Sunday, April 17, 2011

Dalam Sujud Cintaku


 

عليكم السلام
  بسم الله الرحمن الرحيم




“Mak, nak duit,”

“Daus nak buat apa,”

“ahh! Mak ni banyak tanya la, bagi je lah!”

“Mak mana ada duit, nak…ni hasil jual kuih dan menoreh getah ni pun Mak kena simpan, adik kan masih bersekolah lagi,”

“Mak memang, dari dulu lagi sayang sangat budak Shahrul tu, sudahlah Mak! Daus ni cuma beban buat Mak je kan?” luah Firdaus langsung melangkah keluar dari rumah.

“Daus…..Daus…Daus nak pergi mana, nak…Daus”. Si ibu merintih dan merayu, manik-manik jernih mula mencium pipinya yang penuh urat-urat tua. Sambil memegang kaki Firdaus.

“Mak bukannya sayang Daus sangat, mintak duit pun susah nak bagi! Biar Daus pergi! Lagipun, Daus ada ke, Daus takde ke, sama je! Ahhh!” Ibunya ditepis kasar.


“Daus…! Ke mana kamu nak pergi, nak…..! Nak…” Si ibu menangis.

“Abang…!”. Adik Firdaus, Shahrul Ariff yang sedang menyiapkan tugasan sekolah memanggil abangnya. Dia sedari tadi telah mendengar perbualan antara ibu dan abangnya. Tetapi apabila mendengar jeritan Mak Yati, dia pantas bergegas keluar dari bilik. Meninggalkan latihan Matematik Tambahan.

“Dausss! Daus…ah!” Mak Yati diserang serangan jantung. Mengejut lalu jatuh.

“Abang……!!!!...Abang...!! Mak sakit, bang!! Abang…Mak sakit..!! Abang jangan pergi..!! Abannggg…..mak…”. Air mata Shahrul berjuraian keluar sambil memegang ibunya yang jatuh.

“Daus…..” Dalam kesakitan, Mak Yati mengengsot memanggil Firdaus.

“Abanggg…..jangan tinggalkan Arul bang!! Kalau abang nak duit tu, abang ambiklah, nanti Arul cari sendiri duit nak bayar buku, asalkan abang jangan tinggalkan Arul dan Mak…Abang tak sayang Arul dengan Mak ke…” Air mata Shahrul semakin deras mengalir. Merintih.

“Kau diam! Kau dengan Mak sama je, asyik menyusahkan hidup aku, aku hidup sorang-sorang lagi baik!” Firdaus sudah keluar dari halaman rumah.

“Abaaangg!” Shahrul berlari keluar menyeberangi jalan raya. Mengejar Firdaus.

Gedegang! Serentak dengan itu kedengaran bunyi kenderaan berhenti secara mengejut. Lori.

Mak Yati tersentak. Jantungnya semakin sakit. Akhirnya….denyutan terhenti.

Firdaus terkejut. Perlahan-lahan dia memandang belakang. Ke arah jalan raya.

Sekujur tubuh. Berlumuran darah. Terbaring. Kaku tidak bergerak.





***





“oo..macam tu ka kau boleh sampai sini?”

“emm, lepas Mak dengan adik aku pergi, aku ingat nak ke bandar. Nak tinggalkan kampung tu. Ayah aku pun dah lama takde. Aku sekarang sebatang kara. Jadi buat apa aku duduk sana lagi. Orang kampung pun mesti benci tengok aku. Mak dan adik aku pergi semuanya sebab aku. Ahhhh!”. Aleef memegang kepalanya dengan mata yang terpejam. Keningnya berkerut menandakan kekusutan yang amat. Masih terngiang-ngiang lafaz yang diluah tanpa sedar sebelum ibu dan adiknya pergi meninggalkan dunia fana. “aku hidup sorang-sorang lagi baik!”. Aleef menyesal.

“kau sidih kan, mali aku bawa kau pergi tempat yang selonok, kau siap-siap lah,”

“kita nak ke mana Wong?”

“adalah Aleef, ikut sajalah,”

Aleef mengikut Wong ke suatu tempat. Harapannya sekarang hanya ada pada Wong yang ditemuinya secara kebetulan sewaktu terdampar di ibu kota. Tidak tentu arah. Bagai rusa masuk kampung. Hanya mengikut derapan kaki yang melangkah. Wonglah satu-satunya yang sudi bertanyakan perihal dirinya yang kelihatan serabai dan tiada haluan sewaktu melangkah tiada arah tuju. Dia kini menetap di apartmen Wong. Akhirnya mereka tiba di tempat yang dikatakan Wong. Kelab malam?

“apa ni Wong, tempat apa ni,”

“alah, kau ikut je aku, aku jamin tempat ini boleh beli kau kebahagiaan. Hilang selabut dan kusut kepala kau tu,” pelat Melayu Wong jelas.

“tak naklah aku, kau pergilah. Aku tunggu kau dekat luar,”

Malilah. Nanti aku kenalkan kau dengan kawan-kawan aku,”

Aleef memandang wajah Wong sejenak. Akhirnya dia menurut.





***





“aduh,” Fail-fail pejabat bertaburan. Lantas dipungut kembali. Laju-laju.

“Ya Allah, maaf, maafkan saya encik, saya tak sengaja,” turut menolong memungut kertas-kertas yang jatuh.

“Tak apa, tak apa, ni salah saya, saya yang langgar, saya yang patut minta maaf,”

“Eh? Muazzam?” terluah sebuah nama dari bibir tukang sapu itu setelah mengamati pemuda di hadapannya. Menduga. Serentak pemuda itu turut memandang wajahnya.

“Lailahaillallah…Daus? Daus kan?” kelihatan pemuda bernama Muazzam begitu terkejut.

“Lamanya kita tak jumpa”. Firdaus mendakap erat sahabat kampungnya.

“Ya Allah, Daus, kau sihat?” dakapan sahabat lamanya dibalas. Sudah lama mereka tidak bersua muka. Lebih 8 tahun. Kerana Muazzam terpaksa mengikut bapanya berpindah ke Kuala Lumpur.

“Macam nilah. Kau tak berubah lah Zam. Wah, kau semakin segak sekarang ye,” Firdaus melemparkan senyuman mesra.

“Alhamdulillah, kau pun sama. Oh ye, sekejap ye Daus,”. Kelihatan Muazzam mengeluarkan sesuatu dari perut dompetnya.

“Ni kad aku, kalau ada apa-apa kau boleh call aku. Aku sebenarnya dah lambat ni nak jumpa client dekat restoran sana. Maafkan aku ye Daus, aku tak boleh lama, panjang umur, Insya-Allah kita jumpa lagi,”

“Oh ye, baik. Terima kasih Zam,”





***





“Kau tahu tak, Nabi kata beza antara orang Islam dan orang kafir adalah meninggalkan solat,”

“Masa kecik-kecik dulu aku solat ape…”

“Kau ingat solat tu masa kecik je ke. Masa keciklah kena belajar apa itu solat, apa itu puasa. Lepas tu kena amal, kena buat sampailah nyawa ditarik. Solat tu kan rukun Islam, wajib,”

Diam.

“Pergilah solat dulu, dah nak masuk Maghrib dah ni. Bukannya aku kedekut elektrik rumah aku ni, kau nak tengok 24 jam TV tu pun, aku tak kisah tapi jangan sampai solat terabai,”

Diam. Muazzam tidak berputus asa.

“Aku bukannya suruh kau naik motor pergi masjid pun, aku minta kau solat sekejap je. Dari tadi asyik menghadap TV. Rancangan pula entah apa-apa kau tengok. Nilah masalah umat sekarang, suka buang masa. Sebab tu susah nak maju, masa yang ada tak digunakan sebaik-baiknya. Lebih banyak diisi dengan perkara-perkara yang tidak bermanfaat. Banyak diisi dengan benda-benda yang makin melemahkan jiwa dan hati. Betullah Nabi kata, manusia ni sering lupa nikmat sihat dan masa lapang, bila dah sakit terlantar nanti, baru tahu betapa berharganya masa,”

Diam.

“Ish, kau dengar tak apa aku cakap?”

“Dengar la ustaz Zam, alah, aku pun solat juga, tadi Zuhur aku dah solat dah kan, sekarang rehatlah pula. Kau ni Zam, mebebel je kau tahu. Kau kenal burung kakak tua? Mestilah kenal kan. Hah, kau macam tu la, Zam. Tiru balik apa ustaz, tok imam, tok bilal cakap. Bising, sakit telinga aku. Cuma kau ni lain sikit,burung kakak muda,”

“Ada pula macam tu. Kita ni, kalau sakit tenat macam mana pun, kena solat. Walaupun kita tak boleh bangun, tak boleh kena air, tapi sembahyang mesti ditunaikan bila masuk saja waktu. Allah pun ada cakap tentang orang yang solat. Orang yang solat tapi tak menghayati solat dan tak memberi kesan kepada akhlak. Sedangkan solat tu cegah daripada perkara mungkar. Sebab tu kalau seseorang solat tapi peribadi dia teruk, periksa solat dia. Juga Allah ada sebut tentang orang yang melalaikan solat. Kalau kau tak percaya, cuba kau buka Al-Quran tu, surah Al-Ma’un. Ni apatah lagi kalau orang yang tak solat. Kau pun ada Allah sebut dalam Al-Quran,” Muazzam memberi nasihat. Ayat terakhir cuba memancing perhatian Firdaus.

“Hah? Allah ada sebut pasal aku ke dalam Al-Quran?”

“Kan Allah perintahkan orang-orang beriman untuk mendirikan solat. Tengok, tu bukan kau ke tu? Kau dan aku,”

Firdaus senyap.

“Daus, aku ni kan saudara seakidah kau, kalau kau tak solat, mestilah aku tegur, dah terang-terang maksiat depan aku, kau pula kawan aku, mestilah lagi aku tegur, kita kan kawan dari kecik. Lagipun ni soal solat tahu, kalau kau tak solat, umpamanya kau runtuhkan agama sendiri. Kau faham tak?”

Firdaus kembali diam. Mentulikan telinga. Masih menonton rancangan di televisyen.

“Ular sujaul aqra’ mari belit baru tahu,” Muazzam berbisik sendiri. Geram.

“Ah? Kau kata apa?” Firdaus mengalihkan pandangannya dari televisyen ke arah Muazzam.

“Aku kata kalau kau tak solat, ular mari belit baru tahu,”

“Hah? Emm...hahahaha,”

“Eh, gelak pulak, apa yang lucunya,”

“Apesal pulak ular nak belit aku, gunalah contoh lain, harimau siat badan aku ke, singa lapah daging aku ke, ni ular, sekali aku ketuk dengan kayu, dah pengsan, haha,”

“Eh, kau ni, tak baiklah, tugas ular sujaul aqra' tu seksa orang yang meninggalkan solat dalam kubur, kau cakap la main-main macam tu, nanti dah kena tarik nyawa, hah, kau masuk la kubur tu bawa sekali dengan kayu, cuba la ketuk kepala ular tu, tengok pengsan ke tak, cakap besar sangat,”

“Hahahaha”

“Tu baru dalam kubur, tak habis lagi seksa, orang yang tinggal solat ni masuk neraka Saqar. Mari aku bacakan kau ayat 42 dan 43 surah Al-Muddassir”

“hahaha, takpelah, takpelah Zam, ye, ye, aku faham, haha,”

Muazzam menggeleng-gelengkan kepalanya. “Sudahlah, aku nak pergi mandi. Nanti Maghrib, aku nak pergi masjid, kalau kau nak ikut aku, kau pergilah siap. Kalau tak nak sudah,”

Ketawa Firdaus masih bersisa. Setelah kelibat Muazzam menghilang masuk ke dalam bilik, dia termenung. Memikirkan kata-kata Muazzam. Walaupun di hadapan Muazzam dia seperti acuh tidak acuh dengan nasihat sahabat sepermainannya itu tetapi jauh di sudut hati dia inginkan cahaya.





***





“Kau nak rasa?”

Aleef menggeleng.

“Rasalah, sikit je,”

Aleef menelan air liur. Dia memandang sekeliling. Dia kini di dalam sebuah rumah ibadat. Gereja.

“Wong, aku nak balik,”Aleef menalakan pandangannya ke arah Wong. Hajatnya tadi hanya menemani Wong untuk bertemu kawannya, Vincent. Entah bagaimana dia boleh masuk ke dalam gereja pula. Vincent menyuakan segelas air kepadanya tadi. Mungkinkah holy water? Entah, dia tidak tahu. Yang dia tahu, bulu romanya meremang. Lain macam. Kepalanya sedikit pening dengan bau dalam gereja.

“Eh, apa ni, rasalah dulu, nanti aku nak ajar kau sesuatu,” kata Wong pula sambil menyuakan segelas wain merah.

“Dahlah Wong, aku nak balik,”. Hati Aleef sesak. Fikirannya berserabut. Ahh! Aleef segera melangkah keluar menerusi pintu gereja.

