Friday, April 1, 2011

Roda Kembara Seorang Hamba



عليكم السلام
  بسم الله الرحمن الرحيم




Pernah tak duduk keseorangan,
Dengan mata yang terpejam,
Merasakan roh yang ada dalam sebuah jasad,
Lalu bertanya, siapa aku?


Pernah tak duduk keseorangan,
Jauh daripada semua perkara duniawi,
Mendongak ke langit,
Lalu bertanya, untuk apa aku diciptakan?





Pernah tak apabila sedang berjalan, berfikir bagaimana jika tiba-tiba sahaja diri akan jatuh, dada sakit, lalu nyawa ditarik.

Pernah tak apabila sebelum melelapkan mata, berfikir, apakah pandangan aku esok seperti apa yang terlihat kini?

Pernah tak apabila sedang bergembira, berfikir, jika waktu itu gempa bumi datang menggegar, ke manakah dapat aku lari?














SIAPA KITA?



Kita hanya manusia. Hanya hamba!











Ya, kita hanya hamba, hamba….
Yang lemah lagi hina…
Tiada apa milik kita di dunia...
Itu semua kurniaan Allah…
Pangkat, kecerdikan, kekayaan harta, rupa paras yang cantik, apakah itu semua?
Itu semua ujian daripada Dia. Yang mempesonakan. Yang membuatkan hati lalai jika menjadi hamba dunia.
Dia sentiasa menguji. Apakah diri akan berpaling daripada-Nya dengan segala nikmat yang Dia berikan? Apakah nikmat yang diberi digunakan ke arah jalan yang betul?



Kita akan dikembalikan…
Rasalah kita akan kembali kepadaNya…rasalah sekarang..
Dunia ini hanya sebuah tempat ujian…tempat persinggahan…
Fikirlah akhirat…
Kerana itulah tempat kembali kita…
Yang kekal abadi…







Apabila menyedari diri seorang hamba, maksiat akan ditinggalkan.


Hamba akan merasa dia adalah milik Penciptanya. Segala suruhan Allah dilakukan. Segala larangan-Nya ditinggalkan.


Jika Allah menyuruh supaya  berbuat baik sesama manusia, dia ikut. Jika Allah suruh mendirikan solat, dia ikut. Jika Allah menyuruh supaya aurat ditutup, dia ikut. Jika Allah menyuruh supaya dia mentaati ibu dan bapa, dia ikut. Jika Allah menyuruh supaya merendahkan hati, dia ikut.
Segala suruhan Allah diikuti. Dia ikut kerana merasa diri hanya seorang hamba.


Jika Allah melarang daripada menyakiti hati anak yatim, dia tinggalkan. Jika Allah melarang daripada memakan riba, dia tinggalkan. Jika Allah melarang daripada berdusta, dia tinggalkan. Jika Allah melarang daripada mengumpat, memfitnah dan menceritakan keburukan orang lain, dia tinggalkan.
Segala larangan Allah ditinggalkan. Dia tinggal kerana merasa diri hanya seorang hamba.







Apabila menyedari diri seorang hamba, diri akan sentiasa bersyukur.




Jika Allah mengurniakan berbagai-bagai nikmat, hamba itu tetap tunduk dan sujud bersyukur.
Jika Allah mengurniakan nikmat kesihatan, dia bersyukur kerana ada yang ditarik nikmat ini dengan penyakit yang memberi derita pada tubuh. Jika Allah mengurniakan nikmat ibu dan bapa, dia bersyukur kerana sedar ada yang telah kehilangan kedua-dua ibu dan ayah. Jika Allah mengurniakan sahabat-sahabat yang mengajak kearah kebaikan, dia bersyukur kerana ada yang mengingati.
Segala nikmat Allah disyukuri. Kerana merasa diri hanya seorang hamba.




Jika Allah menguji dengan musibah dan ujian yang berat, hamba itu tetap juga akan terus tunduk dan sujud bersyukur.
Jika dia menangis kerana ditinggalkan cinta seorang lelaki atau perempuan yang bukan halal baginya, dia bersyukur kerana sedar Allah amat menyayangi-Nya daripada terus lalai dalam lembah dosa. Jika dia diuji dengan kehilangan orang yang tersayang, dia bersyukur kerana sedar Allah sentiasa ada di sisi. Jika dia mengalami musibah kebakaran atau perniagaan yang merosot, dia bersyukur kerana Allah menyedarkan dia bahawa itu semua milik Allah.
Segala ujian berat dan musibah yang menimpa, disyukuri. Kerana merasa diri hanya seorang hamba.












