Sunday, March 13, 2011

"Awak menangis.....kerana dia lagi?"




عليكم السلام
 بسم الله الرحمن الرحيم



Arrghhh!! Jiwa Khairunnisa’ menjerit. Sedih. Sakit.Kecewa. Dia hanya memandang kitab Al-Balaghah Al-Arabiyyah di hadapannya dengan pandangan kosong. Fikirannya melayang jauh. Jauh daripada apa yang ditatap matanya. Hatinya merana. Lagi perit apabila hafalannya  sudah setengah jam berlalu namun tiada satu pun yang masuk ke dalam fikiran. Untuk tembus ke dalam hati apatah lagi. Dia hilang fokus. Matanya sudah puas mengalirkan air mata. Terkadang air mata benci. Terkadang air mata kekecewaan yang amat . Terkadang air mata rindu. Terkadang air mata putus harapan. Terkadang air mata kehilangan.



Syifa’ Awatif memerhati kelakuan Khairunnisa’ yang tidak senang duduk di atas kerusi belajarnya dari atas katil. Dia sedang melipat pakaian yang baru diangkat dari ampaian di dryroom. Sesekali dia menalakan pandangan ke arah Khairunnisa’ yang tidak keruan. Sekejap mengetuk pen pada dada buku sambil menongkat dagu. Sekejap memegang kepalanya dengan kedua-dua belah tangan. Sekejap bersandar pada kerusi dengan mata terpejam. Dia sudah sedia maklum apa yang melanda Khairunnisa’. Sudah hampir 3 semester mereka bersama. Sebilik malah sekelas. Memang sudah jodoh mereka bertemu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sebagai pelajar jurusan Bahasa Arab. Syifa’ Awatif sudah menganggap Khairunnisa’ seperti adiknya sendiri memandangkan dia lebih tua 6 bulan. Seusai sahaja selesai melipat dan menyusun pakaian-pakaian di dalam locker bersebelahan katil, dia menapak tenang ke arah di mana Khairunnisa’ berada. Perlahan-lahan…

  
“ Nisa…......kenapa ni……Nisa menangis lagi?”



Nisa merasa bahunya disentuh. Nisa sedikit terkejut dengan sapaan lembut Syifa’. Dia memandang Syifa’ dengan pandangan yang sayu. Kelihatan matanya yang bengkak akibat terlalu banyak mengalirkan air mata. Nisa membisu.



“ Ikmal Asyraf?”. Syifa’ menduga. Pasti kerana budak tahfiz itu. Dia duduk di atas kerusi. Bersebelahan Nisa.



Air mata Nisa bergenang lagi. Dahinya berkerut tanda menahan rasa sakit dan pedih dalam hati. Dia memandang Syifa’ sambil mengangguk perit.



“ Kali ni kenapa?” Syifa’ seorang sahabat yang sangat mengambil berat. Dia tidak akan tenang apabila melihat sahabat-sahabatnya berada dalam kesusahan.



“Tidak beriman seorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.” Hadith Riwayat Bukhari


Syifa’ beramal dengan ilmunya. Itsar, melebihkan sahabat daripada diri sendiri. Itulah puncak ukhuwah.Tingkat tertinggi.



“Syifa’ tahu kan, Nisa nak berubah. Nisa dah tak nak couple. Nisa tahu, apa yang Nisa buat ni salah tapi Nisa tak kuat. Nisa tak kuat, Syifa’.  Kadang-kadang Nisa rasa bersalah sangat. Ikmal ada cakap, dia semakin lupa hafazan dia. Nisa rasa sebab Nisa, dia semakin jauh daripada Allah. Nisa takut sebab Nisa, dia jadi macam tu. Nisa tak nak. Petang tadi Nisa dah betul-betul nekad. Nisa betul-betul nak berubah. Nisa minta putus.



“ Nisa dah putus dengan Ikmal?”. Syifa’ kemudiannya diam. Nisa akhirnya mengambil keputusan yang betul. Ini bukan kali pertama dia melihat Nisa menangis kerana lelaki ini. Sudah banyak kali air mata Nisa tumpah kerana Ikmal Asyraf.



“ Nisa minta putus tapi dia tak nak. Nisa tetap berkeras. Ikmal marah. Dia cakap yang bukan-bukan pada Nisa. Nisa ada lelaki lain. Nisa nak mempermainkan dia. Nisa perempuan jahat. Luar je nampak baik, tudung labuh, berjubah tapi perangai macam syaitan. Dia cakap Nisa perempuan bodoh. Hati Nisa sakit. Sakit sangat, Syifa’. Nisa tak sepatutnya jatuh cinta……Nisa menyesal sangat. Nisa pun tak tahu kenapa Nisa jadi macam ni. Dekat sekolah dulu, Nisa orang yang paling benci perbuatan couple ni. Tapi, tengoklah, akhirnya Nisa sendiri buat perkara yang Nisa benci. Nisa tak tahu kenapa hati Nisa sekarang makin rapuh. Nisa tak tahu mana perginya prinsip dan pendirian yang Nisa pegang selama ni. Kenapa…kenapa Nisa jadi macam ni.....ni semua kerana cinta, kalau tak Nisa tak jadi macam ni ”



Nisa meluah segalanya pada Syifa’. Meludah segala yang pahit. Di sini dia tiada sesiapa melainkan sahabat-sahabat seperjuangan menuntut ilmu. Dia sangat menghargai Syifa’ yang setia di sisi saat dia mula merasai hatinya mati.



“Nisa…cinta itu tak salah, sayang... Seorang perempuan jatuh cinta kepada seorang lelaki, itu fitrah manusia. Yang salah adalah apabila cinta itu tidak dikawal sehingga melampaui batas-batas pergaulan lelaki dan wanita. Cinta terkawal dengan adanya iman. Cuba kita renung, apakah Allah menciptakan perasaan cinta itu untuk sia-sia? Tentu tidak, bukan?  Kalau kita lihat sekarang, masalah remaja yang paling biasa melanda diri adalah masalah cinta. Masalah cinta yang tiada berkesudahan. Kerana cinta palsu, sanggup membunuh diri. Kerana cinta palsu, sanggup menggadai maruah. Kerana cinta palsu, mata hati menjadi buta, syariat dilanggar.”



Syifa’ menyambung bicara.



“Pernah tak kita fikir, apa hikmahnya Allah menghadirkan hati kita dengan perasaan cinta, suka kepada seseorang? Adakah cinta itu sekadar suka-suka? Atau sekadar mainan semata? Nisa sayang….mereka yang benar-benar faham anugerah daripada Allah ini tidak akan sekali-kali mensia-siakan perasaan cinta yang hadir dalam hati. Cinta dapat membantu kita mencapai reda Allah. Kita hidup untuk mencari keredaan Allah. Lalu bagaimana dengan cinta, kita dapat meraih reda Allah? Jawapannya dengan membina Baitul Muslim. Kita, dengan menjadi seorang isteri yang solehah buat suami. Berbakti kepada suami dengan penuh rasa cinta. Itulah cinta yang benar, cinta yang diredai Allah, cinta selepas kahwin. “



Nisa khusyuk mendengar. Butiran-butiran hikmah daripada Syifa’ sedikit demi sedikit membuka
mata hatinya yang tadi dirasakan kabur, gelap. Yang tadi dirasakan mati bagai hidup kembali. Bagai disiram dengan cahaya. Mulai terang. Syifa’ kembali menyambung dengan mengutarakan soalan kepada Nisa.



“Kalau Nisa kahwin nanti, Nisa nak anak tak? Hehe..”



Nisa tergelak kecil. Kadang-kadang apabila berbicara dengan sahabatnya yang seorang ini, walaupun dalam keseriusan perbincangan dan kematangan bicara, pasti ada sahaja kata-katanya yang bisa mencuit hati. Syifa’.Penawar lara di hati. Sahabat yang paling disenangi Nisa. Syifa’ jika dilihat secara luaran merupakan seorang gadis manis tinggi lampai yang ceria dan suka bergurau. Namun, apabila didekati, diajak bicara dari hati ke hati, nyata Syifa’ merupakan seorang sahabat yang sangat matang dalam pemikiran. Kerana itu dia senang berkongsi masalah dengan Syifa’. Sememangnya gadis tinggi lampai itu seorang pendengar yang baik. Memang benar juga, gadis manis itulah juga peneman setianya di kala senang dan susah walaupun baru setahun lebih berkenalan. Syifa’ jugalah yang sudi berkongsi, mencurahkan ilmu penyuluh hatinya yang kian malap.



“Kalau kahwin, mestilah nak anak. Kalau ada anak, baru meriah rumah. Syifa’ pun macam tu juga, kan? Hehe…”. Nisa seakan lupa kesedihan yang menggigit jiwanya tadi. Air matanya dari tadi telah berhenti daripada terus mengalir.



“Hehe…Ha, nak anak. Takkan sekadar ‘nak anak’ saje. Mesti kita nak anak-anak tu jadi anak yang soleh dan solehah kan? Bila macam tu, masa dalam usia sekarang la kita kena baiki diri. Baiki diri untuk? Untuk jadi ibu yang baik dan solehah juga. Dengan ini barulah dapat melahirkan anak-anak penyejuk mata. Masa muda remaja sekarang la kita kena belajar banyak ilmu. Dalami ilmu dan amal. Ilmu memasak semestinya yang lazim dengan kita sebagai seorang perempuan. Ilmu keibubapaan pun penting untuk mengetahui cara yang betul membesarkan anak. Jangan malu untuk membaca buku tentang anak. Ramai yang beranggapan bahawa usia semuda kita ini masih terlalu awal untuk itu tetapi kalau betul kita nak melahirkan Baitul Muslim, ini yang perlu kita lakukan. Seharusnya, sekarang bukan masanya untuk melayan perasaan cinta tetapi… bersedia untuk cinta. Banyak remaja yang tersungkur disebabkan cinta kerana mereka telah dikawal rasa cinta yang berlandaskan nafsu.



Syifa’ senyum. Dia menggenggam tangan Nisa.



