Sunday, July 20, 2014

Bila Mahu Rasa Berdosa?




أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

بسم الله الرحمن الرحيم



Kalaulah dosa itu satu titik hitam yang akan muncul di kulit muka akibat perbuatan dosa kita.
Pastinya hari-hari kita mahu bertaubat.
Biar sekali taubat, sekali hilang titik hitam.
Kerana kata kita, kita malu dengan manusia.


Apatah lagi andai tiap titik hitam itu menandakan dosa-dosa yang spesifik.
Titik hitam yang begini pada muka tanda belum tutup aurat dengan sepenuhnya.
Titik hitam yang begitu pada muka tanda suka meninggikan suara kepada ibu dan bapa.
Titik hitam yang ini pula tanda berniqab kerana mengharap pandangan manusia dan dambaan jejaka.
Titik hitam umpama kudis pada muka yang baru muncul pada hari ini pula tanda baru 1 minit lepas selesai mengumpat manusia.
Titik hitam yang bernanah pada muka ini pula tanda meninggalkan solat Subuh pagi tadi.


Bila begitu maka pastinya mahu dilumur putih telur untuk menjaga kemulusan wajah juga sudah tiada masa.
Bila begitu maka pastinya mahu dilulur muka dengan serbuk kulit kayu manis untuk menghilangkan parut jerawat juga sudah tiada rasa berguna lagi.

Hari-hari berwuduk dan solat sahaja.
Hari-hari berwuduk dan baca Al-Quran sahaja.










Allah Maha Penyayang.


Tiada pernah mahu ditunjukkan keaiban kita sebagai seorang hamba di hadapan makhluknya yang lain secara terang-terangan.
Segalanya disembunyikan.
Biarlah segalanya Dia sahaja yang tahu.
Biarlah rahsia penuh debu dosa itu hanya Dia yang bisa jelas melihat.
Menunggu kita kembali kepada-Nya dan merayu diampunkan dosa.
Menunggu kita bersujud kepada-Nya dengan penuh rasa cinta.


Tetapi kita tidak begitu.
Hati kita keras.
Kerana butanya mata hati dari melihat betapa maha besar akan kasih-sayangNya.


Allah Maha Bijaksana.
Dia mahu mencari dalam sekian banyak hati-hati yang diciptakan.
Yang mana satu benar ikhlas beribadah kepada-Nya.


Allah Maha Bijaksana.
Dia mahu melihat dalam sekian banyak hati-hati yang yang diciptakan.
Yang mana satu hati yang hidup selalu menangis mengenangkan dosanya sebagai hamba.


Allah Maha Bijaksana.

Kerana kita tidak tahu Allah Maha Bijaksana.
Maka kita terus menerus menjadi seorang hamba yang bodoh, sombong dan angkuh.
Yang sukar sujud hati dan anggotanya.









Bila entah kita mahu berubah.


Bila ada yang menyeru supaya ditutup aurat kita dengan sempurna. Maka kata kita, aku belum sampai serunya. Entah bila waktu seru itu juga kita sendiri belum pasti. Namun saat ada satu nikmat ditarik, dengan mudah kita mengatakan bahawa  Dia itu kejam. Selalu mengambil apa yang baik dan memberikan yang buruk-buruk sahaja dalam kehidupan ini. Sedang kita tidak sedar, perintah-Nya selalu kita abaikan dan pandang sebelah mata.


Bila entah kita mahu berubah.


Solat sudah sekian lama ditinggalkan. Mujur sahaja bintik hitam itu ada di dalam hati. Maka tidaklah ada rasa perlu untuk menyorok daripada manusia andai bintik hitam dosa itu timbul di muka. Namun oleh kerana kita sendiri tidak celik hati, maka hati kita terus buta dan buta ditutupi gelapnya kepekatan noda hitam.


Ketahuilah bahawa orang yang ikhlas sahaja akan punya benar rasa malu kepada Allah.


Ketahuilah bahawa orang yang ikhlas sahaja menangis dengan sebenar-benar tangisan atas dosa yang dilakukan sekalipun kecil.


Bila direnung-renung.


Kita sebenarnya tidak punya hati yang cukup ikhlas.
Kita tidak cukup ikhlas dalam beribadah.
Kita tidak cukup ikhlas untuk menjadi lebih baik.
Yang lebih tepat, kita tidak begitu ikhlas untuk menjadi seorang hamba.


Andai tidak maka sudah pastinya hari-hari sentiasa kita takut dan malu berbuat dosa.
Andai tidak maka sudah pasti sehari ke sehari cinta kita kepada-Nya semakin menyubur.







Kita sekarang sudah dalam fasa terakhir nak pecut rebut Laylatul Qadar.
Sebab katanya Laylatul Qadar itu satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
Seperti apa yang Allah firmankan dalam surah al-Qadr ayat 2.


Tanya sesiapa sahaja. Pasti mahukan Lailatul Qadar.
Namun mungkin pembeza antara kita adalah tindakan cuma.
Semua orang mahu.
Namun hakikatnya sedikit sahaja yang bertindak.


