp nk elak. Ssh sgt. Cne eh?"


 Dia seorang sahabat yang bukan dari jurusan Bahasa Arab seperti saya. Mula mengenalinya melalui perantaraan seorang roommate yang juga satu jurusan dengannya. Seorang muslimah yang sangat periang dan ramah. Sungguh! Cepat sahaja mesra kerana perwatakannya yang 'happening' serasi dengan diri.


Peribadinya yang satu itu mengagumkan. Yang mana tidak saya temui ketara pada sahabat lain sekalipun mereka yang satu jurusan. Satu yang terlalu mengajar saya, sikapnya yang dahagakan ilmu. Sikapnya yang tidak malu walau tidak tahu dan terus bertanya andai tidak memahami sesuatu perkara. Merendah diri. Saya malu sendiri dalam rasa dihargai kerana selalu sahaja bertanya kepada diri ini. Sedangkan saya sendiri maklum tidak banyak ilmu yang saya tahu untuk dikongsikan dan menjawab soalan-soalan daripada dia seorang muslimah manis bertudung labuh. 

Love ya friend!









Tika di bangku sekolah, saya rasakan sayalah yang paling mundur apabila masuk bab cinta. Orang lain dah sibuk berkongsi cerita tentang seseorang yang diminati, saya masih dengan jiwa kanak-kanak yang ceria dalam dunia khayalan 'princess comel-comel' seperti Snow White dan Cinderella. Hingga pernah memasang hasrat menyimpan rambut sepanjang Rapunzel. Pernah dikatakan 'otak suci' dan seorang budak yang 'innocent'. Fuh. Bagaimana harus saya lakukan. Saya memang seorang pelajar yang skema. Boleh dikatakan dalam kategori nerd mungkin? Hehe.

 


Rupanya diri pernah disapa cinta. Teringat waktu usia dalam lingkungan sekolah rendah pernah memarahi seorang budak lelaki yang dalam diam mengatakan suka. Mujur ada sepupu lelaki berpangkat abang yang menenangkan diri. Pernah mahu sahaja memasamkan muka setiap kali bertembung dengan dia seorang yang saya tahu punya 'taman dalam hati'.


 

Rupanya pernah menerima kiriman hadiah daripada seseorang yang tidak saya kenali. "Fuh, ada juga orang minat aku tapi ada aku kisah? Huh". Tergelak sendiri apabila mengingati zaman tidak matang. Berfikir sendiri bagaimana bisa sebegitu berani memarahi seorang lelaki sedangkan kini membesar sebagai seorang gadis yang sangat pemalu dan ayu. Phewwit.
Tak adalah. Saya gurau sahaja. Hehe.




Seputar ingatan saya tentang cinta 'pucuk pisang' dahulu, saya yakin anda juga punya cerita 'cinta rebung' sebegitu bukan? Simpanlah sebagai kenangan. Bagi saya ini sekadar perkongsian suka-suka menggali sebahagian kisah lucu dalam kehidupan. Tidak lebih daripada itu.



Dan hingga kini sahabat sudi menjadikan diri tempat luahan bicara tentang soal perasaan dari hati ke hati. Dan dari situ diri memahami isu cinta ini evergreen. Sungguh saya tidak pernah bosan. Malah bukan hak saya untuk mendengar acuh tidak acuh setiap perkongsian daripada sahabat. Raikan ceritanya. Walaupun melihat kepada kisah hidup saya, saya bukanlah seorang yang layak untuk berbicara tentang cinta. Kerana saya masih belum cukup makan garam!


 

Ada kisah tersepit kerana cinta. Ada kisah keinginan mahu berubah terkadang terasa payah kerana cinta dulu datang mengundang. Ada kisah tangis disebabkan cinta. Ada kisah yang keliru dalam mengejar cinta. Apa yang mampu saya lakukan hanyalah terus mendengar dengan hati terbuka. Don't ever easily judge them but help them till the end.



Terkadang ada sahabat yang mendesak supaya menceritakan soal hati kerana hanya dia sahaja yang berkongsi. Bukan saya tidak mahu tetapi tiada apa yang menarik tentang cinta untuk diberitahu. Rasa suka itu pasti ada tanda kenormalan hormon tetapi sekejap sahaja. Sukar meminati seseorang. Sukar jatuh cinta. Jadi, tiada cerita. Mungkin kerana masih meminati 'Barbie' dan melangut kepala menonton 'Totally Spies'? Entah.



Prinsip. Tidak ada yang boleh mengambil tempat 'dia-yang-entah-di-mana' selagi belum ada ikatan sah. Prinsip. Tidak mahu dimabukkan dengan khayalan cinta yang tidak pasti. Prinsip. Jangan biarkan cinta yang tidak diundang meruntuhkan pendirian seorang muslimah dalam diri. Prinsip. Hidup ini bukan sekadar untuk diisi dengan kecintaan terhadap manusia. Prinsip. Katanya seorang da'ie, kau harus kuat untuk mendidik ummah jadi jangan mudah lemah kerana cinta!



Mungkin kerana prinsip ini yang membuatkan diri tetap pada pegangan. Anda juga begitu, bukan? Maka pegang ia kemas-kemas. Saya mahu dia yang ikhlas dalam cinta terhadap agama jadi saya juga berkeras mendidik jiwa meletakkan Dia di dalam hati. Walaupun saya tahu masih belum berjaya. Payah. Terlalu kerana cinta dunia itu bersifat mengasak. Namun, pasti terus usaha! Bukan mudah untuk menjadi muslimah yang kental melawan arus cinta zaman kini. So, just take the challenge!



Lelaki pada saya begini. Yang lebih tua bagaikan seorang abang untuk dihormati. Yang lebih muda dianggap bagai adik sendiri untuk dikasihi. Yang sebaya sebagai sahabat seperjuangan. Ada yang lebih mengambil pendekatan untuk lebih menjaga. Tua atau muda sama sahaja. Raikan pendiriannya. Kerana kita masing-masing membesar dalam suasana persekitaran yang berlainan. Yang penting, syariat dan batas itu mesti tetap terjaga.



Apabila begitu, saya mengajar diri untuk tidak mudah membenarkan sesiapa menyentuh hati saya. Sering saya ulang supaya jangan terlalu mudah perasan dan cepat melatah. Tidak bermakna lelaki yang menegur kita punya perasaan. Ada segelintir yang punya semangat setiakawan yang tinggi. Raikan mereka. Kerana mereka juga manusia seperti kita. Rai sekadarnya yang perlu. Namun, mana yang berkehendak lebih, nantikan 'sepakan penalti'. 



Ada juga yang bosan apabila asyik berbicara soal cinta. Cinta, cinta dan cinta. Perkara lain tidak adakah? Pernah saya memerhati komentar yang diberikan daripada seseorang di blog seorang ustazah yang kini aktif dalam perkongsian di universiti serta penerbitan buku-buku berkisar cinta remaja. Apa yang saya fahami dia ingin mengatakan bahawa cukuplah bercakap soal cinta. Masih banyak lagi isu tentang Islam yang bisa diutarakan dan dilontar pandangan.



Saya sebagai pembaca menyambut baik pandangannya. Ada yang benar dari satu sudut. Namun, apabila memandang dari segi penyampaian dakwah ustazah pula, apa yang dapat saya simpulkan ustazah bijak mengetengahkan isu cinta untuk menarik perhatian remaja terutamanya secara halus dan membawa tiap-tiap hati mendekati Allah. Well, people saw things differently. Ambil hanya yang baik. Ketepikan yang jelik.



Apa yang saya lihat, cabang dakwah itu luas dan setiap da'ie punya kreativiti dan cara tersendiri. Sokong mana yang benar dan tunjuk mana yang salah. Saya suka dan sokong blog cinta terkenal ini. Dakwah itu pelbagai. Manusia juga berbagai ragam. Andai semuanya mesti bicara tentang persoalan khilafah Islamiyah, ada dalam kalangan mereka yang mabuk cinta kemungkinan besar langsung tidak berminat dengan isu sebegini. Apakah mahu membiarkan mereka terus begitu? Dakwah yang mahu disampaikan juga haruslah mengikut tahap pemahaman mad'u. Benar bukan? Sama-sama buat kerja mengikut kemampuan masing-masing.



Berdakwahlah sekalipun dengan isu cinta manusia yang kerap kali terulang. Namun ingat, hati juga perlu pengisian yang lebih daripada sekadar cinta itu. Perluaskan skop pandangan melihat perkataan 'cinta'. Hebat andai pada tiap lintasan di minda, anda sentiasa mentafsir perkataan 'cinta' itu adalah cinta kepada Allah. Nah, begitu yang kita mahu.


Bagusnya Lelaki Itu...



Saya punya seorang sahabat yang agak sensitif apabila dikaitkan dengan isu kahwin. Tidak seperti sahabat lain yang saling mengusik tanda gurauan 'sesama kita'. Bukan tidak ada cuma jarang. Tersenyum melihat telatah dirinya. Lucu. Makin galak dan seronok diri ini mengusik. Tinggal berjauhan dari keluarga terkadang menyebabkan dos jahat kakak sulung datang tiba-tiba.



Suatu hari ketika dia pulang dari bersiar-siar, keluar daripada perkarangan universiti dan kembali ke bilik, dia mula berkongsi cerita. Katanya sewaktu berada di dalam kedai buku dia terdengar seorang lelaki mengatakan...

"Sebelum aku kahwin, aku mahu bahagiakan ibu bapa aku dahulu,"

Tersentap. Saya yang terasa.

Saya dan dia sama-sama mengiyakan kenyataan itu.

Jauh merenung. Kata-kata itu dalam maksudnya. Saya ambil serius.

Sebelum aku kahwin, aku mahu benar-benar merasai cinta Ilahi.
Sebelum aku kahwin, aku mahu mengutip pengalaman selama mana hidup sendiri.
Sebelum aku kahwin, aku mahu persiapkan hati untuk menghadapi cabaran mendatang.