“Tapi…walau macam mana pun, kita tak boleh mencela mereka. Kita seharusnya bersyukur dibesarkan dalam keluarga yang mengamalkan ajaran Islam. Ada remaja yang kurang bernasib baik, dibesarkan dalam keadaan ibu bapa yang tak solat, minum arak. Ada yang dibesarkan dalam keluarga yang ibu bapanya sibuk sehinggakan tiada masa untuk anak-anak menyebabkan mereka mencari perhatian lain. Ada juga yang dibesarkan dalam keadaan keluarga yang berpecah-belah, ibu dan bapa bercerai sehingga menyebabkan tekanan kepada anak-anak. Ini semua kita kena fikir. Mereka yang macam ni kurang kefahaman. Kita yang ada ilmu dan faham ini la yang kena menyeru. Bukan menghukum. Siapa kita untuk menghukum? Kita hanya mampu berusaha untuk mengajak, selebihnya mereka nak ikut atau tidak, itu adalah atas mereka sendiri. Hidayah itu milik Allah. Bukan milik kita.”



Syifa’ terus melontarkan kata-kata dengan lembut.



“Kita pun tak boleh nak memandang serong terhadap mereka yang tersalah memilih jalan. Mungkin mereka lebih baik pada pandangan Allah. Kita tak tahu masa hadapan macam mana. Mungkin sahaja nanti kita pula yang berubah malah lebih teruk daripada mereka. Kerana hati kita milik Allah. Dan Allah sahaja yang berkuasa membolak-balikkan hati kita. Sebab tu Ustazah dekat sekolah Syifa’ dulu selalu pesan baca doa ni.”







Nisa terasa. Di sebalik kata-kata Syifa’ yang mengundang tawa, dalam pada masa yang lain, bisa mengunci bibir daripada mengoyak senyuman. Terasa hati dicucuk. Namun, dia tidak menyalahkan Syifa’. Kata-kata Syifa’ sememangnya betul. Malah, Syifa’ berhikmah dalam kata-kata, cuba menyentuh hatinya dengan merujuk kepada remaja-remaja lain, sedikit pun tidak menyentuh mengenai masalahnya. Demi menjaga hatinya. Dengan itu, dia sendirinya akan berfikir tentang diri sendiri. Syifa’ bijak.



“Syifa’ mesti pandang teruk Nisa kan…Nisa ni dah lah ambil jurusan agama. Banyak pegang jawatan dalam persatuan untuk buat dakwah pula tu….tak layak langsung…kadang-kadang Nisa rasa bersalah…ajak orang lain buat perkara betul tapi Nisa sendiri yang terpesong…”






Nisa teringat ayat Allah. Hatinya bergetar. Takut. Air mata yang sedari tadi cuba ditahan akhirnya laju mengalir membasahi pipi mulusnya.



Allahuakbar! Dahi Syifa’ berkerut, matanya berkaca. Terus sahaja dia memeluk Nisa. Dalam dakapan penuh kasih sayang…dia melontarkan kata seiring dengan air mata yang deras mengalir… …



“Nisa…Syifa’ tak pernah pun fikir macam tu….tak pernah, Ya Allah, tak pernah. Malah Syifa’ kagum dengan Nisa, sentiasa buat kerja dakwah, untuk Islam. Bukannya senang, nak bahagi masa antara belajar lagi, nak buat kerja atau program bawah persatuan lagi. Syifa’ tak mampu nak buat seperti Nisa. Syifa’ sekadar menghadiri usrah dan majlis ilmu yang ada untuk mengisi hati. Agar hati tidak mati. Untuk terus menyubur iman. Nisa…al-imanu yazid wa yankus. Iman itu naik dan turun.



Nisa terharu. Kesal. Sanggup dia bersangka buruk terhadap sahabat sebaik Syifa’. Padahal dia juga yang selalu menguar-uarkan bahawa tingkat ukhuwah yang paling rendah adalah bersangka baik. Husnudzhon. Mungkin hatinya yang tidak tenang membuatkan dia berfikiran negatif begitu. Jiwanya berkecamuk.



“Syifa’…..Nisa minta maaf….tak sepatutnya Nisa cakap macam tu. Entahlah, kadang-kadang Nisa ni hanya pandai bercakap, buatnya tak. Syifa’, terima kasih kerana menyedarkan Nisa. Tak putus asa, sentiasa beri nasihat buat Nisa. Syifa’ memang sahabat yang solehah. Nisa bersyukur kenal Syifa’.”



Nisa pun sahabat yang solehah. Syifa’ pun nak ucap terima kasih. Terima kasih kerana Nisa sudi berkongsi cerita dengan Syifa'. Sebenarnya cerita Nisa itu secara tak langsung juga adalah nasihat juga peringatan buat Syifa’. Berhati-hati dengan cinta . Dengan cinta yang menarik diri ke lembah dosa. Cerita Nisa juga sering mengingatkan Syifa’ untuk sentiasa mempertingkatkan iman. Kerana iman yang dapat menjadi penyelamat kita daripada melakukan kemungkaran. Ujian sering menghempap kita kerana inilah yang menjadi kayu pengukur keimanan kita terhadap Allah. Bismillahirrahmanirrahim….






“Manusia ini terkadang alpa dan lalai. Sering sahaja lupa. Hati gersang apabila kurangnya pengisian. Kerana itu penting untuk kita saling menasihati ke arah kebenaran. Dengan tujuan yang satu. Mencapai reda Allah.”













Al-'Asr. Surah ini sememangnya dekat terpahat dalam hati Syifa’. Surah inilah yang biasa dibaca bersama-sama tasbih kaffarah seusai usrah atau majlis ilmu yang sering dihadirinya . Dia benar-benar menghayati kalamullah yang berbicara tentang masa itu.



“Syifa’ nak Nisa tahu, Syifa’ bangga punya sahabat seperti Nisa. Bukan semua boleh buat macam apa yang Nisa buat. Allah dah sebut dalam surah Al-Baqarah, ayat 286. Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Kalau Syifa’ yang diuji dengan cinta lelaki macam Nisa, entah macam mana. Allah tahu Nisa boleh hadapi, sebab tu Allah uji Nisa dengan ujian seperti ini. Allah nak Nisa lebih dekat kepada-Nya, apabila jiwa Nisa akan terasa kehilangan sesuatu kerana cinta terarah ke jalan yang tidak betul. Allah menyayangi  Nisa. Nisa dah berjaya melepaskan diri daripada jerat syaitan.






Syifa’ mengesat air matanya. Dia juga mengesat air mata Nisa. Dan tersenyum.



“Dah…dah…jangan nangis. Nanti buruk muka kita…hehe”



Hehe…..Tawa dalam esak tangis yang masih bersisa. Nisa juga turut mengesat air matanya.



Masing-masing membisu. Sebentar. Tiba-tiba, Nisa bersuara.



“Syifa’..”



“Ye?”



Syifa senyum menanti kata-kata Nisa. Itulah penarik diri Syifa’. Sentiasa tersenyum. Baginya senyum itu senjata penguat ukhuwah.



“Boleh tak Nisa nak tanya sesuatu?”



“Ye..tanyala…bunyi macam saspen je Nisa ni..hehe. Tanyala…Nisa nak tanya apa?”



“Syifa’ tak pernah jatuh hati dekat lelaki ke? Maksud Nisa….ada suka seseorang ke…..”



Haha. Syifa’ ketawa sambil menekup mulut. Dirasakannya soalan Nisa itu cukup lucu.



“Kelakar la Nisa ni, Syifa’ ingatkan Nisa nak tanya apa tadi. Kenapa Nisa tanya macam tu?”



“Ha la…tak pernah pun Nisa dengar Syifa’ bercakap pasal lelaki. Kalau kawan-kawan yang lain tu adalah juga yang bercerita, minat yang ni, minat yang tu. Sebab tu Nisa tanya Syifa’…..manalah tahu…diam-diam, rupanya dah bertunang senyap-senyap, lepas tu buat orang lain sakit jantung tiba-tiba je kejutkan semua dengan kad undangan perkahwinan…hehe…”. Nisa tak kalah suka mengusik.”



“Betul ke Nisa nak tahu.Emm…dah. Ha’ah…hati Syifa’ dah dimiliki. Dah lama...”
Akhirnya Syifa’ berterus-terang….Syifa’ bijak menyimpan rahsia…



“Ha? Betul tak ni.Tipu la..nak kenakan orang la tu…siapa?”



“Dia.”



“Dia? Siapa?”



“Allah.”



Nisa diam dan senyum. Menanti kata-kata Syifa’ yang seterusnya.



“Soalan Nisa ni buat Syifa’ teringat seorang sahabat Syifa’. Dia pernah tanya, Syifa’ ni tak ada perasaan ke. Syifa’ ketawa je la. Hairan juga. Boleh pula keluar soalan tu daripada mulut dia. Tipulah kalau Syifa’ cakap tak pernah suka pada seseorang. Syifa’ pun perempuan..manusia. Tapi yang ada cuma suka sekadar kawan, tak lebih daripada tu. Entahlah…kadang-kadang Syifa’ pun tak faham, hati ni susah sangat nak tertarik dengan lelaki. Setakat ni, tiada yang benar-benar menarik perhatian. Kut Nisa nak rekemen sape-sape…boleh lah juga…hehe”



Nisa ketawa. Dia tahu Syifa’ hanya bergurau. Dia tahu Syifa’ sangat menjaga pergaulannya. Sangat menjaga. Ada sahaja sahabat lelaki sekelas mereka yang bertanya kepadanya mengenai Syifa'. Dia tahu ada yang meminati Syifa' dan ingin berkenalan namun hanya mampu memandang dari jauh. Kerana Syifa' tidak akan melayan. Bagi yang tidak mengenali, Syifa’ merupakan seorang yang pemalu dan pendiam. Apabila didekati, seorang yang ceria. Sentiasa mengukirkan senyuman. Apabila makin dirapati, Syifa’ sahabat yang sangat baik, bertanggungjawab, matang dalam tindakan dan percakapan. Sahabat solehah. Sempurna. Kamilah. Nisa kagum dalam diam. Dia tahu bukan calang-calang orang yang boleh memiliki Syifa’.



“Alhamdulillah, Syifa’ jagalah hati Syifa’ baik-baik ye. Nisa nak tanya boleh? Syifa’ nak yang macam mana? Hehe, jawablah…nak tahu juga..bolehlah Nisa tolong carikan ke..”

  
“ Ye la tu, sekeh budak ni kan. Syifa’ mestilah macam Nisa juga, nak lelaki yang beriman.
Oleh sebab Syifa’ nak yang macam ni, Syifa’ kenalah berusaha nak jadi macam ni juga. Kalau Syifa’ nak lelaki yang jaga hubungan dia dengan Allah, Syifa’ pun kena buat macam tu juga. Kalau Syifa’ nak lelaki yang baik dengan sahabat, Syifa’ pun kena jadi macam tu juga. Kalau Syifa’ nak lelaki yang menghormati ibu bapa, Syifa’ pun kenalah buat baik kepada ibu bapa Syifa’. Bila ada iman, automatik semua yang dibuat Insya-Allah kerana Allah. Tak semestinya dia kena ada harta yang menimbun, berketurunan keluarga yang kaya raya, punya muka macam Ashraf Muslim tak pun macam Saif Ali Khan. Kalau macam tu syaratnya, silap hari bulan, tak kahwin la Syifa', haha.”



Syifa’ ketawa dengan lawaknya sendiri. Nisa turut ketawa.
Dia kemudian menyambung. Kembali serius.



“Syifa’ cuma nak agama yang ada pada dia. Syifa’ nak yang boleh membimbing Syifa’ meraih reda dan syurga Allah. Syifa’ nak yang tu je. Tapi Nisa, entahlah, kita pun tak tahu umur kita panjang atau pun tak. Hidup di dunia hanya sementara. Kita akan menempuh perjalanan yang lebih panjang dan abadi di akhirat nanti. Kalau ada jodoh, Alhamdulillah. Kalau tak bertemu jodoh di sini pun tak apa. Tangungjawab kita banyak lagi, tanggungjawab terhadap ilmu, ibu bapa, sahabat, guru. Tanggungjawab terhadap sunnah Rasululullah, dakwah. Tanggungjawab terhadap Allah. Oh ye, Syifa’ nak kongsi satu doa dengan Nisa. Sekejap ye."



Syifa' mengambil buku notanya yang bercorak bunga-bunga kecil hijau di atas meja. Buku nota tersebut yang sering dibawa bersamanya ketika menghadiri usrah atau majlis ilmu. Dia membelek helaian buku nota untuk mencari ilmu yang telah dicatat agar tidak lupa.



"Hari tu Syifa' ada pergi talk bertajuk 'Jaminan Cinta U'. Ustazah ada bagi doa. Doa agar dikurniakan suami yang soleh atau isteri yang solehah dan zuriat-zuriat penyejuk mata. Juga doa untuk kebahagiaan rumah tangga. Lebih afdal jika dibaca dalam solat ketika sujud yang terakhir. Ustazah ada cakap juga, lebih baik lagi, semasa sujud tu kita doa ciri-ciri suami atau isteri yang kita nak. Ha, dah jumpa pun. Mulakan doa dengan rabbana."






“Nisa kagum dengan Syifa’. Syifa' bagus, selalu dahagakan ilmu. Apa saja ilmu yang Syifa' dapat, Syifa' terus amal. Nisa nak jadi macam Syifa’.”



“Syifa’ manusia biasa, Nisa. Punya banyak kelemahan. Kita sama-sama ambil yang baik-baik. Alangkah baik jika kita mencontohi srikandi-srikandi Islam dahulu. Contohi Saidatina Aisyah yang cerdas dan pintar, contohi Sumayyah yang berjiwa perkasa, contohi Saidatina Khadijah yang mulia, contohi semangat juang Khaulah dengan kuda dan pedangnya, contohi Saidatina Fatimah yang sangat patuh dan taat. Jadilah Nisa seperti diri Nisa. Khairunnisa'. Sebaik-baik wanita.”



Nisa senyum. Dia terpana dengan nasihat-nasihat Syifa’. Cuba menghadam satu per satu.



“ Nisa, Irsyad Amirul apa khabar? Hehe..” Syifa’ mengusik. Nisa pernah bercerita mengenai Irsyad Amirul kepadanya, lelaki yang telah lama meminati Nisa sejak sekolah menengah lagi tetapi hati Nisa ketika itu adalah untuk Ikmal Asyraf.



“ Budak Jordan tu? Entahlah, mak dia ada telefon Nisa hari tu. Bertanya khabar. Irsyad ni bersungguh-sungguh nampaknya. Dia cakap kalau Nisa tak ada orang, dia nak masuk. Keluarga dia pun baik dan terima Nisa. Entahlah, Nisa rasa tak bersedia lagi. Syifa’ pun ada cakap kan, bukan masa untuk melayan cinta tapi bersedia untuk cinta. Nisa tak cakap nak atau tak. Nisa nak tumpukan pada pelajaran dulu dan ubah diri. Kalau betul dia nak, dia mesti tunggu Nisa. Dan kalau betul jodoh dia dengan Nisa, akhirnya Allah akan satukan juga”



Syifa’ senyum. Nampaknya Nisa memahami apa yang dia cuba sampaikan. Syifa’ tahu gadis kecil molek yang ayu ini sering sahaja menjadi buruan lelaki. Ini baru dua orang. Yang dikenali Nisa sebelum menjejakkan kaki di UIAM. Itu tidak termasuk yang cuba menawan hati gadis berkulit putih melepak itu di sini. Dia memandang muka Nisa sambil berdoa dalam hati agar Allah merahmati dan mempermudahkan segala urusan sahabatnya ini. Dia memang tidak pernah lupa berdoa untuk sahabat-sahabatnya setiap kali selesai solat.



