أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
بسم الله الرحمن الرحيم
Tidak kira dean's list atau tidak sama sahaja.
Tetap ketaqwaan yang menjadi sebenar pembeza itu harus terus kita cari.
Tenanglah hati yang bersedih. Cerialah hati yang gundah.
Kita ini namanya manusia memang tidak akan pernah merasa cukup dengan apa yang kita ada.
Walau memperoleh 3.99 sekalipun pasti tetap terus mengharap dan mengeluh kesal untuk tetap menggapai empat rata.
Dapat satu mahu dua. Ada dua mahu tiga. Dapat tiga masih meminta lebih.
Kita mahu lebih tetapi nak mengaji banyak-banyak kita malas.
Kita selalu mahu lebih tetapi solat sunat malas nak buat.
Kita mahu lebih tetapi dunia masih ada di dalam hati.
Dalam pada malas itu jua nikmat Allah tetap masih mencurah.
Maha Penyayang dan Pemurah.
Bimbang andai fenomena menuntut ilmu kini sekadar menjunjung tinggi pointer sedang ilmunya perlahan-lahan lenyap. Kerana orang yang menuntut ilmu itu hatinya makin menunduk rendah. Kerana orang yang menuntut ilmu itu khauf atau ketakutannya terhadap Allah bertambah. Kerana orang yang menuntut ilmu itu hatinya penuh rasa raja' dan menyerahkan sepenuh pengharapan hanya kepada Allah.
Masih teringat tika SPM. Begitu bersungguh bertungkus lumus untuk mencapai 12A. Disuntik doktrin bahawa SPM itulah penentu kehidupan. Kerana itu tidak hairan ada yang sanggup bunuh diri atas sebab peperiksaan. Tekanan.
Andai kita hidup dalam pandangan manusia maka memang kita akan tertekan. Terkadang kita perlu membawa hati jauh dari dunia. Didiklah hati itu. Didikan bukan sekali maka terus menjadi. Didiklah ia berkali-kali.
Bawa hati lari dunia. Jauhkan hati daripada hidup terkongkong di bawah pandangan manusia. Itu menyakitkan. Cuba bawa hati hidup bawah pandangan Allah. Mendamaikan.
Tiada siapa yang mengatakan bahawa pointer itu tidak penting. Malah itu yang menunjukkan di mana kesungguhan kita sebagai seorang pelajar.
Kita punya jurusan yang berbeza. Mahu memenangkan Engineering bahawa ianya lebih susah daripada jurusan bahasa juga terasa serba salah. Mahu memenangkan jurusan seni bahawa ianya lebih susah berbanding jurusan Ekonomi juga serba salah. Kerana tiap daripada kita punya cabaran yang tersendiri. Kerana belum tentu jurusan agama mampu apabila diletakkan di posisi mengejar kerjaya sebagai seorang doktor. Kerana juga belum tentu bakal doktor bisa untuk sekreatif pelajar jurusan seni halus.
Di mana kita berada kini dan nanti itu bukanlah suatu kebetulan. Itulah perancangan daripada Allah. Bukan untuk satu tujuan yang sia-sia tetapi ada matlamat yang harus kita pegang. Jika kita bakal seorang doktor maka nantinya jadilah doktor yang merawat jasad serta hati. Jika kita bakal menjadi seorang pengajar maka didiklah hati-hati itu untuk makin dekat kepada Allah.
Maka di situ tiada lagi kepentingan yang tinggi di mana letaknya pointer kita. Usah memaksa diri bersaing untuk menandingi manusia. Namun banyakkanlah menghisab diri sendiri. Dengan segala ilmu dan pointer yang aku ada maka banyak manakah manfaat yang telah aku sebarkan?
Adik perempuan saya suka sekali berkongsi setiap yang berlaku di sekolahnya. Ada kisah perempuan bergaduh hingga tertanggal tudung hanya berebutkan teman lelaki. Ada kisah kawan-kawan yang merokok dan disebat guru. Ada kisah kawan-kawan yang ponteng sekolah. Dan terkini yang paling kronik ada kawan yang mengatakan bahawa nantinya akan muncul Nabi lain setelah Nabi Muhammad SAW.
Kita tidak nampak ummah yang makin sakit kerana kita hanya banyak syok sendiri!
Kita menyangka dakwah kita bergerak sedangkan ianya tetap beku di situ.
Hanya mampu bising di Facebook dan berkicau di Twitter mengatakan cinta kepada Allah dan Rasulullah cuma namun amalan dan penghayatan kita kosong.
Tanyalah diri berapa kali kuat untuk bangun Tahajjud.
Tanya sahajalah pada diri kuat mana untuk memasang cita-cita menghafaz Al-Quran menyedari diri seorang muslim?
Malu!
Pointer kita mahu kejar hingga menangis bergelen-gelen. Usaha mengalahkan usaha orang yang membina bangunan skycrapers. Tetapi dalam hal ibadah tidak pernah kita mahu ambil serius.
Apa yang bisa kita ceritakan andai ada yang bertanya tentang Islam?
Apa yang bisa kita ceritakan andai datang seorang non-muslim bertanyakan tentang sirah dan peribadi Rasulullah.
Kita kenal dan cinta Allah dengan sebenarnya pun tidak bagaimana mahu cerita.
Kita nak mengaji satu juzuk sehari pun malas bagaimana mahu cerita.
