Tuesday, April 3, 2012

Azimat Kasih Seorang Pejuang



أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
 بسم الله الرحمن الرحيم


“Ilham, bangun. Subuh sudah lama masuk. Hoi, bangunlah.” Ini merupakan cubaan kali kelima Zafrin mengejutkan Ilham yang seringkali liat bangun awal dan lewat daripada menunaikan solat Subuh pada waktunya. Zafrin merupakan satu-satunya teman sebilik Ilham. Kebiasaannya Zafrin kelihatan lebih menonjol berbanding Ilham dari aspek pelajaran mahupun agama.


8.15 pagi. Ilham seraya bangun sambil menggosok-gosok kedua kelopak mata disertai dengan kuapan yang panjang. Matanya dipejam celik silih berganti. Segera dicapai tuala yang tergantung dan menapak perlahan ke arah bilik air untuk membersihkan dirinya.

 
“Dah bangun? Huh.” Zafrin yang sedang menelaah kitab Adab Nusus melontarkan pertanyaan sinis. Pelajar tahun dua jurusan Bahasa Arab Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu cukup mementingkan waktu solat. Sememangnya dia berasal dari latar belakang keluarga yang menitikberatkan pendidikan agama. Ilham tidak mempedulikan Zafrin malah pantas bergerak ingin memulas tombol pintu bilik air.


“Aku pesan tidur awal semalam kau tidak mahu ikut. Hari minggu macam ini makin nyenyaklah kau dibuai mimpi atas katil. Setiap malam tidur lewat. Entah apa kerja yang dilakukan. Chatting dengan buah hati agaknya,” Zafrin serkap jarang. Geram namun mimik mukanya bersahaja. Kamus Al-Farid dibelek.



Kaki Ilham terhenti dari terus melangkah. Jelingan tajam dipanah ke arah sahabatnya yang pasti tidak akan lupa menghadiahkan bebelan setiap kali rutin waktu berjaga dari tidurnya begitu. Zafrin tidak menghiraukan jelingan Ilham dan berpura-pura khusyuk menulis sesuatu. Kedengaran bunyi pintu bilik air dihempas kuat. Zafrin perlahan-lahan mengangkat muka menalakan pandangan ke arah pintu yang tertutup kemas sambil menggeleng-gelengkan kepala.







“Kau ada masalah dengan Zafrin lagi?” Rafiq memandang wajah Ilham yang kerut seribu sambil melakukan senaman ringan sebentar sebelum memulakan latihan bola pada petang itu.


“Entahlah, Zafrin sahabat yang baik dan banyak menasihatkan aku. Aku pakai seluar panjang sewaktu sukan sekarang ini pun kerana nasihatnya yang lutut itu juga aurat. Banyak tegurannya terhadap aku cuma yang paling susah untuk aku ubah ialah bangun awal. Katanya aku sering solat gajah. Aku sudah berusaha mengunci jam tetapi keadaan masih seperti ini. Walau jam berdering sekalipun, belum tentu terjaga kerana tidur mati. Dikejut juga tidak mahu bangun. Apa lagi yang harus aku lakukan? Dia memang baik tidak pernah putus asa dalam memberi bicara keinsafan terhadap aku. Aku cuba mendengar tetapi terkadang entah mengapa hati ini menolak kembali melihatkan kepada gaya tegurannya. Daripada rasa ingin menerima bertukar kepada rasa ingin memberontak. Aku sendiri tidak faham.” Ilham melontarkan pandangan jauh ke tengah padang. Kelihatan sahabat yang lain juga sedang melakukan stretching seperti Rafiq untuk mengelakkan kemungkinan berlaku sebarang kekejangan sewaktu permainan rancak berlangsung nanti.