Apabila menyedari diri seorang hamba, terasa lemah tidak terdaya.
Siapalah kita untuk berbangga dengan kekayaan harta. Itu semua Allah bagi.
Siapalah kita untuk berbangga dengan ilmu yang ada. Itu semua Allah bagi.
Siapalah kita untuk berbangga dengan jawatan tinggi. Itu semua Allah bagi.
Tiada milik kita, hanya milik Allah, lalu mengapa diri begitu sombong?


Jika Allah nak tarik nikmat, sekejap sahaja. Mudah sahaja bagi Dia.
Sekelip mata sahaja hilang di pandangan.
Segala nikmat yang diberi, hanyalah untuk menguji ‘respon’ kita.








Jika punya harta yang menimbun, infakkanlah pada jalan yang benar. Begitu ramai yang memerlukan. Percayalah, dengan memberi untuk menunjukkan rasa bersyukur, nikmat itu akan ditambah lagi. Carilah reda Dia dengan harta yang juga milik Dia.

Jika punya ilmu yang bermanfaat. Sebarkanlah dengan hati yang ikhlas bukan untuk berbangga. Apakah diri tidak mengetahui, itulah antara saham ke akhirat, yang sentiasa bertambah nilainya apabila diamalkan. Carilah reda Dia dengan ilmu yang juga milik Dia.

Jika punya jawatan yang tinggi dan pangkat yang besar, berlaku adillah. Lihatlah orang di bawah sebagai manusia bukan orang suruhan. Pandanglah orang bawahan dengan kaca mata kasih sayang. Berikanlah dan tunjukkanlah akhlak yang baik sebagai seorang pemimpin.  Sedarlah bahawa hanya Allah kuasa tertinggi. Carilah reda Dia dengan pangkat yang juga milik Dia.













Lalu untuk apa rasa bangga dengan segala kekayaan harta yang menimbun?
Lalu untuk apa rasa bangga dengan kebaikan yang dilakukan oleh diri?
Lalu untuk apa rasa hebat dengan ilmu yang penuh di dada?
Lalu untuk apa rasa hebat dengan jawatan atau pangkat yang ada?
Wahai hamba…sedarlah…menangislah kerana diri penuh dengan dosa…


Mengapa tidak pernah untuk merasa bersyukur?
Mengapa sering sahaja merasa tidak cukup?
Mengapa merasa diri yang paling hebat?
Mengapa mesti dengki dengan kelebihan orang lain?
Wahai hamba… sedarlah…menangislah kerana diri yang selalu alpa…






Jika anda seorang yang berpakaian mendedahkan aurat, tutuplah dengan sempurna, sebelum diri dibalut dengan kain putih menggantikan busana indah.

Jika anda seorang yang selalu melawan ibu dan ayah, carilah mereka sekarang, pohonlah kemaafan sebelum nyawa diambil.

Jika anda seorang yang berpangkat tinggi, rendahkanlah hati, tundukkanlah pandangan, rasailah diri hanyalah seorang insan kerdil, dan hanya Dia yang memiliki segalanya.

Jika anda seorang yang berilmu tinggi, sebarkanlah apa yang tahu, mengumpul saham akhirat, sebelum roh ditarik.


Jika anda merasakan diri seorang hamba…
ucaplah Alhamdulillah bersyukur dengan segala kurniaan-Nya…
sabarlah dengan musibah yang menimpa…
rasailah diri akan kembali kepada-Nya…













Akhir kehidupan….
Tiada lagi pakaian yang boleh dipilih…hanya kain putih…
Akhir kehidupan…
Tiada lagi kereta mewah…
Yang ada…hanya keranda kayu…
Akhir kehidupan…
Tiada lagi harta, rupa mahupun pangkat…
Yang ada…hanya amalan…
Bertaqwalah…
Dan ketahuilah, itulah sebenarnya sebaik-baik bekal...
Untuk dibawa pulang…
Kembali kepada-Nya…




" Dan berbekallah kamu, sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa "
(Al-Baqarah, ayat 197)




Aku hanya seorang hamba…
Terkadang aku mencari makna hidup…
Terkadang aku tertanya…
Mengapa aku dicipta…


Aku hanya seorang hamba…
Terkadang aku juga kalah dengan emosi…
Terkadang aku juga kalah…
Dengan bisikan yang menggoda…


Aku hanya seorang hamba…
Tika aku perlu tempat bergantung …
Kau hadiahkan aku ratu hati…
Seorang ibu yang terlalu penyayang…
Terlalu, ya Allah…tiada galang gantinya…
Tika aku dambakan kasih seorang ayah…
Kau hadiahkan aku seorang bapa …
Bapa yang mengajar aku erti tanggungjawab…
Walaupun hanya untuk sementara…
Aku reda, Ya Allah…
Tidak cukup dengan itu…
Kau hadirkan lagi seorang bapa…
Untuk aku menumpang kasih…
Betapa Maha Penyayang-Nya Engkau, Ya Allah!
Mengapa hatiku begitu buta…


Aku hanya seorang hamba…
Terkadang aku juga lalai dan leka...
Dan Kau hadiahi aku sahabat-sahabat…
Dengan ukhuwah berpaksikan iman…
Ukhuwah yang terjalin hanya kerana-Mu…
Untuk saling mengingati…
Ke arah kebenaran…


Aku hanya seorang hamba…
Siapalah aku untuk berbangga…
Dengan segala kurniaan-Mu…
Siapalah aku untuk merasa hebat…
Sedangkan semuanya adalah milik-Mu…
Sedangkan diri ini juga..
Akhirnya kembali menemui-Mu…

Aku hanya seorang hamba…
Terkadang aku terasa lemah…
Allah, susahnya bagi diriku...
Untuk menggapai cinta tertinggi…
Oleh itu…
Hamba ini minta kepada-Mu ya Allah...
Ampunkanlah dosa hamba-Mu ini…
Yang penuh dengan noda hitam…


Aku hanya seorang hamba…
Tiadalah daya aku…
Maka itu ya Allah…
Berikanlah aku kekuatan…
Untuk terus berusaha naik pada pandangan-Mu…

Aku hanya seorang hamba..
Aku sedar aku penuh debu-debu dosa…
Namun, aku harap…
Pandangan Engkau masih ada buat aku…
Kerana jika diri ini tidak dipandang-Mu…
Lalu…ke manakah diri ini akan pergi…
Ke syurgakah….
Atau adakah ke neraka-Mu…















Gratisan Musik






Jika kita merasa kita yang paling sakit, lihatlah ke bawah, jika kita merasa kita yang paling tinggi kedudukannya, dongaklah ke atas. Sedarlah, kita hanya seorang hamba yang terjerat dalam roda kembara menuju destinasi abadi.





Satu kali peringatan buat yang membaca, beribu kali peringatan buat yang menulis…
Apa yang ditulis adalah ilham yang diberi Allah, saya hanya perantara…
Hanya hamba yang lemah…tiada punya apa-apa…
Tiada terdaya….melainkan dgn izin-Nya segala…




"Ya Allah…jadikanlah bicaraku….tulisanku….adalah ibadah kepada-Mu… Ya Rahman….ikhlaskanlah hatiku dalam apa jua aku lakukan….buangkanlah segala sifat riak, sombong, dengki, iri hati dalam diri ini….Kau tiupkanlah sifat-sifat mahmudah ke dalam hatiku… Ya Rahim….jadikanlah cinta dan rinduku kepada-Mu setinggi-tinggi dan seindah-indah cinta dan rindu dalam hati ini…..Ameen......"

2 comments:

Ummu Qois said...

bitu makin hebat... tahniah. mabruk. muahh

:: Zahratu Billaurah :: said...

b2 x hebat, Yah..
Pencipta kita la paling hebat..
kalau seseorang tu hebat, sbb Allah bagi dia jadi hebat..
kalau seseorang itu terserlah kebaikan dia, itu kerana Allah menutup keaiban dia..

Yah lagi hebat daripada b2 ^_^