Wong memberi isyarat maaf kepada Vincent. Dia dan Aleef pulang ke apartmen.

Aleef mengemaskan barang-barangnya.

“Eh, kau nak pigi mana,” Wong kehairanan dengan tingkah laku Aleef mengemaskan pakaian ke dalam beg.

“Aku nak keluar. Wong, maafkan aku. Aku banyak menyusahkan kau. Kau banyak tolong aku. Terima kasih banyak-banyak. Aku mesti belajar berdikari. Aku nak cari tempat tinggal yang lain. Aku dah banyak menyusahkan kau,”

Wong senyap. Kemudian bersuara.

“Maafkan aku kalau kau tak selesa tinggal di sini,”

“Takdelah, kau kawan yang baik. Oklah, aku pergi dulu. Maafkan aku. Terima kasih ye Wong,”

Aleef merasakan dia tidak mampu bertahan jika terus tinggal bersama Wong. Walaupun Wong seorang kawan yang baik namun dia tahu suatu saat dia mungkin akan hanyut dengan cara kehidupan Wong. Dia masih punya iman. Dia mesti menyelamatkan imannya sebelum makin menipis. Sebelum segalanya terlambat. Kini, hanya satu harapannya sekarang. Muazzam.





***





“Alhamdulillah, lembut juga hati kau nak ikut aku ke masjid”. Muazzam tidak henti-henti memanjatkan kesyukuran kepada Allah. Nyata tidak sia-sia doanya buat sahabat yang seorang itu setiap kali selesai solat.

Firdaus tersengih.

“Zam, aku ada benda nak cakap dengan kau,”

Mereka masih di dalam masjid. Duduk bersila berdua berdekatan dinding. Kelihatan sudah ramai yang keluar. Semakin berkurangan.

“Apa dia?”

“Aku nak berubah,”

“Apa? Betul ke apa yang aku dengar ni? Alhamdulillah,” Muazzam gembira tidak terkata.

“Aku nak berubah. Zam, tolong aku. Dah lama aku nak berubah tapi hati aku ego. Aku sebenarnya suka tengok kau solat. Suka tengok kau baik dengan pekerja-pekerja syarikat kau. Kau sudi tumpangkan aku di rumah kau. Kau sudi bagi aku kerja dekat syarikat kau. Tapi aku sedikit pun tiada rasa malu dengan kau. Berterima kasih pun tidak. Maafkan aku, Zam,” Firdaus meluah segala kesal.

“Allahuakbar! Daus, kau tu kawan aku. Kita dah lama jadi kawan. Dulu-dulu waktu dekat kampung, kaulah yang banyak ajar aku. Kau ajar aku buat joran dan pancing ikan dekat sungai hujung kampung. Aku ingat lagi kau ajar aku panjat pokok tapi yang tak bestnya kau ajar aku curi rambutan Pak Salleh. Sudahnya aku yang takut nak turun pokok ,kena marah dengan Pak Salleh. Kau masa tu dah jauh lari tinggalkan aku, haha,” Muazzam ketawa mengenangkan kisah dahulu. Begitu juga Firdaus. Nakal.

Muazzam menyambung.
“Yelah, aku ni kan lembik sikit. Dulu-dulu pun, masa aku kena buli, kau yang tolong aku. Aku takkan lupa jasa kau. Kau juga dulu yang ajar aku reka macam-macam alat. Kau ambik mainan-mainan Arul senyap-senyap kan, lepas tu kau leraikan dan reka ciptaan baru. Aku kagum dengan kau. Kau yang pupuk minat aku tau. Aku pun nekad nak belajar betul-betul. Tengoklah sekarang, Alhamdulillah, rezeki daripada Allah, aku dah ada syarikat kereta sendiri. Aku yang kena berterima kasih pada kau,” Muazzam memegang bahu Firdaus.

“Kau masih ingat lagi ye,hehe. Zam, mujur kau terlanggar aku masa aku kerja sambilan sapu sampah waktu aku tinggal dengan Wong dulu. Wong tu baik, entahlah tapi aku tak boleh tahan. Dengan dia, aku kenal macam mana kelab malam. Selama ni aku tengok dalam TV je. Dengan dia juga, aku pernah masuk gereja. Hati aku menjerit. Aku lemas. Zam, kau tahu, aku pernah disuakan air kencing syaitan tu. Nasib aku tak tergerak untuk minum. Allah masih sayangkan aku setelah begitu banyak dosa aku pada Dia. Aku masih ingat arwah Abah aku cerita kisah Barshisha,”

“Barshisha lelaki zuhud yang punya ribuan murid tu? Iblis menyamar sebagai orang alim goda dia buat maksiat sekali kan, untuk rasa manisnya ibadah. Antara membunuh, berzina dan minum arak, Barshisha pilih minum arak, sebab katanya dosa arak paling ringan. Akhirnya kerana arak, dia berzina dan membunuh.Kemudian ditangkap dan disebat. Lepas tu kena salib pula, waktu tulah iblis kata dekat Barshisha, kalau nak lepas dari salib, sujud dekat iblis walaupun pakai isyarat. Akhirnya dia menurut dan mati dalam keadaan kufur. Ish, takut aku,”

“Em, betullah arak punca segala kejahatan, Rasulullah ada cakap,”

“Daus, aku cadangkan kau balik kampung,”

“Ha, untuk apa?”

“Belajar agama dengan Haji Hashim, alah, tok imam kita tu. Rumah Haji Hashim kan selang 2 buah rumah je dari rumah kau. Aku ni pun bukan banyak sangat ilmu. Tentang kerja kau dekat syarikat tu, kau jangan risau, syarikat aku sentiasa alu-alukan kedatangan kau. Lepas kau dah belajar apa yang patut, kau boleh balik kerja dengan aku,”

“Zam, terima kasih. Kali ni, aku ikut nasihat kau. Terima kasih Zam, kau lah sahabat aku dunia akhirat,” Firdaus memeluk sahabatnya dengan erat. Air mata keinsafan menitis.

“Daus, aku ni kan sahabat kau. Kau susah, aku tolong. Tiba masa aku susah, kau pula tolong aku,”





***





“Abang, Abang tahu, tadi Along cerita, dia dapat jawab penuh soalan Pendidikan Islam. Dapat markah penuh katanya kesemua sepuluh soalan. Suka benar dia sebab Ustazah bagi hadiah dekat dia seorang je. Hadiah RM5 tu dia nak bagi dekat Ana, katanya Ana banyak berkorban untuk dia, masak, basuh dan jemur baju, ajar dia buat kerja sekolah. Macam-macam Along tu,” Raihanah Zulaikha tergelak kecil teringat akan telatah anak sulungnya yang berumur 8 tahun itu.  

“Bila Ana cakap tak nak ambil sebab ikhlas dan sayang anak Umi, Along cakap balik, Along sayang dan ikhlas bagi duit dekat Umi. Abang tengok, pandai anak saya,” Raihanah gelak kecil lagi.

Dia memasukkan baju-baju yang dilipat ke dalam almari. Juga baju yang disangkut dengan hanger.

“Adik pula cerita dekat tadika tadi, dia seorang je dapat jawab bila cikgu tanya antara ibu dan ayah yang mana perlu diberi perhatian terlebih dahulu. Pandailah anak Umi tu,” Raihanah seronok bercerita tentang telatah anak bongsunya pula yang baru berusia 6 tahun. Dua puterinya itu sungguh pintar.

Tiada respon.

Raihanah memandang suaminya. Pandangan Firdaus tidak berkelip.

“Abang?”

Senyap.

“Abang?”

Raihanah kehairanan.

“Abang?” Bahu Firdaus disentuh lembut.

“Ah, ye?”. Firdaus tersentak.

“Abang ada masalah ke, ceritalah dekat Ana,”

“Em..anak-anak dah tidur?”

“Dah, lepas siapkan kerja sekolah, Along dengan Adik terus masuk tidur,”

Firdaus menyambung lamunannya. Raihanah masih memandang wajah suaminya.

“Abang fikir apa? Ana tengok sejak kebelakangan ni, Abang asyik termenung je,” lembut Raihanah bersuara.

“Tak ada apa-apalah sayang,” Firdaus senyum tawar.

“Abang teringatkan arwah Mak ye?”

Muka Raihanah Zulaikha Haji Hashim ditatap. Pandai benar isterinya yang seorang ini membaca isi hati.

“Hujung minggu nanti, kita jenguk kampung kita ye? Kita ziarah kubur Mak dan Shahrul sekali. Dah lama kita tak balik kampung, kan bang? Ye lah, kita masing-masing sibuk. Abang sibuk dengan kerja abang di syarikat tambah lagi pangkat abang dah dinaikkan. Ana pula sibuk mengajar, pelajar dah dekat dengan PMR, Ana kena sediakan banyak latihan Sains untuk mereka. Kita balik dan bermalam dekat rumah Ibu dan Abah ye? Anak-anak dah rindu sangat Atuk dan Wan mereka. Asyik bertanya bila kita nak balik. Boleh kan, bang? Raihanah menghadiahkan senyuman manis.

Senyuman Raihanah dibalas Firdaus.

“Ana, boleh Abang nak tanya Ana sesuatu?”

“Apa dia, bang?” Raihanah masih tersenyum manis.

“Ana tak menyesal ke bersuamikan Abang?”





***





“Abah, terima kasih banyak-banyak, Abah,”

“Ni kenapa ni. Abah buat apa,” Haji Hashim tersenyum. Dia dan menantunya beristirahat bersama di beranda rumah. Melepaskan lelah setelah bertungkus lumus membina reban ayam bersama Firdaus sebentar tadi.

“Abah dah banyak bimbing Firdaus. Ajar Firdaus macam-macam. Sampai puteri Abah sekarang ni pun dah jadi milik Firdaus,” Firdaus bergurau dengan ayah mentuanya. Haji Hashim tergelak kecil.

“Anak Abah yang seorang tu jelah. Abah tahu Abah serah dia pada orang yang betul. Dia bahagia sekarang, Abah harap Firdaus dapat bentuk Raihanah tu jadi wanita syurga,” Haji Hashim masih tersenyum.

“Firdaus faham Abah. Firdaus tahu perkahwinan ni bukan satu perkara yang mudah. Sejak Firdaus sah menjadi suami Raihanah, Firdaus tahu, beban dan tanggungjawab Firdaus semakin bertambah, Raihanah yang dulu di bawah jagaan Abah dan Ibu dah jadi tanggungjawab Firdaus, Raihanah amanah Firdaus. Tapi Abah jangan risau, Raihanah sememangnya isteri yang solehah. Terkadang Firdaus rasa Firdaus tak layak buat perempuan sebaik Raihanah. Firdaus banyak dosa, Abah. Walaupun dah lama, tapi dosa-dosa dan kisah lalu masih menghantui Firdaus, Yang paling Firdaus kesal, Firdaus tak sempat minta maaf dengan arwah Mak. Begitu menggunung dosa Firdaus terhadap arwah,”

“Mak kamu dah lama maafkan kamu, Firdaus. Ibu kamu yang cerita pada Abah, mereka berdua kan rapat. Allah tu Maha Pengampun, Firdaus. Allah tu Al-Ghaafir, sebesar mana pun dosa kita, rahmat Dia masih luas terbentang. Hanya dosa syirik yang tidak terampun. Pernah Firdaus dengar kisah tentang seorang lelaki jahat pada zaman Nabi Musa dahulu?”

“Kisah apa, Abah. Rasanya Firdaus tak pernah dengar lagi,”

“Lelaki ni bila mati, mayatnya dibiarkan terdampar atas tanah sehinggalah Nabi Musa menerima wahyu daripada Allah untuk menyempurnakan jenazah lelaki tu. Orang ramai terkejut bila dapat tahu Nabi Musa sendiri uruskan mayat lelaki jahat yang sepanjang hidupnya melakukan maksiat. Rupa-rupanya, lelaki ni di hujung hayatnya telah menyatakan rasa kesal atas segala dosa yang dilakukan. Dia bertaubat dengan sesungguh taubat dan nak menyucikan diri serta kembali ke jalan Allah. Tapi ketika itulah ajal datang menjemputnya. Allah itu Maha Pengampun dan Dia terima taubat lelaki tersebut,” Haji Hashim mengakhiri ceritanya.

Firdaus mengangguk-anggukkan kepalanya. Kisah itu penuh makna buat dirinya. Dia merenung sendiri.

Seketika kemudian, kelihatan Hajah Marini keluar membawa sedulang air.

“Jemput minum Abahnya, Firdaus,”

“Terima kasih Ibu. Ibu, Ana mana?,”

“Ana ada, tengah menggoreng kuih dekat dapur tu ha. Along dengan Adik pula tengah main batu seremban dalam rumah,” jawab Hajah Marini.

Firdaus mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Umi, nak karipap satu!” tiba-tiba kedengaran suara comel Fitriah.

“Ye sayang, tunggu Umi nak hidang atas meja tu dulu, Atuk dengan Abi kan letih tu, lapar, penat bina reban ayam,” Raihanah melayan karenah puteri keduanya.

“Adik ni, sabarlah sikit, cuba jadi macam Along, hehe, kan Umi?” kata Syafiqah.

“Along, tak baiklah riak,” Fitriah membalas.

“Ni bukan riak namanya, Dik. Ni namanya qudwah hasanah. Ha, Along nak jadi contoh yang baik untuk Adik. Jadi Adik kenalah ikut Along, hehe,” Syafiqah tidak mahu mengalah.

Raihanah tersenyum sambil mengeleng-gelengkan kepalanya.

“Abang, Abah, jemput makan kuih. Kuih karipap ni Ibu dengan Ana yang buat. Abang, Ana baru belajar dengan Ibu, Abang cubalah rasa,” Raihanah tersenyum manis.

“Sayang suapkan Abang boleh?” Haji Hashim dan Hajah Marini hampir tergelak mendengar kata-kata Firdaus. Raihanah terkedu dengan ucapan suaminya. Sekejap sahaja pipinya sudah kemerah-merahan. Sering sahaja begitu, Firdaus suka mengusik. Malu dengan ibu dan abahnya. Tidak tahu apa yang harus dibalas.

“Takdelah, Abang gurau je, Abah, Ibu, jemput makan,” Dia tahu Raihanah sudah tidak keruan. Firdaus seronok menyakat Raihanah di hadapan kedua mentuanya. Dia tiada masalah, dia sememangnya sangat rapat dengan Haji Hashim dan Hajah Marini. Benar-benar dianggap seperti ibu dan bapa kandung sendiri. Dia sendiri sering mengusik Haji Hashim dan Hajah Marini.
  
“Umi, Abi, Atuk, Wan. Along dengan Adik nak pergi main dekat rumah Ina sekejap ye!” Syafiqah meminta izin untuk bermain di rumah jiran hadapan rumah.

“Main baik-baik, jangan lewat sangat balik tu,” Haji Hashim bersuara terlebih dahulu.

“Baik Atuk!” Syafiqah dan Fitriah menjawab serentak.

“Haip,” Haji Hashim melakonkan lagak seperti cif inspektor. Mengangkat tangan ke kepala.

“Haip!” Syafiqah dan Fitriah juga mengikut lagak datuknya serentak mengundang ketawa mereka berenam.

“Mari Adik!”

“Yeay, jom!”





***





Raihanah menilik jam yang berada di atas laci bersebelahan katil. Pukul 5.11 pagi. Firdaus tiada di sebelah. Dia mengagak Firdaus sedang berteleku di atas sejadah. Mungkin Firdaus tidak mengejutkannya bangun malam bersama-sama kerana dia terlalu penat, tidak terjaga. Raihanah terlihat Firdaus yang terbaring di atas sejadah. Keadaannya tak ubah seperti orang yang merengkok menahan kesejukan.

Raihanah segera mendekati Firdaus yang terbaring membelakangkannya. Hatinya berdebar. Kencang. Entah kenapa.

“Abang, bangun bang. Abang tertidur ke,” Raihanah menatap wajah Firdaus. Pucat.

Firdaus tidak bergerak. Kaku. Raihanah cemas.

“Abang, bangun bang. Abang? Abang? Abang! Abang….kenapa ni….” Air mata mula membasahi pipi. Tubuh Firdaus digoncang. Tiada tanda Firdaus bergerak. “Abang…” sendu Raihanah semakin kuat.

Hati Raihanah berdetak.

Teringat akan perbualannya dengan Firdaus.



“Ana tak menyesal kahwin dengan Abang? Abang ni bukannya baik sangat,”

“Apa abang ni, tak baik cakap macam tu. Abang seorang suami yang baik dan bertanggungjawab. Sangat penyabar. Kenapa cakap macam tu,”

“Abang ada sesuatu nak cakap dengan Ana,”

“Abang nak cerita abang dulu tak solat, suka tengking arwah mak, tak puasa, tu ke. Abang nak kata Abang pernah masuk gereja, pernah jejakkan kaki dekat kelab malam yang penuh dengan botol-botol arak? Yang tu Abah dah cerita dekat Ana. Kalau Abang nak tahu, Ana dah lama sukakan abang. Sejak sekolah menengah lagi. Mungkin waktu itu hanya mainan perasaan tapi kini hati Ana terpaut pada abang kerana Dia. Sebab tu bila Abah menawarkan Ana untuk menjadi isteri abang, Ana setuju. Abah juga yang yakinkan Ana, tu Abang dahulu, sekarang Aleef Firdaus yang soleh,” Raihanah memberi senyuman ikhlas.

“Tapi Ana…” Firdaus ingin mengkhabarkan sesuatu tetapi hajatnya terbantut.

“Ana, maafkan Abang kalau Abang masih tak mampu jadi suami yang baik buat Ana,” hanya itu yang terluah.

“Shh…apa cakap macam tu, Abang suami yang baik. Ana nak jadi saksi di akhirat bahawa Abang suami yang berbuat baik terhadap isteri dan seorang bapa yang penyayang lagi bertanggungjawab terhadap anak-anak,” tangan Firdaus digenggam dan dicium.

“Khairukum khairukum liahlihi. Sebaik-baik kamu adalah orang yang berbuat baik terhadap isterinya. Itu yang Nabi kata. Itu yang Abah Ana ajar dekat Abang. Sedaya upaya Abang cuba, Insya-Allah,”

“Ana pun nak minta maaf dengan Abang. Ana banyak salah dengan Abang, maafkan Ana ye bang,” Raihanah tahu tingginya darjat seorang suami sehinggakan Rasulullah pernah bersabda, jika boleh manusia sujud kepada manusia, tentu akan diperintahkan Baginda seorang isteri sujud kepada suami.

“Tak sayang. Ana isteri solehah, qurratu'ain, penyejuk mata Abang, bidadari Abang.  Ana, Abang nak buat satu permintaan, boleh?,”

“Apa dia bang, cakaplah,”

“Kalau Abang pergi nanti, Abang nak disemadikan bersebelahan kubur Mak, boleh?”



Air mata Raihanah makin laju mengalir mengingatkan perbualannya dengan Firdaus.

Nadi Firdaus diperiksa.

“Innalillahi wainna ilaihi raaji’uun….Abang…Ana sayang Abang…” buat kali terakhir dan kesekian kali Raihanah mendakap tubuh kaku suaminya. Raihanah menangis hingga kedengaran azan Subuh berkumandang.





***





“Along, ramainya orang dekat sini, kenapa semua nampak muram je,”

“Abi dah takde, Adik…”

“Adik nampak Abi kena usung, sekarang Abi dah kena tanam dekat sini,”

“Atuk cakap Abi kembali kepada Allah. Atuk cakap kita pun akan kembali kepada Allah. Kematian tak mengira usia, muda atau tua, dah sampai ajal, akan kembali kepada Pencipta kita,”

“Innalillahi wainna ilaihi raaji’uun,”

“Eh, pandainya adik Along,”

“Memang adik Along ni pandai, Wan yang ajar Adik tadi la,Along. Sedih sangat Wan tadi, nangis-nangis sambil peluk-peluk Adik. Along, kenapa Abi kena tanam dalam tanah. Nanti Adik tak boleh lah main dengan Abi lagi. Adik nak dengar Abi cerita pasal Nabi lagi. Nanti siapa nak cerita dekat Adik,”

“Entahlah, Along pun tak tahu. Tapi tadi Atuk pesan dekat Along, jaga Umi baik-baik. Atuk suruh Along pesan dekat Adik juga. Kesian Umi, Along nampak mata Umi merah,”

“Mesti Abi tengah kena tanya dengan malaikat Munkar dan Nakir sekarang kan Along?”

“Atuk pun ada cerita dekat Along. Sekarang ni pun, malaikat Atid dengan Rakib tengah catat amalan kita sepanjang masa tahu,baik atau buruk,”

“Along, Adik nak pergi dekat Umi, Adik nak pergi minta maaf dengan Umi,”

“Along nak pergi juga. Kenapa Adik nak minta maaf dengan Umi?”

“Adik takut. Adik banyak buat salah dengan Umi, Adik selalu menangis kalau Umi tak nak beli mainan untuk Adik. Tapi Umi cakap barang tu tak penting, membazir, nanti jadi kawan syaitan. Tak naklah Adik. Cikgu Adik kata kalau cakap ‘ah’ dengan ibu bapa pun dah dosa. Cikgu cakap kalau dosa masuk api neraka. Panas sangat, Along. Adik takut. Macam mana kalau Adik kena ikut Abi pergi jumpa Allah tapi Adik tak sempat minta maaf dengan Umi. Adik nak pergi dekat Umi la,”

“Along pun nak minta maaf juga la macam tu, kalau tak sempat, nanti kalau Allah tanya, kita nak jawab apa. Jom Dik,”



 

***





Raihanah mengemas laci arwah suaminya. Semua hanya tinggal kenangan. Matanya terpandang akan sebuah buku catatan hitam tertulis nama Aleef Firdaus. Kelihatan reben merah berjuntai keluar dari perut buku. Raihanah membuka. Ternyata ia diari Firdaus. Penanda itu di muka surat yang paling akhir. Kelihatan tulisan Firdaus.




Ya Allah, betapa jauh aku daripada-Mu selama ini…
Betapa banyak dosaku pada-Mu ya Allah…
Dahulu, aku hidup bagai tiada agama…
Aku anak derhaka...
Solat, puasa, aku tinggalkan tanpa rasa bersalah…
Hampir sahaja air kencing syaitan itu aku teguk…
Aku tenggelam dalam kenikmatan duniawi…
Namun, kau sentiasa ada menarik aku mendekati-Mu..
Allah..malunya aku pada-Mu…

Ya Allah, kenapa sejak kebelakangan ini aku asyik termimpi yang bukan-bukan?
Ingin aku ceritakan kepada Raihanah…tapi..entahlah..dia isteri yang terlalu baik..tak mungkin aku akan menyusahkan hatinya dengan mimpi yang tidak pasti…
Terkadang aku termimpi seorang lelaki berpakaian putih melambai-lambai di hujung cahaya ke arah aku…
Tidak aku faham…
Terkadang aku termimpi aku terjatuh ke dalam api neraka yang amat panas…sakit ya Allah…namun rasa sakit itu tiba-tiba hilang…diganti dengan rasa sejuk dan nyaman…tenang…
Apakah mimpi ini hanya mainan tidur atau tanda Kau memanggilku?
Pulang kepada-Mu?

Aku takut….masih terngiang-ngiang kata-kata Muazzam tentang ular sujaul aqra’…
Masih teringat betapa derhakanya aku sebagai seorang anak...
Abang yang tidak bertanggungjawab…
Hamba yang sombong…
Namun, Kau masih menyelamatkan aku dan mendekati aku…
Allah, apakah kau terima taubatku ini?

Aku…..
Ya Allah, sakitnya ya Allah…
Apakah benar tindakan aku merahsiakan penyakit ini daripada Raihanah?
Doktor memang mengesahkan aku menghidap kanser hati…peringkat 4…
Betapa aku rasa setiap saat amat berharga buat aku…
Doktor juga mengatakan…
Aku mungkin tidak akan hidup lama…

Suatu ketika aku pernah jauh daripada-Mu…
Betapa hidup aku indah tetapi hati aku tiada ketenangan…
Suatu ketika aku pernah merasa lemas…
Tapi kini saat hidayah Kau datang…tak mungkin akan aku lepaskan…
Tika ini ya Allah…
Betapa aku ingin sujud kepada-Mu…
Betapa setiap sujud aku hargai…penuh kesyukuran…
Dengan kuasa-Mu jua aku mampu tunduk sujud sebagai hamba…
Bukti cinta aku kepada-Mu…

Kerana dosa-dosa aku yang dahulu…
Setiap detik…
Aku amat menantikan panggilan solat...
Hayya ‘alassolah... 
Hayya ‘alal falah... 
Amat aku hayati dan nanti…
Solat dan capai kemenangan…
Solatlah mencegah segala kemungkaran…
Aku ingin mencapai kemenangan hakiki…
Syurga-Mu…layakkah aku ya Allah…
Hamba-Mu yang penuh dosa ini…

Allah, andai benar saat untuk aku pergi sudah tiba…
Matikanlah aku dalam husnul khatimah…
Biarkan aku puas merasa lazatnya beribadah kepada-Mu terlebih dahulu…
Biarkan aku pergi dalam sujud cintaku pada-Mu…
Ameen…


Fikiran runsing dalam tenang. Raihanah Zulaikha sedang lena tidur =)
Abang sayang Ana kerana Allah, sayang..
Malam yang sepi untuk aku bermunajat kepada-Mu…
Khamis, 4.25 pagi…




Masih teringat sewaktu awal perkahwinan mereka. Ketika itu, mereka menetap di kampung, rumah Abah dan Ibunya sebelum tinggal di banglo sekarang. Firdaus mengajaknya lumba lari. Jalan raya di hadapan rumah dijadikan medan perlawanan. Mengikut sunnah Rasulullah yang mengajak Aisyah berlumba lari.




