Tuesday, March 26, 2013

Isk, Susahnya Nak Hafaz Al-Quran..


أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
 بسم الله الرحمن الرحيم


"Putih-putih melati,
Merah-merah delima,
Siapa yang baik hati,

Pastiku terimaaa"

"Sedap gak lagu yang kau pasang tu, Man. Lagu baru ke"

"Kau mat surau plus naqib dan plus banyak lagi jawatan keagamaan yang kau pegang, selalu pasang IKIM manalah nak tahu. Ni lagu Putih Putih Melati. ST12 yang nyanyi, band dari Indonesia. Lagu-lagu dia memang sedap. Layan je aku"

"Beza antara kita,

Rupa darjat dan harta,
Sudikah kau terima"

"Peh, lagu lama A to Z tu. Kau jiwang karat macam ni serahlah"

"Apa, ingat
mat surau macam aku plus naqib dan plus banyak lagi jawatan keagamaan yang kau cakap tadi tu tak tahu ke lagu-lagu macam ni. Ha, tak nak tunjuk je. Man, tolong aku jap Man. Boleh?"

"Tolong apa?"

"Aku baca kau sambung ye"

"Sambung apa?"


"Ya qoumi innama hadzihi hayaatuddunya mataa-'un wainnal aakhirata hiya daarul qaraar. Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan untuk sementara waktu sahaja dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal. Tak apalah, tak payah sambung tak apa. Cuba kau sebut nama surah dan ayat ke berapa" 

"Weh, nak perli aku la tu" Kelihatan satu bantal melayang.

"Aku tak cakap apa pun? Yang terasa kenapa. Hehe"


"Sengih mengata la tu. Yela, yela. Lepas ni aku akan banyak mengaji daripada update tentang lagu. Hadoii, masalah aku bila sebilik dengan pak ustaz macam kau ni" 




Kenapa benda yang baik ni 'susah'? 


Susahnya nak hafaz Al-Quran bagi mudah ingat.

Hakikatnya, bukan hafaz Al-Quran sahaja yang susah.

Susahnya nak istiqamah solat Dhuha.
Susahnya nak bangun malam buat Tahajud.
Susahnya nak solat awal waktu.

Susahnya nak maintain Ma'thurat.
Susahnya nak lazimi solat sunat Rawatib.


Susahnya!


Yang senang, dengar lagu baru sekali pun dah hampir ingat keseluruhan lirik.
Yang senang, khatam berjuz-juz drama jauh satu malah tiga buah drama Korea.
Yang senang, menangis terharu tiap kali habis satu demi satu bab novel cintan.
Yang senang, gelak-gelak bila tengok kartun Shinchan dan Atashinchi. Atau ini boleh tahan lagilah agaknya. 



Apabila kita melazimi diri kita dengan sesuatu maka makin mudah untuk hati mendekat dengan sesuatu tersebut. Andai kita melazimi kehidupan harian kita dengan lagu maka makin senang mengingati lirik lagu yang panjang berjela daripada ayat Al-Quran walau sebaris. Andai kita melazimi diri kita dengan membawa bahan bacaan ke mana sahaja maka hati kita akan dicelikkan dan dahaga dengan cahaya ilmu. Andai kita melazimi diri kita dengan tidak meninggalkan tilawah Al-Quran setiap hari maka hati terus akan merindu tatkala menjauh dari Kalamullah walau sebentar.


Apakah pernah diri kita diam dan berfikir sejenak.


Umur semakin meningkat namun ilmu entah bertambah atau tidak. Andai bertambah entah diamalkan atau tidak. Andai diamal entah ikhlas atau tidak.


Umur makin meningkat namun diri ini tidak pernah sedar bahawa silibus surah dalam Al-Quran juga masih belum terpahat dalam ingatan. Itu baru nama surah dan nombor surah. Belum dihitung berapa kerat ayat-ayat Al-Quran yang telah dihafaz dan dihayati. Andai ditanyakan drama Korea pada episod dua dan episod keempat apa yang berlaku, mengapa dengan mudah bisa memberi penerangan panjang lebar? Tanpa dipinta air mata turut mengalir sekali andai kisahnya menyayat hati.




Bukan Salah Solat dan Al-Quran yang 'susah'


Bukan salah solat dan lima waktunya hingga diri liat untuk solat pada awal waktu. Bukan salah ayat-ayat Al-Quran yang tinggi bahasanya hingga payah untuk melekat di ingatan.

 

Yang salah adalah hati kita yang keras untuk dididik. Yang salah adalah hati kita yang masih penuh noda hitam dengan karat Jahiliyah yang kuat melekat. Yang salah adalah hati kita yang masih mahu seronok dan belum mahu benar serius dalam mendalami agama sendiri. Yang salah adalah hati kita yang belum nekad dalam usaha menjadi an excellent practising Muslim yang Islam bukan hanya pada kad pengenalan. 



Bukan 'Tidak Boleh' Itu dan Ini 



Bukan tidak boleh mendengar lagu jiwang. Dengarlah. Namun usah terlalu dimasukkan dalam hati. Menjadi seorang da'ie juga harus mengambil tahu kesukaan remaja kini.
Bukan tidak boleh menonton drama Korea dan Hindustan. Tontonlah. Namun hadkan masanya. Ambil 'ibrah atau pengajaran pada kisahnya.


Kita perlu hiburan sekadarnya. Dan yang kita benar perlukan adalah pengislahan diri ke arah yang lebih baik. Sirami hati dengan cahaya keimanan.

 
Bilakah lagi masanya untuk kita menjadi seorang Muslim yang benar-benar dekat dengan Al-Quran andai bukan usahanya bermula dari sekarang? Ustaz Taufik yang mengajar Advanced Arabic ada berpesan bahawa harusnya tiap Muslim berusaha menghafaz Kalamullah. Bukan budak tahfiz sahaja. Bukan budak persijilan Darul Quran sahaja. Bukan budak Dirasah Islamiyah sahaja. Namun kita sebagai Muslim harus punya keinginan untuk menghafaz walaupun usaha setakat setengah juz pertama. 


Bilakah lagi masanya untuk kita menjadi Muslim yang benar-benar dekat dengan Allah melalui solat andai bukan usahanya bermula dari sekarang? Ustaz Zaharuddin ada berpesan supaya tingkatkan ilmu mengenai solat. Solat yang kita lakukan sekarang mungkin hanya ikut-ikutan dan ajaran semenjak Tadika cuma.


Andai dahulu mungkin susah untuk mengakses internet. Namun kini, memetik ayat karangan kebiasaan dalam buku PMR, 'semuanya di hujung jari'.


Cari sedikit, jumpa makna bacaan dalam solat.
Cari lagi, jumpa perkongsian hadis tentang niat.

Tak cukup dengan itu, jumpa tazkirah buat diri yang liat untuk berubah



Biar Hari-Hari Rancang Peningkatan Iman


Kalau hari ini tidak berselawat, biarlah esok selawat walau sekali. Biarlah hari selepas esok semakin meningkat kepada selawat tiga kali. Hari selepas hari selepas esok biarlah meningkat kepada sepuluh kali selawat pula.


Kalau hari ini tilawah Al-Quran cuma satu muka, biarlah esok cukup satu muka. Andai tidak bisa mencapai dua muka surat, cukuplah satu muka surat dihayati ayat-ayat Allah dengan berhenti dan merenung sejenak kekhilafan yang diri telah lakukan sepanjang hari.


Kalau hari ini tidak mampu menghabiskan Ma'thurat, biarlah bermula dengan zikir 'Subhanallah' dahulu. Mungkin esok bertambah dengan zikir 'Alhamdulillah' pula. Hari berikutnya 'Allahuakbar' meniti di bibir. Setelah dilazimi, Ma'thurat dan berbagai jenis zikir telah terhafaz di mulut dan hati.


Biar nanti kita menjadi Muslim yang benar-benar mengamalkan ilmu dan mengisi waktu. Solat sentiasa terlaksana awal. Ma'thurat telah biasa terhafaz pagi dan petang. Solat sunat Dhuha dan Rawatib menjadi kelaziman. Qiamullail menjadi waktu tetap meluah rasa dengan Pencipta. Hati sentiasa segar dengan tilawah Al-Quran dan hafazan.
 



Kesimpulan


"Siapa bilang aku suka buang masa,
Siapa bilang aku liat berusaha,
Sesungguhnya aku benar-benar cinta,
Cinta ummah dan agama"

"Kalau ada hitam pasti ada putih,
Jika hatiku kelam maka perlu dibersih,
Tak usah dibiar titik noda hitam terisi,
Kerna hatiku tak sesinar mentari"

"Putih-putih melati
Merah-merah delima
Siapa yang ikhlas hati
Pasti Dia terima"
 


_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _



 p/s: perkongsian untuk menampar diri sendiri. Harus bertarung dengan hati untuk merebat juara keimanan. Go go go. :D Hee~
Amat saya hargai anda yang membaca menegur kesilapan saya.


Perkongsian buat semua.

Tamparan buat diri sendiri.

Jazakumullah khairan katheera kepada yang sudi baca. 


"Ya Allah, jadikanlah bicaraku, tulisanku...adalah ibadah kepada-Mu. Ya Rahman, ikhlaskanlah hatiku dalam apa jua aku lakukan. Hapuskanlah segala sifat riak, sombong, dengki, iri hati andai ada bersarang dalam hati ini. Kau tiupkanlah sifat-sifat mahmudah ke dalam hatiku. Ya Raheem, jadikanlah cinta dan rinduku kepada-Mu setinggi-tinggi dan seindah-indah cinta dan rindu dalam hati ini. Ameen Ya Rabbal 'Alameen" 

3 comments:

Anonymous said...

Its like you read my mind! You seem to know so much about this, like you
wrote the book in it or something. I think that you could
do with some pics to drive the message home a little bit, but instead
of that, this is magnificent blog. An excellent read.
I will certainly be back.

Also visit my website novoline app f�roid

Anonymous said...

Keep this going please, great job!

Feel free to visit my weblog :: Book Of Rah

brother selasih said...

Allah....rasa mcm tertampar jugak...(T~T)