أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
بسم الله الرحمن الرحيم
Rabiatul. Alhamdulillah. Kiranya hingga ke saat ini maka sudah tiba cukupnya umur awak 23 tahun selama hidup di muka bumi ini.
Rabiatul. Rendahkanlah hati dalam meniti hari-hari mendatang. Walau siapa diri awak kini dan nanti, awak tetaplah seorang insan biasa yang penuh kelemahan. Belajarlah selalu untuk mengenali Dia. Belajarlah selalu untuk mencintai Dia. Selama mana hati awak ada pada Dia, selamanya hati awak akan selamat tanpa punya rasa kesakitan, selamanya hati awak punya rasa kekuatan tanpa kerapuhan, selamanya hati awak punya rasa ketenangan jauh keresahan.
Rabiatul. Harus untuk awak tahu. Untuk terus berada dalam kehidupan, pelbagai ujian akan datang dari tiap sudut penjuru. Maka bersedialah, sayang. Kuatkan keyakinan awak pada Dia. Dan dengan itu awak akan mampu untuk terus kuat. Walau mungkin ada tiba waktu, sudah tiada sesiapa di sisi untuk terus menemani. Rabiatul. Teruslah menghidupkan kehidupan dengan mengingati sebuah kematian. Hidup ini sementara cuma. Saat sahaja hati ingat akan kematian, maka menghilanglah segala kenikmatan dan kerisauan akan dunia. Rabiatul. Ingat, sayang. Tiada satu perkara yang selamanya menjadi milik diri. Atau yang sebenarnya adalah tiada satu perkara yang pernah menjadi milik diri. Segalanya hanya milik Dia. Insan yang awak sayangi, harta yang awak miliki kini, pancaindera yang awak punya ini, segala nikmat dan kelebihan yang awak ada kini. Segalanya hanya milik Dia. Bukan milik diri. Maka ajarilah hati itu terus bersyukur atas segalanya. Ajarilah hati untuk reda sentiasa. Reda untuk menerima apa yang Dia beri. Juga reda untuk menerima apa yang tidak Dia beri. Rabiatul. Tetaplah terus dalam berbuat kebaikan dan menyebarkan kebahagiaan. Dunia perlukan itu. Hiduplah jua buat orang lain. Usah hidup untuk diri sendiri cuma. Rabiatul. Awak perlu tahu. Untuk berada di dunia, tidak semua apa yang awak mahu akan awak dapatkan. Dan awak juga perlu tahu. Allah itu mengetahui segala yang tersurat mahupun yang tersirat. Diri tiada mengetahui apa-apa. Dia yang lebih tahu. Dan Dia yang Maha Mengetahui tiap perkara, baik sebelum mahu yang selepasnya. Tinggalkanlah segalanya dalam pengetahuan Dia dan tersenyumlah. Rabiatul. Bila-bila awak ada rasa sedih. Bila-bila keyakinan diri sudah makin pudar. Bila-bila hati awak terasa sudah tiada mampu untuk melangkah. Awak perlu tahu, hanya Dia yang mampu menenangkan dan memastikan segalanya pasti baik sahaja. Always turn back to Him, my love. Rabiatul. Ajarlah hati untuk terus menyayangi dan mencintai sesiapa jua yang awak temui. Setiap insan yang datang dalam kehidupan, tiap langkahan mereka itu sudah diatur Allah. Untuk menyapa kehidupan dan mengajar diri kita sesuatu yang penting. Cintai dan hargai. Walau mungkin ada tika hati terluka dan tersakiti. Diri ini manusia biasa. Dan ketahuilah mereka jua insan yang biasa. Teruslah untuk mencintai dan menghargai. Tanpa mengharapkan sebarang balasan. Rabiatul. Ada kala mungkin tiba waktu awak tiada mampu memahami perancangan Tuhan. Sabarlah sayang. Tenanglah dalam perancangan-Nya. Satu yang awak harus tahu. Takdir Allah itu tiada pernah satu yang tersilap. Cuma terkadang hati itu yang kurang punya kesabaran dalam menanti. Takdir Allah itu tiada satu yang terlambat dan tercepat. Segalanya tersusun dalam waktunya yang terbaik. Maka laluilah kehidupan ini dengan penuh rasa ketenangan. Rabiatul. Bila-bila awak sudah tiada mampu untuk tersenyum. Kembalilah kepada Dia. Carilah ketenangan dalam sujud. Bersegeralah mendekati kalam-kalam Dia yang mendamaikan. Rabiatul, sayang. Ada tika mungkin awak merasa lelah akan diri sendiri. Maka sayang, tetaplah mencintai diri sendiri. Diri sendiri itu adalah anugerah dan jua amanah yang Allah beri. Tidak mengapa, sayang. Berhentilah pada satu perhentian andai perlu dan menangislah semahumu. Namun, usah pernah lupa untuk bangkit kembali. Malah dengan kekuatan yang lebih dari sebelumnya. Rabiatul. Tiap detik dan ketika maka begitu banyak bebanan amanah yang tertanggung. Hitunglah segalanya sebelum diri dihisab kelak. Langsaikanlah apa yang perlu diselesaikan sebelum tiba waktu untuk kembali menghadap-Nya. Rabiatul. Awak perlu tahu. Ada insan yang tiada begitu menghargai diri walau sudah berada saling berhadapan. Dan juga ada insan yang selalu memerhati dan berdoa dalam diam buat kesejahteraan dan kebahagiaan diri. Dan terkadang awak perlu tahu tika dan waktunya untuk mempelajari hakikat makna 'to walk away from their life'. Untuk pergi tiada pernah membawa maksud untuk membenci. Namun untuk pergi itu memberi ruang, bahawa ada hati yang lebih selayaknya menerima perhatian. Rabiatul. Mahu tahu bagaimana untuk mempunyai jiwa yang besar? Itu adalah saat bila mana jiwa selalu berimpian dan bermatlamat akan perkara yang besar. Dakwah dan ummah. Fikirlah perkara-perkara yang besar maka perkara-perkara yang kecil itu sudah tiada yang menjadi keutamaan dan kebimbangan yang besar. Rabiatul. Dalam apa jua yang awak lakukan, maka ikhlaskanlah segalanya hanya kerana Dia. Tidak ada sesuatu yang menjadi harga seandainya sesuatu itu dilakukan buat yang selain Dia. Hidup ini bukan tujuannya untuk mengaut pandangan manusia. Hilanglah rasa melakukan sesuatu kerana manusia. Lakukanlah kerana Allah semata. Rabiatul. Jagalah usia dan masa yang awak ada. Manfaatkanlah keduanya penuh dalam kebaikan. Jauh sebaliknya. Rabiatul. Tiada nama dan pangkat yang perlu dikejar dalam kehidupan ini. Cukup sahaja untuk awak menjadi seorang manusia biasa yang sememangnya dari asal seorang hamba yang hina. Hiduplah di atas muka bumi ini di atas nama seorang hamba yang selalu mengemis cinta Tuhan hingga ke akhirnya. Rabiatul. Usah mengharap sesuatu pada yang lain. Berharaplah hanya kepada Dia. Maka hati awak akan bahagia. 300815. Rabiatul Fatimah Azzahra binti Rashid. Ini warkah daripada diri kepada diri. Mungkin ini perlu buat diri. Untuk ditatap pada suatu hari nanti. |
Sunday, August 30, 2015
Dan Aku Yang ke-23
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment