Monday, May 27, 2013

Ukhuwwah Peria Bersalut Coklat



أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
 بسم الله الرحمن الرحيم



Apa itu ukhuwwah islamiyyah?

Saya tidak habis fikir.

Maka saya mengambil handphone, menaip soalan dan menekan butang untuk menghantar pesanan.



Bila tanya sahabat jurusan Pharmacy.
"In simple word, berkawan kerana Allah. Contohnya kita berkawan dengan dia sebab kita nak sama-sama dapat redha Allah, sama-sama dapat masuk syurga dan lain-lain."


Bila tanya seorang kakak yang anggun.
"Islamiyah saudara sesama Islam dan yang tu ukhuwah ikhlas kerana Allah. Macam kak Nani ikhlas kawan dengan b2. Bukan sebab b2 kaya ke comel ke apa. Tapi ikhlas kerana Allah."


Bila tanya junior satu kos Bahasa Arab.
"Ukhuwah ialah ikatan persaudaraan antara kita dan dia terjadi tanpa dipaksa. Di mana kawan ambil berat terhadap kita, saling berkasih sayang dan semua tu ikhlas dari hati kerana Allah tanpa ada sebab keduniaan."


Bila tanya kakak naqibah.
"Ukhuwwah bukan kerana ada apa-apa interest peribadi. Sebab pandai ke, cantik, kaya. Kita berukhuwwah kerana Allah mencintai persaudaraan dan tidak suka pecah belah. Dalam berukhuwwah itu la nanti kita akan ada saling menasihati, tolak ansur, lapang dada. Dan kita berukhuwwah dengan siapa sahaja tanpa bezakan siapa dia. Secara ringkas yang tu."


Bila tanya seorang adik yang comel.
"Ukhuwwah islamiyah? Hmm. Yang Ain faham la kan memang kerana Allah. Tapi biasanya susah sikit la nak capai tu. Mm. Ukhuwwah Islamiyah ni mcm islamik. Ajak kepada kebaikan macam tu la."


Bila tanya seorang sahabat sekolah menengah.
"Sama-sama bantu ingat-ingat dekat dunia untuk dapat reda Allah, untuk sama-sama masuk syurga."


Bila tanya sahabat jurusan Kimia.
"Ukhuwwah islamiyah ye? Hmm. Bukan sahaja kerana Allah tapi juga berlandaskan agama. Maksudnya dalam suatu hubungan persahabatan mesti ada give and take. Mesti saling mendoakan sebab dalam bersahabat kita nak reda Allah. Kerana setiap apa jua yang kita lakukan dalam hidup ni mesti nak reda Allah. Tegur kawan kalau kita rasa benda tu tak elok. Bukan kita makin campakkan dia buat dia makin teruk. Saling memaafkan sebab bila kita kawan dengan betul-betul ikhlas kesalahan kecil pun kita tidak kisah sebab kita tahu Allah 
ada."


Bila tanya sahabat lain universiti.
"Kalau ukhuwwah kerana Allah, kita berkawan untuk saling membetulkan apa yang silap tetapi kadang tu bila nampak kawan buat salah, ada juga rasa serba salah nak tegur ke tak. Lagi, kalau boleh kita nak termasuk dalam golongan yang dinaungi arasy Allah nanti. Bertemu dan berpisah kerana Allah. 




Ukhuwwah ada waktu manisnya.

 

Saat kita riang makan bersama-sama. Saat kita solat berjemaah ramai-ramai. Saat kita melangkah ke bulatan gembira bersama. Saat kita ketawa menonton filem komedi. Saat kita tersenyum bahagia memenangi pertandingan memasak antara universiti. Saat kita bisa memancing 10 ekor ikan di sungai belakang rumah ketua kampung. Saat kita melompat gembira bermain teng-teng bersama-sama.


Dan ada suatu ketika segala yang manis hilang. Terganti dengan perhubungan yang teruji.




Ukhuwah kerana Allah itu perlu diuji. 


Terkadang hanya kerana sedikit salah faham sudah bisa merenggangkan ukhuwah yang terbina. Apatah lagi persahabatan yang terjalin sejak berpuluh-puluh tahun. Hanya kerana sedikit perselisihan, hubungan diputuskan setakat itu sahaja.


Tidak semua bisa memahami kita sebagaimana kita memahami mereka. Tidak semua bisa memberi sebagaimana kita yang cuba berkorban segalanya untuk mereka. Tidak semua. Kerana mungkin tahap fahaman ukhuwwah antara kita dan mereka berbeza. 


Usah mudah menuding jari ke arah sahabat andai adanya sedikit perselisihan faham. Andai direnung kembali, jika satu jari telah dituding ke arah sahabat, baki empat jari terhala ke arah diri sendiri. Mungkin puncanya daripada kita tetapi kita yang tidak menyedari. Mungkin kita yang terlebih dahulu salah. Berhenti daripada menyalahkan orang lain. Lihatlah diri sendiri terlebih dahulu.


Kerana itu ukhuwah yang dikatakan kerana Allah ini perlu diuji. Mahu dilihat sejauh mana benarnya hati kita dalam menaut tali persaudaraan. Hati-hati yang benar bersahabat kerana Allah pasti berusaha untuk kembali mengikat tali keakraban walau dilanda taufan salah faham beberapa kali.


Kerana dia benar-benar berukhuwah kerana Allah. Kerana niatnya lurus bersahabat demi keredaan Allah. Disebabkan itu, walau apa yang terjadi, pasti diusahakan untuk memulihkan keadaan seperti sebelumnya. Menghapus segala buruk wasangka.





Ukhuwwah yang manis bisa menjadi tawar kerana banyaknya menabur prasangka.


Terkadang ada yang tidak mengetahui apa itu makna ukhuwwah yang sebenarnya namun telah terlebih dahulu menunjuk dan menjadi contoh.


Terkadang ada yang telah mengetahui apa itu makna literari ukhuwwah, telah merasai makan dalam talam bersama dan telah merasai solat berjemaah bersama namun tetap tidak merasai ukhuwwah yang sebenarnya.


Kerana ukhuwwah tidak sahaja wujud pada tangan yang menyuap ketika makan bersama dalam talam tetapi ada pada hati yang menerima segala genap kekurangan dan kelemahan yang lain.
 


Kerana ukhuwwah itu ada pada ikhlasnya tawa dan jujurnya air mata.

Kerana ukhuwwah itu ada pada hati yang tidak memperlekeh dalam diam.

Kerana ukhuwwah itu terpatri pada hati yang saling mempercayai dan menyokong.


Yang tidak pernah lelah dalam membantu.

Yang tidak pernah henti dalam memaafkan.

Yang tidak pernah jemu dalam menasihati.
 



Ukhuwah merupakan kekuatan iman yang melahirkan perasaan kasih sayang yang mendalam, cinta, penghormatan dan rasa saling tisqah (saling percaya), terhadap seluruh insan yang memiliki ikatan aqidah Islamiyah yang sama dan juga yang memiliki cahaya keimanan dan ketaqwaan. (Dr. Abdullah Nasih Ulwan) 



Ukhuwwah tidak cukup dengan makan ramai-ramai andai hati masih tidak punya rasa ingin berkorban mengutamakan orang lain.


Ukhuwwah tidak cukup dengan berkongsi cerita ramai-ramai andai hati masih punya rasa mementingkan diri.


Ukhuwwah tidak cukup dengan senyuman yang disebar andai hati penuh menyimpan dengki dan pandangan yang menjatuhkan.


Ukhuwwah tidak cukup menyapa di tepi jalanan andai hati tidak mampu bahagia atas kejayaan yang lain. 





"Di antara tanda-tanda benar dalam ukhuwah (persaudaraan) ialah menerima kritikan teman, menutupi aib teman, dan mengampuni kesalahannya." 



Bisakah diri menerima sahabat yang jauh tersasar daripada agama?

Bisakah diri menerima sahabat yang mengaku telah
tersilap langkah dan terlanjur?

Bisakah diri menerima sahabat yang mengaku telah lama meninggalkan solat?