 
“Patutkah semalam dia mengatakan aku tidur lewat kerana chatting dengan girlfriend? Makin sakit hati aku rasakan. Dia tidak cuba untuk bertanya terlebih dahulu malah melemparkan sangkaan buruk, sedangkan aku berjaga untuk menyiapkan assignment yang bertimbun itu. Walaupun susuk tubuh tinggi dan wajah tampan aku ini membuatkan ramai perempuan tergoda tetapi tidak pula aku terfikir mahu bercouple atau bermesraan tanpa ikatan dengan bukan mahram. Aku juga tahu agama cuma dia lebih lagi.” Rafiq menolak bahu Ilham berpura-pura menyampah sebagai respon kepada akhir bicara Ilham yang seakan-akan mengangkat bakul sendiri. Ilham hanya tersengih. Sememangnya dia begitu. Sentiasa disenangi rakan-rakan kerana sense of humor yang dimilikinya. Masih mampu berjenaka walau dalam keadaan sedih mahupun marah. Namun, sengihan tadi hilang kembali muram. Umpama matahari yang hilang sinarnya dilindungi awan mendung kelabu.


“Keduanya sahabat aku. Kau sahabat sekelas aku. Zafrin itu pula sahabat satu halaqah dengan aku. Aku juga tidak gemar melihat kamu berdua asyik berselisihan faham dan tidak bertegur sapa atas perkara yang boleh diselesaikan bersama. Berbaiklah.” Rafiq kemudiannya membisu. Kematian bicara. Tidak mengetahui apa lagi yang harus diutarakan. Ilham hanya mendiamkan diri. Fikirannya menerawang jauh memikirkan sesuatu.







“Adakah saya yang salah, abang?” Haikal memandang adik didikan halaqahnya yang tidak keruan itu. Sempat dia meluangkan masa sebentar bersama atas permintaan Zafrin yang ingin meluahkan segala coretan hati. Sebagai seorang yang lebih matang dalam angka usia mahupun pemikiran, dia bisa membaca hati Zafrin yang bercelaru saat ini. Wajah anak muda di hadapannya itu mempunyai semangat yang membara dalam perjuangan cuma mungkin ada sesuatu yang perlu diperbetul segera.


“Zafrin, abang mahu memberikan satu analogi tentang uslub penyampaian dakwah. Ada dua pilihan cara mengejutkan orang untuk bangun dan solat Subuh pada awal waktu. Cara pertama adalah dengan menghalakan laptop speaker ke telinga orang tersebut dan dibukakan azan dari laptop dengan volume sehabis kuat. Cara kedua adalah dengan menutup semua suis kipas dan dibukakan semua suis lampu tanpa perlu berkata apa-apa. Pada pendapat adik yang abang sayangi ini, mana satu antara dua cara tersebut yang Zafrin rasakan adalah method dakwah?”


Zafrin mendiamkan diri selama beberapa minit dan mula memberikan jawapan. “Cara kedua, abang…”
“Kenapa?” Haikal memberi peluang kepada mad’unya untuk berfikir dengan lebih kritis.


“Kerana cara kedua lebih lembut dan mudah diterima berbanding cara pertama. Itulah namanya teguran secara berhikmah,” Zafrin kembali senyap kerana merasakan apa yang terkeluar dari mulutnya sebentar tadi bagai bicara yang kembali menyindir dirinya sendiri setelah mengingatkan bagaimana tegurannya terhadap Ilham tempoh hari. Haikal mengangguk-anggukkan kepala tanda mengiyakan jawapan Zafrin. Dia menyedari adik didikannya itu kaya dengan teori namun masih harus diberikan dorongan dan pencerahan untuk praktikal.


“Benar apa yang dikatakan Zafrin. Tiada siapa yang menyukai teguran berbentuk kasar dan keras tidak bertempat. Sememangnya nasihat harus dilakukan secara berhikmah. Namun ingat, hikmah tidak bermakna lembut. Hikmah itu pada ucapan yang tepat dan pada tindakan yang betul. Contohnya, umpama seorang ayah yang berhikmah dalam mendidik anak-anaknya. Ada waktu anak harus dipukul sebagai pengajaran atas kesalahan dan ada ketika anak harus dibelai dengan bicara penuh kasih sayang. Kita sebagai penyambung rantaian perjuangan Rasulullah SAW mesti mencontohi Baginda yang berhikmah dalam menyampaikan kebenaran. Andai tiada hikmah, mungkin bisa bertukar menjadi fitnah sehingga menyebabkan sasaran dakwah lari. Kerana silap pada keperibadian dalam membawa haq bisa memberi kesan sehingga ada yang menolak Islam itu sendiri. Kerana silapnya percaturan dalam mencegah kemungkaran juga mungkin akan menyebabkan suara-suara sumbang seperti ‘eleh, budak agama, pakai kopiah bajet alim…’ atau ‘mentang-mentang course agama, tunjuk baik konon…’ mula kedengaran. Jelas?”
Zafrin terus membisu. Terasa setiap butir bicara Akh Haikal yang sangat dihormatinya itu menghempap ke atas kepala. Walau tiada benjolan namun tetap sahaja terasa sakit.


