Tuesday, April 3, 2012

Sinar Buat Syria



أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
 بسم الله الرحمن الرحيم


Arghhh!

Kepalanya berserabut. Terasa mahu menjerit sekuat hati. Namun, teriakan itu hanya terhenti di tenggorokan. Pedih dan sakit menahan peritnya jeritan dalam hati yang tidak mampu diluah. Dia sendiri tidak mengetahui apakah puncanya. Apa yang dia tahu, kedamaian dalam hati semakin sirna cahayanya. Hilang ditelan fatamorgana indah dunia.

 
“Kenapa dengan aku ini?” Satu keluhan terluah. Nafas ditarik sedalamnya dan dihela secara perlahan-lahan. Memaksa mata agar pejam, ingin lelap mahu melupakan segala kekusutan yang bermain di ruang fikiran. Namun mindanya terus memaksa kelopak mata untuk kembali terjaga. Malam sudah larut. Angin membuai bersama qasidah sang cengkerik. Sudah berapa kali diperbetul posisi tidurnya. Sekejap mengiring ke kanan. Merasakan kurang selesa maka diubah ke kiri. Ah, susahnya mahu tidur!


Tiba-tiba pintu biliknya diketuk. Tersentak. Satu ketukan. Dua ketukan. Tiga ketukan. Disusuli ketukan bertalu-talu tanpa henti. Peluh keringat mula membasahi. Hangat hawa terasa walau kipas berpusing pada kelajuan paling tinggi. Siapakah itu? Mamakah? Tetapi mengapa ketukan itu mengundang kebimbangan jauh ketenangan dari jiwa halus seorang ibu? Dan…mengapa hati ini tidak henti bergetar?


 Dia bingkas bangun. Entah apa yang mendorong sedangkan hatinya menjerit mahu sahaja berselimut hingga ketukan yang berpalu itu menyepi. Setapak demi setapak kaki melangkah. Menapak ke arah pintu.


Baru sahaja ingin memulas tombol pintu, kedengaran bunyi das tembakan senapang. Ketukan itu juga masih tidak henti. Menyeksakan jiwa! Tanpa sedar, seorang lelaki berwajah bengis telah masuk ke kamar dan memandangnya tajam tanpa berkelip. Senapang AK-47 digenggam kemas jemari beruratnya.

 
“Kau siapa?” Bulu romanya meremang.
“Bukankah kau mengenali siapa aku?” Lelaki tersebut ketawa berdekah-dekah.
“Bunyi tembakan apakah itu? Mana mama dan papa aku?”
“Itu adalah bunyi lapar peluru yang meragut nyawa bapamu. Mama kau yang cantik itu telah aku ratah badannya,” suara garau itu ketawa puas.
“Jahanam!” Separuh sedar dia cuba menerkam lelaki berhati batu itu. Berlaku pergelutan antara keduanya. Dengan ilmu silat yang dituntut, sedayanya cuba melawan. Namun apakan daya, kudrat lelaki bertubuh tegap itu dengan mudah melumpuhkan serangan rapuh seorang remaja belasan tahun.


“Kau seorang yang hipokrit! Hipokrit!”
“Apa maksud kau?”
“Ah, sudah tahu bertanya pula. Kau hanya manusia yang mementingkan diri sendiri! Orang seperti kau lebih baik mati!” Senapang yang ada dicapai lelaki bengis dan dihalakan tepat pada dahinya. Picu ditarik. Bang!

 
“Allahuakbar!” Matanya celik. Peluh membasahi wajah. Hanya kedengaran bunyi kipas siling yang berputar laju.
“Astaghfirullah, aku mimpi rupanya.” Mulutnya terkumat-kamit beristighfar. Wajah diusap perlahan-lahan. Rupanya terlena saat hanyut melayan perasaan. Jam loceng dikerling. Sudah hampir jam 4.45 pagi. Spontan matanya melihat kepada helaian kertas di tepi bantal yang diprint semalam. Sudah menjadi tabiatnya membaca sebelum tidur dan terlena sebelum suis lampu ditutup. Jika tidak sebuah novel atau buku motivasi yang menjadi peneman, artikel yang didapati dari pembacaannya di blog atau laman web bakal dihadam. Makanan rohani sebelum lena dibuai mimpi.


Kenapa dengan Syria. Peristiwa di Syria. Peduli akan Syria. Itu antara tajuk yang tertera pada tiga helaian kertas A4 bercetak tulisan hitam. Syria, Syria dan Syria. Itu khabar yang mula didengari sekarang. Berita yang kurang menyenangkan. Namun, dia tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku di Syria. Kerana itu yang mendorong kebiasaannya melayari internet menghabiskan masa di Facebook.com berubah kepada pencarian di google.com dengan kata kunci ‘Syria’. Kerana rasa ingin tahu.

 
“Sampai terbawa-bawa ke dalam mimpi. Mujur sekejap sahaja. Jika tidak, mungkin akan ada adegan adik perempuan aku dibunuh seperti gambar kanak-kanak kecil yang berlumuran darah dalam artikel ini.” Hatinya tiba-tiba sayu. Mengapa dunia begitu kejam? Dan mengapa dunia juga bagaikan membisu walau mengetahui ada jiwa dan jasad yang menderita? Mereka bukan orang lain, mereka saudara atas iman!


Sabda Rasulullah SAW : “Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya”.


Allah berfirman dalam surah Al-Maidah ayat 2 yang bermaksud : “Dan hendaklah kamu tolong-menolong di atas perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong-menolong di atas perkara dosa dan permusuhan”.


Ditatap hadis dan ayat Al-Quran dalam artikel yang telah dihighlight menggunakan marker pen. Teringat perbualan alam maya bersama abangnya semalam yang kini menuntut di Jordan dalam bidang Usuluddin.


Azman89_Muslim       : Areef tahu apa yang berlaku di Syria sekarang?

AreefAleef92                : Syria? Kenapa dengan Syria?

Azman89_Muslim       : Berlaku kebangkitan menuntut keadilan di sana. Rakyat Syria bangun berjuang ingin lepas dari kekejaman dan kezaliman pemimpin sendiri. Dan Areef tahu tak apa maksud sebenar matahari?

AreefAleef92                : Hmm…salah satu makhluk ciptaan Allah? Matahari berkaitan dengan sistem solar?

Azman89_Muslim       : Benar tetapi ada maksud tersirat lebih daripada itu andai dilihat dengan mata hati. Lihatlah matahari, tetap setia mencurah cahaya menyinari kegelapan. Tidak memilih dalam memberikan cahayanya bahkan segala apa ada di bumi bakal disinari.

AreefAleef92                : Areef masih tak faham. Jadi, apa kaitan Syria dengan matahari?

Azman89_Muslim       : Areef cuba bayangkan keadaan Syria. Anak-anak gadis bersembunyi kerana bimbang dan takut maruahnya diragut. Namun lihat remaja kita, terus lalai dan alpa dalam tipu daya dunia. Masalah sosial yang tidak berkesudahan. Perzinaan, penagihan dadah, pembunuhan, penculikan bukanlah suatu khabar yang asing pada pendengaran. Tidak aman! Tiada kedamaian kerana akhlak pemuda pemudi yang semakin runtuh tetapi lihatlah Syria, mereka tidak aman kerana tak lelah berjuang menegakkan agama! 

AreefAleef92                : Allah…

Azman89_Muslim       : Masa lapang yang kita ada dipersiakan. Anak muda sibuk dengan cinta sedangkan kanak-kanak Syria telah matang mencoret kebebasan menyuarakan tuntutan keadilan. Hanya pentingkan diri sendiri hingga tiada sensitiviti terhadap nasib umat Islam yang lain. 

AreefAleef92                : Ukhuwwah bukan hanya terhad pada mereka yang di sekeliling kita tetapi juga terhadap seluruh muslimin dan mulimat. Betul tak abang?

Azman89_Muslim       : Benar Areef. Namun begitu, walau ada yang menyedari tetapi tetap sahaja kedekut ingin meluangkan sedikit waktu berdoa buat mereka. Ramai yang mengaku mujahid dan mujahidah pejuang agama tetapi tetap membiarkan diri lalai. Memberi tazkirah di Facebook namun waktu solat tidak dijaga. Minda hanya berfikir tentang kekasih sedangkan remaja di sana berjuang menuju syahid. Kita alpa dalam kenikmatan. Kebendaan dan rupa menjadi keutamaan. Kepentingan materialistik dipersoal. Terus tenggelam dalam kesenangan menghapus rasa peduli terhadap yang lain. Berendam air mata ditinggal pacar, bukan mahu berfikir sumbangan diri  terhadap Islam. 