Lain orang lain targetnya.


Diri juga punya target sendiri.
Untuk duduk sendiri.
Dan mencari makna satu keikhlasan serta taubat seorang hamba.


Kita harus ingat bahawa Ramadan bukan tempoh untuk satu bulan kita menjadi baik.
Ramadan itu umpama kursus. Yang melatih dalaman dan spiritual kita.
Yang nantinya bila keluar dari Ramadan, kita punya tenaga dan semangat baru untuk terus jadi lebih baik pada bulan-bulan yang lain.


Andai kita pandang bulan Ramadan itu sahaja bulan untuk menjadi baik dan mencari taqwa.
Maka momentum kita nantinya akan menurun dan menjadi seperti sediakala pada bulan-bulan yang lain.


Biar Ramadan ini cuba kita cari satu 'permata' berharga.
Yang mana nanti bila keluar dari madasah Ramadan maka 'permata' itu nantinya dijaga betul-betul dan terus digilap.


Andai waktu bulan Ramadan ini kita sudah terbiasa untuk menghabiskan tilawah 10 muka Al-Quran maka nantinya bila keluar dari Ramadan, 'permata 10 muka' itu terus ditingkatkan hingga bisa mencapai 1 juzuk sehari


Andai pada bulan Ramadan ini kita sudah terbiasa tilawah 1 juzuk Al-Quran maka bila keluar Ramadan nantinya mungkin terus digilap 'permata 1 juzuk' itu hingga bisa untuk dihafaz pula.


Hidup kita biar selalu ada pembaikan.
Hidup kita biar selalu usaha untuk dekat dengan Allah.
Baru hati kita tenang.
Baru hati kita kenal apa itu kebahagiaan.







Bila nak jadi baik.
Banyak perkara yang boleh kita lakukan.

Tilawah Al-Quran.
Menghafaz Al-Quran.
Solat rawatib.
Hafazan al-Quran.
Solat Dhuha.
Jaga mulut.
Ma'thurat.
Bacaan bermanfaat.
Jaga mata.
Hayati sirah.
Zikir.
Al-Kahfi.
Ta'leem.
Memberi sesuatu yang bermanfaat.
Istighfar.
Solat witir.
Puasa.
Jaga hati.
Talaqqi.

Buat baik pada ibu bapa.
Solat taubat.
Jaga tangan.
Al-Mulk sebelum tidur.
Selawat.
Jaga kaki.
Solat tahajjud.
Sedekah.




Cuma tinggal mahu buat atau tidak.
Itu sahaja.


Nanti untuk isi hari-hari mendatangi Laylatul Qadr ini.
Saya cuma mahu kongsi satu doa yang harus terus dibaca.


Baca ini ulang-ulang kali secara sendiri.
Hayati makna-maknanya.
Baca ulang-ulang kali hingga terasa hiba.
Kenang dosa-dosa lalu.
Taubat sungguh-sungguh.
Cari di mana keikhlasan dalam hati.
Ikhlas dalam menghadapi ujian.
Mahupun ikhlas dalam menerima nikmat.
Biar hati kita menangis.
Biar hati kita jadi lembut dengan tangisan taubat.




وقالت عائشة ـ رضي الله عنها ـ : يا رسول الله إن وافقت ليلة القدر، فما أقول ؟ قال: قولي: اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني
Ertinya : "Berkatalah Aisyah , Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doa) ? Bersabda Nabi : " Sebutlah doa " Ya Allah sesungguhnya dikaulah maha pengampun , dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan"







Suatu hari Rasulullah SAW duduk dalam satu majlis bersama sahabat.
Tiba-tiba ada seorang sahabat yang bertanya.


"Wahai Rasulullah, siapakah di antara kami yang akan masuk ke syurga?"

Beberapa sahabat yang lain terkejut dengan soalan itu kerana mungkin sahaja bisa mengundang rasa riak dan ujub. Dan seolah-olah soalan yang seperti itu tidak perlu untuk ditanya. Sampaikan Umar sudah tarik pedangnya. Namun Rasulullah SAW menenangkan Umar dan memberi isyarat kepadanya supaya duduk.


Rasulullah SAW senyum sahaja. Dan berkata.

"Kalian lihatlah ke pintu. Sebentar lagi penghuni syurga itu akan muncul"


Para sahabat pun tunggulah. Dalam keadaan yang ternanti-nanti mahu tahu siapa yang dimaksudkan Rasulullah SAW.


Sampailah ada seorang pemuda yang sederhana malah tidak dikenali masuk untuk turut bersama di dalam majlis. Para sahabat pun hairan kerana melihatkan pemuda itu cuma biasa-biasa sahaja dan bukan pula yang terdiri dari kalangan sahabat terdekat Rasulullah SAW.


Kata Nabi SAW.


"Setiap gerak-geri dan dan langkah dari pemuda itu hanya diikhlaskan semata-mata mengharapkan keredaan Allah. Maka itu yang membuatkan Allah suka dan reda kepadanya"



No comments: