أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
بسم الله الرحمن الرحيم
Hari-hari berlalu membawa cereka tersendiri.
Diri di UIA Nilai sendiri menimba pelbagai ilmu secara langsung mahupun secara tidak langsung.
Kini di kampung halaman, merenungi hari-hari berlalu, pantasnya masa berlari! Penat mengejar.
Semakin kurang khabar di sini, hakikatnya pelbagai perkara telah berlaku dalam diri.
Meneliti dan merenung kepingan masa, setiap detik setiap peristiwa, meninggalkan kesan dalam diri.
Diri ini sendiri perlu bersiap sedia untuk mencari hikmah dalam setiap ketentuan-Nya.
Asy-Syukr wa As-sobr. Syukur dan Sabar.
Tidak banyak mahu diceritakan dalam entri kali ini. Mungkin perlu sedikit muqaddimah atau permulaan ‘memanaskan minyak’ sebelum memecut laju. Perlu pembukaan dan pendahuluan setelah agak kian lama menyepi.
Kali ini mahu cuba berkongsi di sebalik ujian kegembiraan dan kedukaan. Mungkin ada ‘ibrahnya bagi yang membaca.
Alhamdulillah, terasa bahagia dengan rezeki kurniaan-Nya. Sedang dan sambil melewati minggu terakhir yang padat sebelum pulang ke rumah bercuti khususnya untuk menyambut kedatangan Syawal bersama keluarga, diri terhibur apabila usaha yang diperuntukkan membuahkan hasil. Alhamdulillah, sempena minggu Islamic Festival di UIA, nasyid berkumpulan berjaya menapak naib johan. Alhamdulillah juga, rezeki daripada-Nya, menyandang johan bagi pertandingan seni khat individu perempuan. Alhamdulillah. Syukr ilallah.
Kenangan Sem 1 Tahun 2 UIA Nilai =') |
Apakah ini sebenarnya. Maafkan saya andai kelihatan seperti menunjuk-nunjuk. Astaghfirullah.
Bukan hadiah itu yang mahu saya tumpukan. Di sebalik itu semua ada yang lebih besar. Lihat yang tersirat di sebalik hakikat yang tersurat. Ujian. Itu.
Ujian kesenangan. Ujian kesusahan.
Sebelum dihiburkan Allah dengan berita yang menyenangkan hati, diri telah diuji dengan ujian menduga kesabaran hati. Demam selama beberapa hari. Agak lama. Badan panas, pening kepala. Ditambah bersama sakit gigi, gusi bengkak, tonsil merah dan besar sehingga beberapa hari juga berbuka puasa dengan bubur kerana gigi terus sahaja mula sakit apabila menggigit nasi mahupun roti. Agak sedih kerana kuiz pada minggu yang sama. Langsung tidak bisa membaca buku. Apatah lagi melihat tulisan Arab yang kecil pada buku Nahu mahupun Sorof. Mata berpinar memandang buku Computer yang kuiz hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Dirundung kesedihan. Memujuk hati. Sabar. As-sobr.
Ditambah pada masa yang sama latihan untuk nasyid yang hanya tinggal beberapa hari, persiapan kurang dari seminggu. Berlatih dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. Mungkin kelihatan biasa. Tetapi sakit itu sendiri yang merasai. Perit. Namun tahu ianya bisa bertukar bahagia. Dengan as-sobr. Memujuk hati. Dia sayang. As-sobr.
Ketika ini, ada sahabat yang sangat mengambil berat, berulang alik dari biliknya ke bilik sahabat yang sakit yang dipisahkan satu tingkat bangunan. Mengambil air dan meletakkan kain basah di atas kepala. Membawa sedikit bekalan makanan dan menghantar pesanan di inbox handphone buat ketabahan hati. As-Syukr. Syukran ya Ukhti =’)
Ketika ini, ada saudara yang sanggup berjalan jauh ke kedai semata-mata untuk membeli keperluan saudaranya yang sakit. Ada saudara yang sanggup menghabiskan duit, meluangkan masa dan berjalan jauh demi menemani saudaranya ke klinik jauh dari UIA. Asy-Syukr. Syukran buat sepupu tercinta. =’)
Sakit tak terasa, as-sobr penawarnya. Nikmat yang menggunung, namun sudah cukupkah tanda asy-syukr seorang hamba kepada Yang Teragung?
Masing-masing punya kisah tersendiri. Ada yang melalui duri-duri kehidupan yang terlalu menduga ketabahan hati sebelum bisa mengecap kebahagiaan. Ada yang hidup tenang tanpa dirundung pelbagai masalah yang menyesakkan dada.
Itu hanya secebis pengalaman biasa saya. Cuba mencari peristiwa kontras. Ujian kesenangan dan ujian kesusahan. Anda lebih hebat daripada saya dan semestinya ujian hebat menimpa manusia yang hebat. Mungkin ada yang hidupnya asyik ditimpa musibah. Usah mengeluh, ini peluang untuk naik pada pandangan-Nya. Allah memberi jalan untuk mendekati-Nya melalui masalah yang dihadapi.
Bersyukurlah kerana dengan ujian itu makin mengingatkan diri bahawa Dia Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu. Mintalah kekuatan daripada-Nya kerana Dia Pemberi Kekuatan. Meniup semangat agar terus melangkah walaupun payah! Percayalah di sebalik kesusahan itu adanya kesenangan yang menanti. Believe Him!
Bagi yang bahagia meniti usia masa, sendiri ingin mengingatkan ujian kesenangan itu lebih besar dugaannya berbanding ujian kesusahan. Kerana kesenangan, manusia mudah alpa dan lalai daripada mengingati Allah. Kerana hidup yang dilimpahi kemewahan, manusia tenggelam dalam lautan nikmat dunia yang sementara.
Lihatlah, hidup kita setiap saat diuji. Bukanlah ujian itu hanya kesusahan dan musibah, ujian itu juga datang dalam bentuk kurniaan dan nikmat yang menggunung daripada Allah. Semua ini untuk menguji keimanan dalam hati.
Apakah saat ditimpa ujian menghempap perasaan, diri berpaling daripada-Nya? Sudah tidak mahu hidup lagi. Makin serius apabila mula hilang kurang percaya terhadap Allah. Naudzubillah.
Atau apakah diri dilimpahi nikmat yang pelbagai, mula memikirkan diri sudah terlalu baik sehingga tidak diuji?
Seharusnya makin bertambah amalan seiring pertambahan nikmat. Tetapi apakah kita hamba yang benar-benar bersyukur? Sedangkan dalam solat juga masih belum mampu khusyuk dengan sempurna. Allah…
Susah atau senang ujian yang kita hadapi sekarang bergantung kepada bagaimana kita menghadapinya. Renungi kisah-kisah di dalam Al-Quran. Nabi Ibrahim yang diuji dengan perintah menyembelih puteranya, Ismail. Kelihatan susah tetapi dengan keimanan yang tinggi, lulus ujian daripada Allah.
Begitu juga dengan Qarun yang dikurniakan nikmat harta yang melimpah ruah. Kenikmatan yang meluas menyebabkan Qarun alpa. Kebiasaannya manusia yang dianugerahi pelbagai kenikmatan seperti harta yang banyak, rupa paras yang cantik, kesihatan yang baik, kepintaran akal merasakan bahawa mereka tidak diuji sehingga akhirnya lalai dan lupa untuk bersyukur serta bangga diri.
Yang mana lebih baik, derita tetapi bahagia dengan ujian yang menimpa kerana semakin dekat dengan-Nya atau hidup dilimpahi kesenangan sehingga riak dan lupa untuk bersyukur kepada-Nya?
Carilah as-sobr dan asy-syukr di sebalik tiap-tiap kepingan cereka kehidupan.
Di situlah letaknya kemanisan. Kerana menyedari setiap masa diri diuji.
Keimanan di dalam hati. Itu yang utama. Just believe. Yakin dengan-Nya.
Lalui kehidupan dengan gembira walau hakikatnya penuh kedukaan. Usah hanya memandang yang tersurat, lihatlah dalam dimensi yang berbeza.
Kesusahan itu ujian untuk kita naik pada pandangan-Nya.
Kesenangan itu ujian untuk menguji keimanan kita terhadap-Nya.
Jadi, berbahagialah!
Gratitude and Patience. Asy-Syukr wa As-Sobr.
Renung dalam setiap detik kehidupan. Di situ letaknya kebahagiaan.
Alhamdulillah, keputusan Pemenang Contest Aku Ingin Berubah telah diumumkan.
Syukran Muslimah Optimis, masih memilih artikel yg x seberapa ini untuk hadiah utama walaupun penyertaan paling lewat. Moga dirahmati Allah sentiasa, Ameen.
Syukran Muslimah Optimis, masih memilih artikel yg x seberapa ini untuk hadiah utama walaupun penyertaan paling lewat. Moga dirahmati Allah sentiasa, Ameen.
Asy-Syukr, Alhamdulillah...begitu byk sekali kurniaan-Nya...='(
Doakan diri ini termasuk dalam golongan hamba-Nya yang bersyukur...juga kita semua...Ameen..
Perkongsian buat semua.
Tamparan buat diri sendiri.
Jazakumullah khairan katheera kepada yang sudi baca.
"Ya Allah…jadikanlah bicaraku….tulisanku….adalah ibadah kepada-Mu… Ya Rahman….ikhlaskanlah hatiku dalam apa jua aku lakukan….buangkanlah segala sifat riak, sombong, dengki, iri hati dalam diri ini….Kau tiupkanlah sifat-sifat mahmudah ke dalam hatiku… Ya Rahim….jadikanlah cinta dan rinduku kepada-Mu setinggi-tinggi dan seindah-indah cinta dan rindu dalam hati ini…..Ameen......"
2 comments:
assalamualaikum ukhti yg dicintai dan dirindui kerana-NYA ^_^
alhamdulillah,trm ksh atas peringatannya (melalui penulisan ukht).
hidup ini sememangnya satu ujian,ujian drpd ALLAH Rabbul 'Alamin =)
"Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat); "(Al-Mulk 67:2)
terus-teruslah saling mengingati kerana-NYA ^_^
salam sayang fillah~
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
"Jika Allah mencintai seorang hambaNya, Dia memberitahu kepada Jibril:'sesungguhya Allah mencintai si fulan,maka cintailah dia.Jibril pun mencintai si fulan tersebut kemudian dia menyeru dikalangan penduduk langit:'sesungguhnya Allah telah mencintai si fulan, maka cintailah dia'. Seluruh penduduk langit pun mencintai si fulan tersebut.Kemudian seluruh penduduk bumi juga dijadikan mencintai si fulan tersebut."
(riwayat al-Bukhari no.3037 dan Muslim no.2637)
Post a Comment