“Abang menang! Yeah! Alhamdulillah, hehe,” Firdaus terlebih dahulu tiba di halaman rumah.

“Uhh..acilah Abang lelaki,”

“Memanglah Abang lelaki, sebab tu Abang kahwin dengan sayang. Hehe,” Hidung Raihanah dicubit manja.

“Abang ni..”  Senyuman mula terukir pada muka yang keletihan kerana penat berlari. Pipinya mula kemerah-merahan. Malu. Masih tidak biasa.

“Jom kita duduk dulu,” Firdaus mengajak Raihanah melepaskan penat di atas bangku kayu.

“Ana, Ana tahu tak apa maksud fastabiqul khairat?”

“Em? Berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan. Kenapa bang?”

“Pandai isteri Abang ni. Boleh ambilkan abang segelas air?” Firdaus tersenyum nakal.

“Abang ni…Ana ingat apa tadi, hehe,” Raihanah menjeling manja. “Memang tugas Ana pun, baru je Ana nak ambil, Abang cakap dulu,” Senyuman manis terukir. “Abang tunggu kejap ye,”

“Isteri Abang ni baiklah. Syukran ya zaujati, habeebati..abadan abada…”

“Afwan. Uhibbuka fillah ya zauji,”

“Abang sayang Ana lebih lagi,”



Lamunannya terhenti. Raihanah tersenyum sambil mengesat air mata. Terlalu banyak memori mereka bersama. Sukar dilupakan. Kini hampir dua bulan dia bergelar ibu tunggal. Namun, kenangan itulah sebenarnya penguat semangatnya untuk melangkah. Sememangnya Raihanah Zulaikha seorang wanita yang tabah.

Kedengaran pintu bilik diketuk.

“Masuklah..Along ke Adik tu..”

“Along…..dan Adik, hehe,” Syafiqah puteri pertamanya menjawab. “Assalamualaikum Umi,”

“Waalaikumussalam, mari sini anak-anak Umi,”

“Umi, Adik dengan Along dah banyak kali dah ketuk pintu tadi. Tapi Umi tak jawab. Along dengan Adik tak masuk sebab Abi pernah pesan kalau nak masuk bilik Abi dengan Umi kena ketuk pintu dan bagi salam dulu. Lepas Abi dengan Umi bagi izin, baru boleh masuk. Abi pesan kena hormat Abi dan Umi,”Fitriah petah berbicara. Sungguh bijak. Raihanah mengesan kelebihan puterinya yang seorang ini dalam kepintaran bersuara. Manakala Syafiqah lebih berkebolehan dalam penulisan dan seni melihat kepada bakatnya dalam menulis esei dan melukis. Mungkin kerana itu puteri sulungnya kurang bercakap berbanding Fitriah namun mindanya sentiasa berfikir.

Raihanah senyum. Kuat sungguh tarbiyah Firdaus terhadap dua permata hatinya.

“Along dengan Adik sayang tak Aleef Firdaus dan Raihanah Zulaikha?”

“Sayang! sayang sangat!” Syafiqah pantas menjawab. Lantas memeluk Raihanah.

“Adik pun, Abi adik, mestilah Adik sayang! Umi pun mestilah Adik saaayang sangat!” Fitriah memeluk ibunya. Pipi Raihanah dicium.

“Kalau Along dengan Adik sayang Abi, setiap kali lepas solat, sedekahkan Al-Fatihah buat Abi ye? Biar Abi tenang di sana. Itulah ciri-ciri anak-anak yang solehah, Allah sayang,” Raihanah memeluk kedua-dua permata hatinya dengan penuh kasih sayang. Harta yang tidak ternilai walau dengan apa pun.

“Umi jangan nangis. Along sayang Umi, Along dengan Adik janji akan jaga Umi sampai bila-bila,” Syafiqah semakin kuat memeluk ibunya. Walaupun masih belajar mengenal erti kehidupan dunia, tetapi sebagai anak pertama, Syafiqah lebih memahami hati ibunya berbanding Fitriah yang masih kecil.

“Umi jangan nangis. Kalau Umi nangis, Adik pun jadi sedih, nanti Adik nangis juga,”. Tangan kecilnya mengesat air mata Raihanah. Raihanah terhibur dalam kedukaan. Dirinya telah lama pasrah dan reda dengan ketentuan Allah.

“Tak, Umi tak nangis, sayang. Umi bahagia dengan Along dan Adik, anugerah paling berharga daripada Allah buat Umi. Cuti sekolah dah mula dah, siapa yang nak balik pergi tengok Atuk dan Wan?Angkat tangan,”

“Along!”

“Adik!”

“Kalau nak pergi rumah Atuk dan Wan, cepat kemaskan pakaian, kita nak tidur di kampung,” Raihanah mencium puteri-puterinya.

“Baik Umi! Along siap sekarang!” Syafiqah mencium pipi Raihanah lalu pantas berlari keluar dari kamar Aleef Firdaus dan Raihanah Zulaikha.

“Along, tunggu adik! Eh?” Fitriah turun dari ribaan ibunya, ingin mengejar Syafiqah namun langkahnya terhenti dan melangkah ke arah Raihanah semula.

“Hehe, lupa. Adik pun nak cium Umi, muah! Hehe. Along, kejap!” Berlari keluar menuju biliknya dan Syafiqah.

Raihanah senyum. Tersenyum senang melihat telatah dua puterinya.

Raihanah memeluk diari Aleef Firdaus dan menyimpannya ke dalam laci.

Hati Raihanah berbisik.
Abang, terima kasih. Abang banyak mengajar Ana. Erti sebuah kehidupan juga erti sebuah kematian. Dan erti kesyukuran nikmat iman, Islam juga kesihatan. Erti kasih sayang, mengajar Ana erti seorang isteri dan ibu. Membawa Ana kepada erti setiap sujud cinta yang penuh makna. Memberi Ana makna seorang hamba. Abang, ketahuilah, Abang tak pernah tinggalkan Ana dan anak-anak. Kerana  Abang tetap hidup dalam hati Ana. Selamanya. Abang, nantikan Ana di pintu syurga…



Betapa setiap sujud itu amat bernilai...tanda seorang hamba penuh noda meluahkan cinta...syukur kurniaan hidayah dan iman...sujud penuh erti sebelum jasad tiada bernyawa lagi...