Kita nak membaca sirah Rasulullah pun malas bagaimana mahu cerita.
Tahu mengapa seronok menjadi seorang blogger? Kerana kita bisa melihat ummah kini. Seorang blogger bisa mengetahui carian apa yang dicari oleh yang lain. Yang menyebabkan sampai ke blog kita sendiri.
Saya sentiasa tidak lupa melihat statistik itu. Dan antara carian yang paling popular hingga sampai ke blog saya ialah 'kenapa aku tidak solat'.
Maka bisa difahami di situ bahawa ummah parah dengan solat.
Kita memang pendakwah yang syok sendiri.
Andai benar kita tahu bahawa dunia ini hanya tempat persinggahan. Andai benar kita tahu bahawa dunia ini hanya sementara. Pasti hati menjauh dari dunia. Pasti ia kekal di tangan bukan di hati.
Rumput juga berzikir mengingati Allah. Tidak malukah kita pada rumput yang kita pijak hari-hari?
Suatu hari nanti kita bakal pergi. Usah hidup kita hanya sekadar hidup seorang manusia yang makan dan tidur. Jadilah manusia yang bermanfaat buat yang lain. Kerana kata Nabi itulah sebaik-baik manusia.
Mahu memberi manfaat bukan tunggu ceramah keliling dunia. Berilah manfaat dengan apa adanya pada kita. Menulis. Mereka grafik. Melakar kata-kata. Melukis komik. Membuku cerpen dan novel.
Ada yang masih termangu kerana masih tidak tahu apa kelebihan dirinya. Masih mencari-cari. Menjadi pendengar itu juga salah satu berdakwah. Mendengar dan memberi nasihat. Mendengar dan hadir tiap kali yang lain memerlukan. Kerana kita tidak jadi seorang muslim yang mementingkan diri sendiri. Yang jauh tika saudaranya memerlukan.
Ada yang bijak berniaga. Tidak menunggu untuk dean's list sebelum benar-benar pandai berniaga. Saya kagum dan menyokong penuh sahabat yang betul-betul bertungkus-lumus berniaga. Berniaga juga boleh menjadi satu dakwah. Apabila kita menjadi seorang peniaga yang jujur. Apabila kita memberi layanan yang baik dan saksama. Apabila kita bertutur dengan suara keramahan dan mententeramkan.
Jangan kita hanya mahu menaikkan diri sendiri. Kerana Allah tidak memberi kelebihan untuk kita simpan sendiri. Tetapi untuk kita sebar dan berkongsi.
Sentiasa jaga niat dan keikhlasan.
Ya, sememangnya ikhlas itu tidak hadir secara sendiri.
Kerana hati kita harus sentiasa dan terus dididik untuk ikhlas.
Orang yang ikhlas tahu kerana siapa setiap perbuatannya dilakukan. Orang yang ikhlas tidak akan mundur kerana dikeji dan tidak akan maju dek pujian. Orang yang ikhlas akan terus cuba melakukan kebaikan. Andai menunggu untuk ikhlas sepenuhnya sebelum memberi manfaat maka kita sendiri tiada mengetahui amal mana yang benar dilakukan kerana-Nya. Berbuatlah kebaikan yang banyak. Usah dipandang dan tenggelam lemas dalam pujian. Dan selebihnya tinggalkan ia dalam perhitungan Allah.
Kita hidup tidak lama. Ingatlah kematian maka segala kelazatan dunia akan hilang. Tinggalkanlah sesuatu yang berharga di dunia sebagai saham akhirat sebelum kita pulang kembali kepada-Nya.
Ada masa kita menggila boleh kita gila-gila.
Ada masa kita perlu serius maka kita harus serius.
Mari kita sama-sama berubah.
Berubah itu tidak cukup dengan hanya menyarung tudung labuh dan niqab, sayang.
Berubah itu tidak cukup dengan hanya memakai kopiah dan serban, teman.
Biar kita memakai bawal lepas syarat dan jeans cuma namun punya akhlak serta peribadi yang mantap.
Sememangnya saya menampar diri saya sendiri.
Tegurlah andai saya punya salah dan silap.
Maafkanlah andai saya punya salah dan silap.
Ingatlah bahawa Allah itu tidak akan pernah memberi sesuatu yang menyakitkan hati hamba-hambaNya. Cuma kita sahaja yang sentiasa lari dari Dia hingga sakit sendiri.
Alangkah bahagia hati yang melakukan sesuatu jauh daripada kepentingan duniawi sebagai matlamat utamanya. Berbahagialah wahai jiwa!
Perkongsian buat semua.
Tamparan buat diri sendiri.
Jazakumullah khairan katheera kepada yang sudi baca.
"Ya Allah, jadikanlah bicaraku, tulisanku...adalah ibadah kepada-Mu. Ya Rahman, ikhlaskanlah hatiku dalam apa jua aku lakukan. Luputkanlah segala sifat riak, sombong, dengki, iri hati andai ada bersarang dalam hati ini. Kau tiupkanlah sifat-sifat mahmudah ke dalam hatiku. Ya Raheem, jadikanlah cinta dan rinduku kepada-Mu setinggi-tinggi dan seindah-indah cinta dan rindu dalam hati ini. Ameen Ya Rabbal 'Alameen"
No comments:
Post a Comment