Sebelum aku kahwin...ah, entahkan sempat atau tidak!

Yang pasti, akan kahwin atau tidak, ajal pasti akan datang.
Sebelum kematian datang menjemput, tidak dapat tidak diri mesti sentiasa melakukan perubahan ke arah kebaikan.

Seharusnya ditukar 'sebelum aku pergi...', kemudian baru menyedari begitu banyak perkara yang masih perlu dilakukan selain hanya berfikir 'sebelum aku kahwin'!

Menjalani kehidupan mencari sebenar-benar hakikat cinta.
 









Kesimpulan.

Ini kesimpulan yang panjang. Apa yang mahu disampaikan kali ini.

Cinta kerana manusia. Salahkah?


Tidak salah tetapi jangan sampai diri lemah kerananya. Apabila kau menyedari diri merupakan seorang pejuang maka itulah fokus kehidupanmu. Ya, melalui cinta juga diri bisa berdakwah. Cinta melalui perkahwinan itu membuka ruang dakwah yang makin besar apabila mengenali mereka yang sebelum ini tidak diri kenali. Namun, hati itu juga harus kita bina sekental kanak-kanak Palestin yang bangkit mempertahankan agama yang tetap sahaja tersenyum walau dilumuri darah.


Tidak salah. Kerana itu adanya perkahwinan untuk merai fitrah manusiawi. Tidak salah mahu berbicara soal kahwin dan merancangnya mengikut syariat kerana itu juga yang dianjurkan Rasulullah. Namun lebihkan pada perancangan dan pengurusan diri. Tidak usah melihat jauh, lihatlah terlebih dahulu pada solat lima waktu sehari semalam. Apakah berusaha didirikan pada awal waktu?


Tidak salah tetapi usah kau keliru memandang cinta. Cinta yang tidak syar'ie tiada sebab untuk kau cemburui. Bersabarlah. Jodohmu pasti tiba andai takdir ada di dunia. Jangan mengambil jalan mudah dengan menjalin hubungan cinta yang membelakangi-Nya. Itu cinta nafsu! Tiada keberkatannya andai lorong itu yang diambil. Maka, waspadalah. Kerana syaitan itu bijak menghias perkara maksiat pada penglihatan sebagai suatu khayalan indah.


Tidak salah tetapi berjaga moga tidak cenderung ke arah cinta manusia yang tidak halal. Rentetan itu hati menjadi sedih tatkala cinta tidak seperti yg diidam. Tidak salah mula mencari andai diri itu sudah diketahui bersedia memasuki fasa baru. Namun berpadalah.
Jangan sehingga pencarian menjadi racun kepada ibadah.


Tidak salah. Tetapi ketahuilah, mereka yang mendekati cinta manusia hanya akan memikirkan manusia. Kata novelis terkenal, Ustazah Fatimah Syarha, mereka yang menginginkan perkahwinan sebagai jalan tutup daripada terjebak ke dalam maksiat zina sebenarnya mendedahkan bahawa kehidupan dirinya dekat kepada jalan-jalan zina seperti SMS, calling, dating dan lain-lain. Begitu juga, apabila mereka yang benar-benar menginginkan cinta Allah pastinya melazimi diri dengan perkara yang membawa
kepada kebaikan dan mengisi fikiran dengan perkara yang memberi nafas segar terhadap iman.


Jernihkan hati mencari diri.
Kita hanya hamba yang melalui tempat persinggahan sebelum kembali kepada-Nya.
Dunia itu penuh tipu daya maka persiapkan diri menghadapi-Nya.
Cinta itu bukan noda tetapi kitalah yang sering mewarna hitamkan kanvas cinta sendiri.


Peringatan sepenuhnya buat diri.
Kerana saya juga seorang remaja. 
Kerana saya juga seorang manusia yang keliru.
Menyedari itu mesti berpegang erat pada prinsip agama.
Sebelum ditarik cinta bercelaru bernafsu.





 

Akhirnya, soal cinta terpaksa juga dibicara kerana dunia makin tenat akibat keliru dengan cinta!


Amat saya hargai anda yang membaca menegur kesilapan saya. 


Perkongsian buat semua.
Tamparan buat diri sendiri.
Jazakumullah khairan katheera kepada yang sudi baca. 


"Ya Allah, jadikanlah bicaraku, tulisanku...adalah ibadah kepada-Mu. Ya Rahman, ikhlaskanlah hatiku dalam apa jua aku lakukan. Hapuskanlah segala sifat riak, sombong, dengki, iri hati andai ada bersarang dalam hati ini. Kau tiupkanlah sifat-sifat mahmudah ke dalam hatiku. Ya Raheem, jadikanlah cinta dan rinduku kepada-Mu setinggi-tinggi dan seindah-indah cinta dan rindu dalam hati ini. Ameen Ya Rabbal 'Alameen"

 

2 comments:

zAhIdA ALi said...

mohon share ye...
terima kasih.. :)

Unknown said...

:) sangat menarik...