“Perkara paling penting dalam usaha menegur manusia haruslah disertai dengan kasih sayang dan melihat mereka dengan pandangan rahmat. Ada kisah seorang muallaf yang mengatakan keislamannya sekarang adalah kerana bermulanya pertanyaan seorang muslim yang menegur dan bertanya tentang kefahamannya terhadap Islam tujuh tahun yang lepas. Zafrin, tidak semestinya hari ini kita menegur, hari esok sudah terlihat perubahan. Keberhasilan sesuatu perkara adalah natijah milik Allah. Yang penting adalah usaha yang tak putus dan tawakal kerana hanya Dia yang bisa mengurniakan sinar hidayah kepada hamba yang Dia kehendaki.”


“Zafrin teringat akan kisah perjanjian Hudaibiyah yang tidak adil. Rasulullah menyuruh untuk bertahallul namun sahabat tidak mahu kerana berkecil hati. Di sini terlihat Rasulullah yang merupakan sebaik-baik manusia juga tidak mampu membuatkan orang yang didakwah untuk terus mengikut. Atas nasihat Ummu Salamah, Rasulullah bertahallul dahulu kemudian barulah sahabat juga menuruti perbuatan Baginda. Benarlah, action speaks louder than word.”


“Zafrin pasti mengetahui hadis Rasulullah tentang kecintaan terhadap saudara ini. Laa yu’minu ahadukum hatta yubibba li akheehi maa yuhibbu linafsihi. None of you truly believes until he loves for his brother what he loves for himself.”
“Ya abang. Kenapa?”
“Abang mahu berkongsi satu azimat rahsia dalam berdakwah dan Zafrin mesti melakukannya.”
Madzaa ya Akhee?”
Haikal membisikkan sesuatu ke telinga Zafrin.
“Apa? Abang, saya bukan gay!” 





 

“Ilham, kau mahu ke mana handsome begitu?” Zafrin bertanya sambil bibirnya mengukir senyuman seikhlas mungkin. Terngiang-ngiang pesanan ayahnya yang mengatakan bahawa seorang muslim seharusnya mengamalkan sunnah Rasulullah walaupun dalam perkara yang dianggap kecil seperti senyum. Hatta Nabi Sulaiman juga tersenyum kepada semut! Tercoret kisah dalam surah An-Naml. Namun, terkadang hal kecil seperti itu juga jarang diterapkan ke dalam dirinya.


“Kau tidak perlu tahu,” Ilham bertutur tanpa nada. Tali kasut bolanya diperkemas. Sudah hampir seminggu mereka tidak bertegur sapa. Ilham bisa merasakan kelainan sikap Zafrin. Dia…kelihatan lebih baik hari ini? Kata-katanya kurang menyakitkan. Mungkin.

 
‘Nasib aku tegur kau dulu! Habis ego aku’. Hati Zafrin membisik namun sekerasnya dilawan kerana menyedari itu merupakan bisikan syaitan yang benci akan kemanisan ukhuwwah.
Zafrin, al-qudwah qobla ad-da’wah! Al-qudwah qobla ad-da’wah! Qudwah sebelum dakwah!


“Uhibbuka fillah!” Sebelah kening Ilham tiba-tiba terangkat. “Kau mengata aku, Zaf? Walaupun kau pandai berbahasa Arab dan walaupun aku tidak pandai seperti kau tetapi aku menuntut ilmu psychology. Adakah kau mahu dihipnosis?” Ilham mendengus.


“Tak. Aku cuma cakap…aku cuma cakap aku sayangkan kau kerana Allah.” Zafrin menelan air liur. Pahit. Ego semakin merendah. Azimat kasih itu terluah jua akhirnya. Lega. Puas dia menolak untuk berjanji mengucapkan kata-kata itu tempoh hari hanya kerana satu alasan. Geli. Hilang macho katanya. Akhirnya, Akh Haikal jua yang menang. Dibidas dengan sepotong hadis.


“Teguran aku terhadap kau selama ini adalah bukti kasih seorang sahabat. Aku mengakui kesilapanku yang mudah emosi dan keras dalam memberi nasihat. Masih banyak yang mesti aku perbaiki sebelum menjadi seorang da’ie yang berjaya. Kau mahu memaafkan aku kan?”


Ilham meletakkan beg dan topinya di atas meja dan berjalan mendekati Zafrin. Sebenarnya, hati lembutnya sudah lama menantikan saat ini cuma dirinya sahaja takut untuk memulakan langkah.

 
“Aku juga punya silapnya. Terkadang ada pesanan kau yang hanya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Aku tidak marahkan kau. Terima kasih kerana banyak menyedarkan aku.” Dua sahabat bersalaman dan saling berpelukan tanda berdamai. Rasa janggal Zafrin kian hilang.


“Hadiah novel itu daripada kau kan?” Zafrin tiba-tiba mengutarakan pertanyaan.
Ilham tersenyum. “Aku meminta pertolongan Rafiq untuk menyampaikannya kepada kau sebagai tanda maaf sekaligus hadiah hari lahir kerana sedia aku ketahui, kau itu ulat buku Namun melihatkan kepada tiada respon yang diberi maka diamlah aku,” Ilham tersengih.
“Ilham, terima kasih atas segalanya. Kau lebih baik dalam perbuatan sedangkan aku lebih banyak tahu tetapi tidak melakukan. Aku ego, mahu mengucapkan kata kasih terhadap seorang sahabat juga hingga terkelu lidah, tidak seperti kau. Jika seseorang itu sayang kepada sahabatnya maka hendaklah dia memberitahu bahawa dia menyayanginya, hadis riwayat Abu Daud. Akh Haikal yang meminta aku menghafal dan mendalami maksudnya. Kau lebih hebat sudah setapak ke hadapan mengamalkan formula saling menghadiahi untuk saling mengasihi seperti apa yang dipesan Rasulullah.” Zafrin kini sedar akan makna azimat kasih mujahiduddin yang dimaksudkan Akh Haikal. Jadilah matahari yang menggenggam kasih seiringan dakwah jua ukhuwwah!

 
“Kita berdua punya salahnya dan masing-masing mesti belajar daripada kesilapan. Oh, kau belum lagi menerangkan kepada aku ucapan yang harus dijawab selepas kau mengatakan ‘uhibbuka fillah, saya sayangkan kamu kerana Allah’.”
“Kau hanya perlu menjawab, ‘ahabbakallahu kama ahbabtani feehi. Semoga Allah mengasihi kamu sepertimana kamu mengasihiku kerana Allah’. Senyuman Zafrin melebar.
“Wah, maknanya kini aku juga sudah bisa mengambil jurusan seperti kau.” Kedengaran gelak tawa dua sahabat memancar suria. Petanda awan mendung itu sudah berarak pergi!






Cerpen buat CFS IIUM 'Amal Islami.
Terima kasih buat sahabat-sahabat yang memberi galakan dan idea. Kalau tak, tak siap pun ni ^_^


"Ya Allah, jadikanlah bicaraku, tulisanku...adalah ibadah kepada-Mu. Ya Rahman, ikhlaskanlah hatiku dalam apa jua aku lakukan. Hapuskanlah segala sifat riak, sombong, dengki, iri hati andai ada bersarang dalam hati ini. Kau tiupkanlah sifat-sifat mahmudah ke dalam hatiku. Ya Raheem, jadikanlah cinta dan rinduku kepada-Mu setinggi-tinggi dan seindah-indah cinta dan rindu dalam hati ini. Ameen Ya Rabbal 'Alameen"


 

1 comment:

Addailamy Amin said...

Kisah ni macam ade kaitan ngan amin je...^^