Jam telah menunjukkan pukul 12.30 pagi. Hampir satu jam telah berlalu. Tidak terasa. Dua lagi sahabat mereka, Najwa dan Arifah telah lama lena dibuai mimpi.



“Eh, Nisa tak nak tidur lagi ke. Dah lewat ni”



“ Nisa nak baca sikit lagi, Syifa’ tidurlah dulu ye”



“Baik..Nisa jangan lewat sangat tidur, tak baik untuk kesihatan”



“Ok…habis sikit je lagi, Nisa masuk tidur. Ustaz Esam kita kan nak buat kuiz esok. Syifa’ dah habis baca dah kan”. Dia teringat Ustaznya yang berbangsa Sudan itu. Sangat baik. Sebolehnya dia mahu memberi yang terbaik dalam kuiz mahupun peperiksaan. Tidak mahu mengecewakan Ustaz yang penat mengajar.



“ Ustaz baik, kan Nisa. Ustaz selalu pesan belajar kerana Allah, nak ilmu kerana Allah, bukan belajar kerana hanya nak cemerlang exam. Syifa’ terkesan sangat dengan kata-kata Ustaz tu. Emm…oklah. Syifa’ tidur dulu ye sayang”. 



Dia memeluk Nisa dan mencium pipi sahabatnya dengan penuh rasa kasih sayang. Nisa terasa amat disayangi. Dia terharu. Syifa’ mula menapak ke arah katilnya.



“Syifa’”



Syifa’ menoleh.



“Ye?”



“Uhibbukifillah. Syukran jazeelan ya ukhti”. Nisa tersenyum.



“La syukra ‘ala wajib. Uhibbukifillah aidhon. Enti sodiqoti fiddunia wal akhirah. ” Syifa’ juga tersenyum.



“ Enti kaman….Syifa' pergilah tidur. Lailah sa’eedah”. Nisa membalas senyuman Syifa’.



“Baik, Syifa’ tidur dulu ye…lailah mubarakah. Assalamualaikum..”



“Waalaikumussalam warahmatullahiwabarakatuh…..”

 

Syifa’ tidur dalam keadaan berwuduk. Dia membaca doa dan memejamkan mata. Nisa mencapai telefon bimbitnya di atas meja. Kelihatan dia menekan-nekan butang handphonenya. Membuka sesuatu.



Perempuan yang suci adalah perempuan yang dijaga oleh Allah, tak sedikit pun Allah membenarkan mana-mana lelaki menyentuh dirinya walaupun hatinya…kerana Allah teramat mencintainya..tetapi, andai kita bergelumang dengan cinta lelaki, di mana Allah untuk menjaga kita? Allah seperti melepaskan kita kepada manusia yang lebih banyak mengecewakan kita. Jika Allah datangkan kesedaran dalam diri supaya meninggalkan cinta seorang lelaki, bermakna Allah mahu mengambil kita kembali untuk dijaga-Nya…mengapa harus ragu-ragu? Kekuatan usah ditunggu tetapi harus dicari..Insya-Allah, Allah ma’aki…Nisaku sayang….carilah dia melalui Dia…”



Air mata Nisa mengalir. Mesej daripada Syifa’ yang telah lama menghuni peti masuk telefon bimbitnya itu dihayati sedalamnya. Hatinya menangis kesal. Nisa mengambil wuduk. Mendirikan solat sunat taubat dua rakaat. Dia menangis dalam munajat seorang hamba kepada Penciptanya. Hamba yang telah banyak berdosa terhadap Yang Maha Pengampun. Hamba yang telah melupakan Yang Maha Penyayang kerana buta dalam cinta palsu. Namun, dia sedar Allah tak pernah melupakan dia. Allah tak pernah meninggalkannya. Hanya dia yang lupa kehadiran Allah saat tenggelam dalam cinta nafsu lelaki.



Dia berjanji, air matanya tak akan tumpah kerana Ikmal Asyraf lagi. Tak akan mengalir kerana lelaki yang belum tentu miliknya. Selamat tinggal Ikmal Asyraf. Air mataku bukan untukmu. Air mataku tak akan pernah tumpah kerana dirimu lagi. Nisa tidak mahu mengalirkan air mata sia-sia lagi. Menangis terkenangkan lelaki yang belum tentu menjadi takdir buat dirinya. Nisa tahu dia telah tersalah memilih jalan. Dia tahu selama ini dia lalai. Dia lupa akan Al-Khaliq, pemilik hatinya yang sebenar. Dan yang selamanya memiliki hatinya. Air matanya kini hanya untuk Allah. Dia berjanji.



Nisa tidak sedar, Syifa’ sedang memandangnya. Syifa’ hanya mampu mengalirkan air mata syukur. Dia kemudian merebahkan kepalanya ke atas bantal semula. Dia berhajat ingin mengajak Nisa untuk sama-sama bertahajud pada dua per tiga malam nanti. Dalam keadaan mata yang terpejam, hatinya tidak putus-putus memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi.

Alhamdulillah…..




