Wednesday, June 26, 2013

Sebelah Sayap: Daie Usah Mudah Perasan



أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
 بسم الله الرحمن الرحيم
 
Dalam hidup, kita tidak berhak merasa diri lebih tinggi berbanding manusia lain.
Kita pergi ke majlis ilmu dan mereka pergi ke konsert nasyid. Tidak bermakna kita lebih baik daripada mereka yang baik.

Kita menjadi naqib naqibah usrah dan mereka hanya menjadi penyusun kerusi satu ceramah. Tidak bermakna kita lebih baik daripada mereka yang baik.

Kita berkongsi status Facebook tentang mendekati akhirat dan mereka berkongsi status Facebook tentang cara menjalani kehidupan dunia. Tidak bermakna kita lebih baik daripada mereka yang baik.

Kerana hanya Allah yang mengetahui siapakah sebenar hamba-hambaNya yang benar-benar baik.

Dan kerana kita tetap manusia yang mempunyai peluang dan masa merenung dan memperbaiki diri untuk menjadi insan yang lebih baik.
 
 
Jadi baik dengan mengajak yang lain melakukan perkara yang baik.
Tawarkan senyuman kasih sayang bukan hati yang membisik memperlekeh.

Dan kerana baik itu terletak pada hati yang ikhlas.

Jadi baik dengan usaha untuk ikhlas. Dalam apa-apa jua yang kita lakukan. Sentiasa istighfar dan tajdid niat.
 




Kiranya semua sudah mengetahui video Sebelah Sayap Mat Luthfi. Ini sememangnya telah menjadi antara video yang termasuk dalam senarai 'evergreen' saya juga.
 

"dia cuba nak berhenti la" 
"betul ke dia cuba? Kau jangan nak husnudzhon terlebih la"


Cubalah jadi daie yang lemah lembut. Manusia semakin menjauh dengan perlakuan yang kasar dan kata-kata yang menyakitkan. Tawarkan senyuman kasih sayang dan akhlak yang menyenangkan.


Andai kita ingin dihormati maka diri sendirilah yang perlu belajar bagaimana untuk menghormati. Andai kita ingin disayangi maka diri sendirilah yang harus belajar bagaimana untuk menyayangi.



"slow-slow ar. hang cakap pandai tapi realitinya dia yang rasa. Hang ada masa dia tengah stress?" 


Cubalah jadi daie yang prihatin akan masalah yang lain. Letakkan diri sendiri dalam situasi dia yang menghadapi. Put ourselves in their shoes.

Dia terasa sakit untuk melakukan perubahan. Mungkin dia mahu melakukan perubahan dari sesuatu yang buruk kepada sesuatu yang baik. Letakkan situasi kita dalam suatu perubahan juga. Mungkin sedikit berbeza dengan keadaan diri yang ingin berubah dari sesuatu yang baik ke arah yang lebih baik.


Susah mahu istiqamah Dhuha, rawatib dan tahajud?
Susah mahu menyebarkan senyuman dan salam?
Susah mahu konsisten tilawah bermuka-muka halaman Al-Quran?


Maka begitu jualah susahnya dia yang ingin keluar dari lorong kegelapan ke jalan cahaya.
Perit. Maka usah kita makin menambahkan keperitannya. Ringankanlah. Bantulah.


"Kalau kau rasa benda yang kau nak cakap tu lebih penting daripada ceramah ni, cakap ah!"
 

Cubalah jadi daie yang mendengar. 

Biar kita menjadi tempat untuk mereka menyimpan rahsia.
Biar kita menjadi tempat mereka meluah rasa.
 

Andai kita mengetahui kisah hidup setiap manusia yang kita temui pasti tiada ruang untuk berprasangka buruk atas setiap perkara yang mereka lakukan kerana tiap satu mempunyai sebab yang tersirat di sebalik pandangan mata kita yang hanya bisa melihat yang tersurat.



"Hang sibuk usrah sana sini berteori bagai tapi bila ha! ada satu masalah depan mata, hang tak reti nak selesaikan"

Cubalah jadi daie yang kreatif. Menjadi seorang daie bukan hanya perlu berbicara tentang agama 24 jam. Percayalah, manusia akan bosan.


Kreatiflah dalam menyelesaikan masalah.

Jadilah seorang daie yang fleksibel.

Cubalah bercerita isu dunia Islam bersama sahabat bukan bertudung labuh dan berkopiah.


Cubalah ajak mereka yang bukan hanya berbaju kurung dan berjubah ke majlis-majlis ilmu atau usrah juga.

Cubalah ajak mereka yang bukan berkopiah juga ke masjid untuk sama-sama solat berjemaah.

Ini tidak. Andai berada dalam kelompok yang bertudung labuh dan berkopiah, maka dari awal sampai akhir kehidupan, itu sahajalah yang menjadi sahabat.

Andai bertemu dengan dia yang amat meminati muzik maka pandulah agar minatnya itu bisa menjadi sumbangan buat Islam. Andai bertemu dengan dia yang amat meminati bidang keusahawanan maka bimbinglah dia agar kelak menjadi seorang ahli perniagaan berjaya yang mengamalkan kejujuran dalam jual beli. Andai bertemu dengan dia yang amat meminati bidang reka cipta maka pandulah dirinya moga dengan itu bakal terlahir seorang pereka cipta yang luar biasa hebatnya.