AreefAleef92                : Abang…kenapa ya jiwa Areef sekarang terasa kosong. Macam mana mahu pulihkan kembali semangat dalam diri?

Azman89_Muslim       : Andai jiwa terasa lemah, kuatkan dengan ibadah wajib. Perbanyakkan amal sunnah Rasulullah SAW. Areef tahu bagaimana kita bisa memperoleh bahagia dengan senangnya?

AreefAleef92                : Bagaimana abang?

Azman89_Muslim       : Bahagia dengan memberi. Memberi itu terkadang terlihat semakin kurang kuantitinya namun hakikatnya semakin meningkat pada pandangan Allah andai disertai dengan hati yang ikhlas. Kita hidup bukan hanya untuk diri sendiri tetapi juga untuk orang lain. Rasulullah SAW bersabda sebaik-baik manusia adalah mereka yang memberi manfaat terhadap yang lain. Khairunnas anfa’uhum linnas. 

AreefAleef92                : Oh begitu. Abang mahu Areef menjadi seorang pemberi, menjadi matahari buat Syria ya?

Azman89_Muslim       : Ya dik. Berilah cahaya semampunya. Sebarkan maklumat tentang Syria dan jadikannya antara modal perbualan setiap hari. Boikotlah barangan yang menyokong terhadap kekejaman umat Islam. Menghadiri majlis ilmu juga antara salah satu usaha kerana hanya ilmu bisa membuka hati melihat kebenaran yang mesti tertegak di samping infaq memberi sedekah.

AreefAleef92                : Paling tidak pun doa buat mereka, kan abang? Kelihatan senang tetapi sukar diamalkan.

Azman89_Muslim       : Benar Areef. Tidak mengapa, apa yang penting adalah usaha. Adik abang mesti pernah mendengar kisah burung yang ingin memadamkan api ketika Nabi Ibrahim dibakar Raja Namrud kan? Burung tersebut tetap sahaja membawa air dengan paruhnya yang kecil walau mengetahui tidak mampu memadam api yang marak lantaran kudratnya yang kecil. Katanya, paling kurang dia telah menjalankan tanggungjawab dan tidak berdiam diri apabila melihat kekasih Allah dizalimi orang kafir. Allah tidak mengira hasil tetapi melihat kepada usaha.


Wajahnya diusap. Mencerna kembali butir bicara hikmah abangnya.
Ya, sekarang sudah kutemui punca kekusutan. Aku benci terhadap diri sendiri. Aku benci diri aku yang selama ini hidup dalam dunia sendiri. Aku benci diri aku yang selama ini mementingkan diri sendiri dan tiada rasa peduli terhadap saudara seakidah. Benarlah seperti apa yang dikatakan lelaki bengis dalam mimpiku itu, aku seorang hipokrit. Mengaku seorang pejuang tetapi hal umat tidak diambil tahu. Seorang penegak kebenaran itu adalah matahari buat yang lain. Memberi dan menyinari kehidupan yang lain.


Ada suria buatmu Syria. Walau kecil cahayanya namun sinarnya terang tak akan padam. Aku janji!







Cerpen buat CFS IIUM 'Amal Islami.
Terima kasih buat sahabat-sahabat yang memberi galakan dan idea. Kalau tak, tak siap pun ni ^_^


"Ya Allah, jadikanlah bicaraku, tulisanku...adalah ibadah kepada-Mu. Ya Rahman, ikhlaskanlah hatiku dalam apa jua aku lakukan. Hapuskanlah segala sifat riak, sombong, dengki, iri hati andai ada bersarang dalam hati ini. Kau tiupkanlah sifat-sifat mahmudah ke dalam hatiku. Ya Raheem, jadikanlah cinta dan rinduku kepada-Mu setinggi-tinggi dan seindah-indah cinta dan rindu dalam hati ini. Ameen Ya Rabbal 'Alameen"


2 comments:

Addailamy Amin said...

wah ni cerpen amal islami kak ke?insyaAllah menang,best nya citer ni.amin akan sokong kak.jelesnya ade bakat menulis mcm kak ni ^^

o-r-b-s said...

BEST