  







Kau telah berubah
Di mana dirimu yang dahulu
Sahabat, kembalilah kepada-Nya
Jangan terus tenggelam 
Dalam dosa bisikan syaitan
Aku di sini
Tak akan pernah putus asa
Tak akan pernah berdiam diri
Melihat kau begini
DIA juga ada
sentiasa bersamaku...
dan juga kamu...








"Ya Allah…jadikanlah bicaraku….tulisanku….adalah ibadah kepada-Mu… Ya Rahman….ikhlaskanlah hatiku dalam apa jua aku lakukan….buangkanlah segala sifat riak, sombong, dengki, iri hati dalam diri ini….Kau tiupkanlah sifat-sifat mahmudah ke dalam hatiku… Ya Rahim….jadikanlah cinta dan rinduku kepada-Mu setinggi-tinggi dan seindah-indah cinta dan rindu dalam hati ini…..Ameen......"







p/s: entri khas buat Syifa' Awatif, sahabat dua alam, maya dan juga nyata b2 (hehe)...dan juga bakal sahabat satu UIA....panjang umur, Insya-Allah, kita bertemu di Gombak ye. Minta halal b2 pinjam nama, nama cantik sangat, siapa suruh...hehe ^_^ sayang dia! lillahi ta'ala..


p/s: juga entri khas buat adik Along, Che Wan Irsyaduddin Che Wan Taqwa, hehe (ait, kirim salam dekat Cikgu) ^_^ minta halal ye, Along pinjam nama sekejap, dah ada adik, rembat je la nama adik, haha. Along rembat nama adik Along yang f5 tu sekali, haha.
 

14 comments:

Muhammad Marzuqi said...

subhanaAllah..pandainya menulis skrg.

:: Zahratu Billaurah :: said...

Alhamdulillah, ini je b2 mampu beri, ilmu b2 sedikit cuma..
dulu ada orang pesan dkt b2, jadikan blog sebagai lapangan dakwah..
ini yg b2 cuba lakukan skrg..
harap ada manfaat..
moga bertambah saham di akhirat..


masih tak boleh tandingi Akh dalam menulis ^_^

Anonymous said...

salam..
kisah ni.. mengingatkan saya pada kenangan lama....

salam dr bumi anbiya..(reem afnan),

:: Zahratu Billaurah :: said...

Waalaikumussalam w.b.t...
Kenangan lama itu sudah berlalu....
biarkan dibawa angin bayu...


ada kata-kata mengatakan...
"yesterday is history,
tomorrow is a mystery,
today is a gift"


usah pandang ke belakang...bangkitlah menuju ke hadapan..namun sesekali perlu menoleh ke belakang...agar terang haluan di hadapan...


syukran 'ala ziarah...=)

Qistina Sumaiya...(^_^) said...

alhamdulillah...
nanti tgk entry akak,aku juga berusaha mengejar cintaku..
ok tak?
=)

saje je nak diorg ubah...
=)

:: Zahratu Billaurah :: said...

^_^ nanti b2 baca ye kak

Nur Amira said...

salam b2 syg.
best cter ni.aritu akak smpat bc sparuh je,hr ni smbung blik.cerpen ni klo msuk ptndingan,insyaAllah ad can mnang ni.

watak nisa tu mmg dkat d hati,kdg2 kte x sdar ad bnda x baik kte bt wlaupun dlm ms yg sma org lain tgk kte xprnah bt slap. bkn sng nk jd baik.baik pd Allah,baik pd mata smua org.tp btullah,hidayah Dia dtg x kre siapa.cuma pranan kte skrg ni mcari dn trus mncari. xapa bt slap,aslkan bljr dn x ulang kslapan.kte slalu tgoda dgn cinta dunia.tp kte ptut sdar,stinggi mna pun kte sukakan sseorg tu tp kalau bkn Allah yg tkdirkan dia unt kte,kte ttap xkn kmana.trima ksih unt pkongsian doa2,insyaAllah sma2 b'amal..

frhnad said...

Salam b2, Syukran katir atas cerita ni... Menusuk kalbu... B2 ni macam boleh baca fikiran sy lah... huhu~ Thanks. Sama2 jaga Iman, hati, dan diri... InsyaAllah. ^__^

Hasnah Atiqah said...

bitu......
nice cerpen !!!!
mabruk alaik ya ukhtti .....

meh kite nak bgtau.. shifaa tu nama sebenar dia, Rabiatul Fatimah Az Zahraa :) ~ ini ayat Hasnah ~

:: Zahratu Billaurah :: said...

<><> Kak Mira <><>


Waalaikumussalam w.b.t ya ukhti ^_^

Alhamdulillah kak Mira, semuanya dtg drpd Allah..kalau Allah x bagi ilham, b2 xde daya pun nak tulis cerpen, walaupun masih byk kekurangan dan masih byk perlu b2 pelajari, syukran kak sudi baca =)
Allahuakbar, ^_^ kalau masuk pertandingan tu kak, x pernah terfikir lagi, cuma sampaikan apa yg mampu dan tahu..utk peringatan kita sama2 dan beramal..akak doalah b2 agar mampu pergi lebih jauh ye, Insya-Allah..dgn izin Allah sgl-Nya..


betul kak, kdg2 kita tanpa sedar buat maksiat hari2, bende kecik, kita x nampak, tapi dosa sbsar zarah pun akan dihitung Allah, sembunyi mana pun, Allah tahu. Bila kita x sedar, pentingnya utk ada yg tolong memperingatkan.


nak syurga Allah, ada maharnya. syurga itu mahal, sbb tu hati kena kuat tempuhi walau apa pun ujian yg mendtg. dunia hanyalah tempat ujian. bila hati kita betul2 dekat dgn Allah, reda dgn sgl ketentuan Dia, ujian besar pun nampak kecik, sbb bila kita renung2 balik, rahmatNya pada kita xterhitung..Allahuakbar, penyayangNya Dia kak, cuma hati kita bila buta, x nampak tu semua...


nak dpt hidayah, kene usaha. hidayah xdtg bergolek. kene tunjuk dkt Allah, mana usaha kita nak dkt dgn Dia, mana usaha kita betul2 nak dpt reda Dia. Kita manusia, buat salah, belajar drpd kesalahan. kalau kita xbuat salah, mcm mana kita nak perbaiki diri.
ada guru yg berkata "it is not a mistake to make a mistake"..kesalahan itulah berharga jika kita benar2 menyelami..=)


ha'ah, betul ckp akak, cinta dunia. bila termkn hasutan syaitan, hanyut dgn arus dunia yg menipu..naudzubillahi mindzalik. hidup kita kene teguh pendirian, yakin dgn janji Allah, tu je. kdg2 nafsu mambuai diri, sampai terlena hingga tidak sedar imanlah yg menyedarkan diri drpd lamunan. yakin dgn janji Dia, hati akan tenang, reda dgn segalaNya, hanya menurut perancangan terbaik-Nya krn hanya Dia tahu apa yg terbaik buat kita...


terima kasih sgt2 kak utk peringatan, b2 yg menulis ni pun byk sgt kekurangan, kak..cuma niat nak jadi lebih baik..juga nak ajak org buat baik sama2..dgn izin Allah..apa yg b2 tulis peringatan buat diri sendiri dan dikongsi..harap ada manfaat walaupun sedikit cuma, Insya-Allah




<><> Nad! ^_^ <><>


Waalaikumussalam w.b.t..
Alhamdulillah..segala puji-pujian hanyalah kpd Allah ^_^


wah, b2 pandai baca fikiran Nad pula? ^_^ syukran katheer sudi baca Nad..


duduk jauh2 tu, Nad jaga diri ye ^_^ jaga iman dan kesihatan, barakallahu feek..b2 syg Nad




<><> Ustazah Hasnah <><>


aiyark..sedap la tu blh on9, ala, Hasnah blh on9 kjp je, tu hak x sedap =( (uit bdk, MUET kita, 3 hari lagi, haha ^_^ saje..nak peringat, eh, bende penting ni, haha)


Alhamdulillah..semuanya dtg drpd Allah, b2 cuma perantara..kita sama2 ambil yg baik2 ye ^_^


ye la tu, kalau Syifa' tu b2, maknanya Syifa' tu Hasnah juga la, psl kita sama2 pergi talk 'Jaminan Cinta U', haha (cepat je ye bab2 ni, tajuk gini senang sgt ingat, tajuk talk lain...*geleng2*, haha)
Hasnah lebih baik drpd Nisa mahupun Syifa'..Hasnah Atiqah Hassan Shukri, punya daya tarik tersendiri, dia istimewa =)


p/s: Hasnah..post blog b2 xleh pendekkan..skrg berjangkit dkt komen pula ^_^ aiya

Nur Amira said...

insyaALLAH,mg mnjadi pringatan bt smua.sbb tjuk tu pon dh mnarik,insyaAllah,ble yg tgk tjuk akn ttarik nk bc smua.

jgn tkut bbuat silap.xde manusia yg smpurna 100%. tp klo dh thu kte xdpt cpai 100%,apa kate kte cuba unt dptkn 99.9999% tu.sbnrnya,ksalahan yg mngajar kte mncari ksempurnaan.yg pnting sdar dn btaubat.kalo sdar sj,tp ttap ulang kslahan,xad impak baiknya.

insyaAllah,bt yg tbaik unt hidup dunia akhirat.jom sma2 mncari akhirat di dalam dunia =)

:: Zahratu Billaurah :: said...

Insya-Allah kak, itulah, kene pancing dgn tajuk dulu sbnarnya ^_^

ha'ah kak, selagi hidup, selagi tu sentiasa cari jalan mcm mana nak jadikan diri lebih baik dr sehari ke sehari. kesilapan atau pengalaman buat salah, ni lah yg mengajar kita. sbb tu ada kata2..'experience is the best teacher' ^_^ pengalaman pun jadi guru untuk kita

^_^ suka ayat kak Mira 'mencari akhirat dalam dunia', Insya-Allah..sama2 ye kak =)

Ummu Qois said...

cik bitu. hehehhehee

tak tahu nak kata gapo. bitu terbaik laa. hehehhe


kdg2 baca mcm terkena btg hidung fulak. kih33..

bitu dan hasnah. terbaik ;)
dari yah comel. kakkakaa

:: Zahratu Billaurah :: said...

Yah!!! ^_^ Yakkkk

Yah dan Hasnah terbaik. ^_~
b2 sayang dua2 *peluk* =')
walaupun jauh kekgi...Yah jangan lupa b2..='(