Kerana menjadi daie bukan tugasnya bertindak mengubah minat seseorang. Namun memandu agar apa yang dilakukan itu tetap selari landasan syariat Islam.

Jadilah seorang daie yang fleksibel dan yang tetap teguh berpegang kepada prinsip!
 

Ada yang mengadu kepada diri.
"Saya dah terlanjur"
"Saya tidak solat"
Cuma belum ada lagi "saya minum arak"

Dunia nyata malah di alam maya.
Ya. Menyedihkan kerana bukan seorang cuma.


Mungkin seumur hidup kita akan menemui insan yang memberi pengaduan sebegini.
Apakah tindakan kita? Mahu menjauh?


Andai kita menjauhkan diri kerana dosanya begitu maka kitalah sebenarnya yang teruk.
Andai kita memandang jelek di saat mereka perlu akan sokongan dan kasih sayang maka kitalah yang teruk.


Kita tidak menyedari bahawa diri kita ini lebih teruk sehingga mampu memandang teruk kepada orang lain.

Usah kesudahan nantinya mereka yang dikatakan 'teruk' itu makin khusyuk dalam solat kerana mengenangkan dosa-dosa lalu dan kita ini yang bisa mudah memandang teruk orang lain makin menjadi teruk dengan hati yang penuh prasangka dan kebencian.


Andai tidak mampu memberi butir nasihat maka medekatlah memberi sokongan berada di sisi cuma. Andai tidak mampu memberi solusi dan jalan penyelesaian kepada masalah maka tunjukkanlah kepada mereka bahawa Allah itu Maha Penyayang dan menerima taubat hamba-hambaNya.


Sebaliknya bersyukur kerana Allah menghadirkan mereka untuk kita mengenal erti kasih sayang. Sebaliknya bersyukur kerana Allah meletakkan suatu masalah untuk kita mengenal langkah mencari solusi dalam membantu insan lain. Sebaliknya bersyukur kerana ini juga menjadi peringatan buat diri sendiri yang tiada pernah sepi dari dosa.

Bukan makin menjauh. Bukan sewenang menghukum. Bukan membenci.
Jangan.


Kesimpulan.

Mahu tahu mengapa kita mudah menghukum manusia?


Kerana kita tidak pernah mahu merasakan bahawa kita juga adalah seorang pendosa.

Juga kerana sikap diri sendiri yang mudah perasan.


Usah mudah perasan dengan bersekolah agama sudah bisa memandang rendah manusia lain. Usah mudah perasan dengan bertudung labuh serta berpurdah sudah merasa diri makhluk yang paling mulia atas muka bumi. Usah mudah perasan dengan menghafaz 5 juzuk sudah merasa diri tergolong dalam ahli syurga.


Jangan. Kerana mungkin kita belum menemui mereka yang berpakaian jeans tetapi istiqamah qiamullailnya. Jangan. Kerana mungkin kita belum menemui mereka yang langsung tidak menerima pendidikan agama namun menangis saat terlepasnya tahajud kerana diulit lena.


Dan kerana kita selamanya tiada pernah mengetahui bagaimana pengakhiran hidup kita.
Ambillah ibrah kisah si perempuan pelacur yang takdirnya dimasukkan ke dalam syurga. Juga ibrah kisah ahli ibadah yang akhirnya mati dalam keadaan kufur.

Jadilah seorang hamba yang bukan Tuhan.
Kerana kita hamba yang hina berdosa. Bukan Tuhan.
Jadi hamba. Bukan jadi Tuhan.

8 comments:

Amatullah said...

:')

Anonymous said...

:') sejuk hati...

Unknown said...

Allahuakhbar! setuju sangat..

tersentuh di situ..

Anonymous said...

Subhanallah.Sebuah lagi entry yang mengusik hati ini. Jazakillah buat saudari. =')

Unknown said...

salam...saya ada jual produk shaklee..jemput la tgk kt sini
http://intan-mohamad.blogspot.com/2013/07/shaklees-product-prices.html

Hamba Allah said...

Cinta itu; memberi dan menerima.

Da'ie itu tugasnya; memberi dan menerima kefahaman tentang Islam, memberi dan menerima teguran atas salah silap.

Seorang da'ie yang hanya suka memberi tapi sukar menerima. Jelas da'ie itu belum kenal apa itu cinta.

Dan mungkin sukar bagi dia untuk menyentuh hati mad'u tanpa cinta.

Sungguh, ianya merupakan teguran bil hikmah daripada anti buat para du'at yang sukar menerima teguran.

Teruskan menyentuh hati mad'u di luar sana ^^

Anonymous said...

Salam,

Sis suke gaya penulisan u dear. Lembut tp ade pendirian. Sekadar bkongsi, klu free jenguklah blog Genta Rasa oleh ustad Pahrol. Sis sgt respect dgn ilmu & gaya penulisan beliau. Sis doakn 1 ari nnti u pn akn menulis sehebat beliau. Amin :)

Anonymous said...

Salam sis, saya tersentuh. Mohos share certain2 ayat. Tq sangat.