Bisakah diri menerima sahabat yang menikam dari belakang?

Bisakah diri menerima penipuan sahabat selama bertahun?



Ketawa dia juga ketawa kita.
Tangis dia juga tangis kita.
Resah dia juga resah kita.
Bimbang dia juga bimbang kita.
Sakit dia juga sakit kita.

Beban dia juga beban kita.
Bahagia dia juga bahagia kita.

 

Bisakah kita menjadi seperti satu jasad dan hati yang saling berkongsi satu rasa dan jiwa? 


Memang ramai yang ingin bersama-sama kita dalam mengejar kejayaan. Memang ramai yang mahu mendekat dengan kita saat kita makin dikenali. Memang ramai yang ingin berjalan bersama saat kesenangan diri melimpah.


Namun semestinya diri sentiasa mencari di mana sahabat yang bisa menerima kekurangan diri, yang jujur bahagia dengan kejayaan diri, yang bisa merasai apa yang dirasai, yang menjadi pendengar setia saat ingin didengari, yang tetap setia walau fitnah ditabur, yang tetap bersangka baik walau keraguan di hadapan mata.


Benar. Susah.
 


Kerana semua bisa mengungkap kata uhibbuki wa uhibbuka fillah.
Namun tidak semua mampu memberi contoh uhibbuki wa uhibbuka fillah.


Namun masih, itu tidak mustahil.






Bagaimana mahu memaniskan ukhuwah? 



Pejamkan mata. Maafkan kesalahan sahabat.

Dan berazam.

Selepas ini, aku tidak mahu berprasangka buruk dan hanya melihat yang baik sahaja padanya.

Selepas ini, aku tidak akan mudah melihat silapnya melainkan merenung salah diri sendiri terlebih dahulu.

Selepas ini, aku pasti memberi, memberi dan memberi tiap kali sahaja sahabat memerlukan aku di sampingnya.

Selepas ini, aku tidak mahu hanya di hadapan memuji tetapi di belakang ada umpatan.

Selepas ini, aku tidak akan berkira dalam memberi kebaikan biarlah walau tiada berbalas.


Dan selepas ini, aku akan merendahkan ego untuk menyatakan cinta terhadap seorang sahabat.

Kerana ini semua yang diperintahkan Allah.

Kerana ini semua merupakan pesanan Nabi.




Apakah wujud lagi sahabat yang sanggup mengutamakan yang lain berbanding dirinya sendiri?
 
 

Apakah wujud lagi sahabat yang di kala diri dalam kesusahan, sudah tahu hala tuju kepada siapa?

Ya. Sedikit.

Tetapi percayalah. Pasti ada lagi sahabat sebegitu ikhlas.


 
Andai kita menginginkan sahabat yang setia. Biar kita dahulu yang setia.
 

Andai kita menginginkan sahabat yang mudah mengucap maaf. Biar kita dahulu yang menurunkan ego memberi maaf.


Bukan dalam konsep pencarian suami isteri solehah sahaja yang perlu "menjadi sebelum mencari". 

Dalam persahabatan juga begitu.


Jadilah sahabat yang suka melindungi sahabatnya dan yang suka mencukupkan keperluan saat sahabat dalam kekurangan.


Jadilah seorang sahabat yang apabila yang lain menghulurkan tangan untuk membalas jasa baik atau bantuan yang telah diberikan, diri suka menerima dengan rasa terharu sebagai penghargaan.


Jadilah seorang sahabat yang suka menyebut apabila terlihat kebaikan yang ada pada diri yang lain dan menyembunyi andai mengetahui mengenai keburukan dirinya.



Jadilah seorang sahabat yang pasti memberi tatkala yang lain meminta dan yang terlebih dahulu mula menyapa andai yang lain diam.


Jadilah seorang sahabat yang suka membantu, menghibur serta meringankan saat sahabat menghadapi atau ditimpa suatu kesukaran dan kesedihan.



Jadilah seorang sahabat yang apabila wujud suatu perselisihan maka dialah yang mengalah demi kepentingan yang lain. 