Gratisan Musik





Kau berikanku segala-galanya
dan Kau mengujiku dengan cinta dunia
yang sungguh indah dan
Kau hiaskannya dengan intan permata
dengan jua wanita
dan kedudukan yang memalingkanku
daripada-Mu

Dalam menikmati kurniaan-Mu
tak terucap lafaz terima kasihku
namun untuk jadi yang terbaik
juga masih belum kumampu

Dalam sujud cintaku
fanaku diulit rindu
getirnya cemas di kalbu
takut hidup tanpa redha-Mu

Hanya kerna-Mu Tuhanku
aku hidup dan ku akan
kembali pada-Mu
hanya pada-Mu dalam
sujud cintaku.





14 comments:

Mat said...

ana x menyesal... wakaka

kalu lah raihanah jd zaujah ana, haha(berangan)...
blh main lumba lari. wakaka

ustzh blh doh tulis novel ni... ana support ustzh buat novel, tp kalu novel tu siap, bg free je kat ana ea... wakaka..

:: Zahratu Billaurah :: said...

ustaz gak, hak tu je ke hak nampaknya? haha
ada pula gi highlight hak tu, mana2 'Raihanah' semua blh lumba lari la, ustaz
kalau nak sgt hak blh blari, kekgi setiap calon isteri test sorg2 lari keliling pdg, hak blh 2 pusingan, sah lalu
*ngarut sokmo kalau ngan ustaz ni sorg gak ==" *

buat novel pula,ustaz ni, buat pjg ni pun pening nak mikir ke ayat dah, tu pun suruh org cek, syukran ya mu'allim

xtau la, muncul gak minat nak menulis, ustaz doa2 la, tapi ilmu byk kene cari lagi, baru blh olah cerita lebih2, ustaz lagi byk ilmu drpd ana, ustaz kan hafiz, buatlah gak novel satu, kekgi siap, bagi ana try test baca, lps tu ana ambik lalu, x tunggu jadi novel, haha


p/s: skoloh kita nak tukar nama? tiada lagi SMKA Tok Jiring, SMKA Haji Abbas pula kut

Anonymous said...

wahh, Rabiatul penulis hebat!^^
belum bc hingga habis lg..huhu ada masa sy baca ya...^^

-terima kasih buah tangan kek coklat tu r, knpa tak bagi yg betul terus..hehehe suka3! syg Rabiatul juga! ^^ nnt hantar yg lain pula,sy simpan tu gmbr ^^ buat koleksi kat blog..tettt hehe

:: Zahratu Billaurah :: said...

Jiha! ^_^
Alhamdulillah, ini je ilmu Rabiatul, Jiha jgn la ckp mcm tu, siapkan ni pun semua dgn izin Allah, Rabiatul x hebat pun, kalau Jiha nampak Rabiatul hebat, tu Allah yang bagi nampak mcm tu, Rabiatul byk kekurangan...

terima kasih sudi baca, xpe2, nanti, ada kesempatan, sambunglah baca ye ^_^

haha, kek coklat tu, x pandai lagi nak buat kek coklat secomel dan sebesar tu, kek batik pandai la juga, haha, jadinya x pandai, ambik gambar org buat la ^_^ ala, terharunya simpan, nanti2 Rabiatul ziarah bawak mende lain pula ye, hehee~

syg2 Jiha! ^_^ syg amat kamu bah...

Mat said...

ye la... mmg la napok hok tu, doh ustzh tulis hoklumba lari je..
wakakaka

xpe penim pun, janji berguna...

em.,, x minat ah nulis.. wakaka

bagus ah tu, amik berkat nama wali...

:: Zahratu Billaurah :: said...

ye ke ada hak lumba lari je...ye la, ustaz kan matang dah, x lama dah tu nak main lumba lari...ustaz jgn lupa jemput anak murid ni pula kalau wat nasi minyak, wakaka.. (suka pesen mende gini)

Insya-Allah, kalau ada manfaat, Alhamdulillah, kalau ada yg kurang, kritik lah..

ye la x minat nulis, skali kuar novel, ho toh se, penulis Ahmad Syafiq Aziz, haha, tajuk sekali, 'Ketika Perlumbaan Mula Bersuara', haha >_< (adik suka ngat wat smiley ni, tiru sekali)

ye la, ambik berkat, biar semangat sikit belajar, tanah wakaf dah..emm..adik2 skrg..

Ukhti Hana said...

MasyaAllah..

adik suka dgn penyampaian Kak Rabiatul ni,sangat menyentuh hati,sedih...~ (T_T)

Syukran,Jazakillah akak atas perkongsian ini.^_^
Maaf la,hari ni baru berkesempatan baca entry baru akak ni. =)

Mat said...

haha... tp org kata ana x matang lg... em.. insyaallah kalu kawen jemput ah.. kalu x kawen, x jeput ah.. wakaka

hmm.. xbaik kritik2, kurangkan kontroversi, tingkatkan prestasi..

haha.. ada ke tajuk tu wak novel. hok lain blambok ag. wakaka

haha. bakpe kata g2?

:: Zahratu Billaurah :: said...

| Dik Farhana |

Alhamdulillah, harap ada manfaat buat Farhana ^_^

Farhana sedih baca sebab hati Farhana sendiri lembut, mudah tersentuh ^_^ bukan sebab penyampaian akak

Syukran sudi baca, dik ^_^
la ba'sa, enti kadzaalik, jazakillah ya Ukhti ^_^ jemput datang lagi ye, dik

:: Zahratu Billaurah :: said...

| Ustaz Syafiq |

memang ustaz x matang agi pun, boleh nampak, haha, ustaz, anak sulung 'lumba lari' awal sikit, kene cepat matang sikit kalau gitu, haha

kritik itulah yang kemudiannya meningkatkan prestasi, ustaz.. apa org kata, kritikan membina, ho toh..

haha, dah nampak mcm suka ngat lumba lari ekpun...

x tau gak, haha...ustaz gak lah

Mat said...

haha.. bagus la x matang..
bakpeya kait ngan ank sulung?

xdap main lumba lari, lengus...

nape yg ustzh tau ni. ish3

:: Zahratu Billaurah :: said...

ada pula, tapi xpelah, ustaz lps kuar DQ kekgi jadilah matang, masa skrg pra-matang dulu, hoho~
anak sulung kan anak pertama 'main lumba lari', haha, hak bwh2 xleh langkah bendul

xsedap pula dah..

(rasa mcm nak balik zaman skoloh mule)

Muhammad Marzuqi said...

Salam,
wah...membuatkan akh ad semangat nak menulis cerpen lagi. Hebat! Buatlah lagi..

:: Zahratu Billaurah :: said...

Waalaikumussalam..^_^
Akh jgn la ckp hebat, Alhamdulillah kalau Akh ada dpt sesuatu..
Akh lagi hebat buat cerpen! b2 belajar drpd Akh ^_^