Saat teragak-agak ingin menegur sahabat daripada melakukan perkara yang dilarang agama maka kita belum lagi bisa menjadi sahabat yang baik.


Saat ragu ingin menyuarakan kebenaran terhadap sahabat yang mungkin tidak sedar berada di dalam kemaksiatan kerana takutkan persahabatan yang bakal renggang maka kita belum lagi bisa menjadi sahabat yang baik.





Kesimpulan.


Terus memberi, memberi dan memberi. Biar tiada balasan. Kerana sudah menjadi tanggungjawab kita dengan Allah.


Biar kita menjadi sahabat terhebat. Hingga ucapan "saya sayangkan awak kerana Allah' itu sampai ke dalam hatinya. Andai sahabat yang tidak merasa maka itu bukan salah dia. Itu salah kita.


Dalam mencari persahabatan sejati kerana Allah tidak mudah kerana hanya sedikit yang punya hati benar tulus ikhlas. Namun, peranan sebagai seorang sahabat yang mencintai sahabatnya yang lain tetap sahaja tanggungjawab diri.


Tak goyah dek salah faham. Punya hati yang mudah memaafkan. Dan penuh kasih sayang.


Manisnya ada di situ.

 

Maka tiada lagi peria. Kerana yang tinggal kini hanyalah coklat.



Janganlah kalian saling hasad, saling najasy (menawar barang dengan harga yang lebih tinggi tanpa bermaksud membeli akan tetapi untuk memperdaya pihak lain), saling membenci, saling acuh tak acuh. Janganlah sesama kalian menjual di atas penjualan sebagian yang lainnya (maksudnya mempengaruhi pembeli di tengah memilih suatu barang sehingga membatalkan pembeliannya, kemudian orang lain menawarkan barang dengan kualiti yang sama atau lebih baik dengan harga yang sama. Jadilah kalian hamba Allah yang bersaudara, seorang muslim adalah saudara bagi muslim yang lainnya. Oleh kerana itu janganlah menzalimi, menghina, mendustai dan jangan pula meremehkannya. Taqwa itu ada di sini (hati) dan Baginda sambil menunjuk ke dadanya tiga kali. Cukuplah seseorang dianggap jahat jika ia memandang hina kepada saudaranya sesama muslim. Setiap muslim atas muslim lainnya adalah haram darahnya, dan juga kehormatannya. (HR Muslim)


- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -


Perkongsian buat semua.

Tamparan buat diri sendiri.

Jazakumullah khairan katheera kepada yang sudi baca. 


"Ya Allah, jadikanlah bicaraku, tulisanku...adalah ibadah kepada-Mu. Ya Rahman, ikhlaskanlah hatiku dalam apa jua aku lakukan. Luputkanlah segala sifat riak, sombong, dengki, iri hati andai ada bersarang dalam hati ini. Kau tiupkanlah sifat-sifat mahmudah ke dalam hatiku. Ya Raheem, jadikanlah cinta dan rinduku kepada-Mu setinggi-tinggi dan seindah-indah cinta dan rindu dalam hati ini. Ameen Ya Rabbal 'Alameen"
 

3 comments:

Hamba Allah said...

Berkasih sayang atas sebab suruhan Dia. Itu ukhuwwah. Saling memperbaiki dan melengkapi demi kemenangan Islam. Itu ukhuwwah.

"Berjalan menemani saudara seiman dalam rangka menyelesaikan keperluannya lebih saya sukai daripada beriktikaf di masjid selama sebulan. (Rasulullah) ^^

Jazakillah khairan..

:: Zahratu Billaurah :: said...

| Akh Shahidan |

Pendek kata, ukhuwwah itu yang membawa kita dan mereka ke arah kebaikan, membina satu hubungan dari hati benar tulus kerana Allah. =)

Jazakallah Akh sudi singgah. Barakallahu feek ^__^

brother selasih said...

terima kasih untuk perkongsian ini...(^_~)v

ukhuwwah pasti akan kekal, jika ia berlandaskan pada 'Yang Kekal'

# moga2 blog ini dapat terus beri manfaat pada yang lain...InsyaAllah~
# mayAllahbless~